Cakap Petah 2011: Harapan
0Harapan
Berapa tinggi pucuk pinang
Tinggilah lagi pucuk meranti
Berapa tinggi si Gunung Ledang
Tinggilah lagi harapan hati
Asamlah Jawa pokok di hutan
Di bawa orang tanam di desa
Adalah nyawa ada harapan
Tidaklah mahu berputus asa
Iltizam dan wawasan itu muncul dari secebis gagasan yang bernama, ‘harapan’. Harapan itulah yang mencetuskan pengorbanan: manusia sanggup melakukan apa sahaja demi menjadikan harapan bukan hanya setakat gagasan niat dalam hati. Acara Cakap Petah 2011 yang selamat dilangsungkan pada 29 haribulan Januari 2011 yang lalu merupakan wawasan kami sebagai pihak penganjur untuk menyemai benih-benih harapan dalam jiwa anak muda kita.
Tema yang mengungkap keupayaan si cilik untuk mengimbas muka dan beraspirasi jelas memaktubkan niat kami. “Andai Aku Sudah Dewasa…” apakah adanya keberadaan dunia? Para peserta dikehendaki memikirkan akan keupayaan mereka dan cara untuk mereka berbakti kepada ibubapa, keluarga, masyarakat dan negara. Jelas sekali, aspirasi adik-adik kita semuanya meluap “setinggi gunung”. Mereka mengimpikan kerjaya seperti doktor pediatrik, pelakon, penyanyi, saintis dan juga pemain sukan pedang terhandal di dunia! Cukup teharu kami mendengar wawasan mereka yang begitu besar dibandingkan dengan tubuh badan mereka yang kecil. Alhamdulillah, matlamat Cakap Petah tercapai. Disamping menyemarakkan cinta dan ketertiban dalam penggunaan Bahasa Melayu dikalangan para peserta, adik-adik kita berjaya mengungkap tema pertandingan dengan sebaik mana yang mungkin!
Sekali lagi, bagi pihak jawatankuasa Cakap Petah 2011, saya ingin sekali merakamkan setinggi-tinggi perghargaan kepada mereka yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak langsung untuk menjayakan acara ini. Acara ini tidak mungkin dapat dijalankan tanpa sokongan panel juri tetap, guru-guru dan para pelajar semua. Ribuan terima kasih juga kepada para penaja yang sudi menyokong hasrat murni kami yang tidak seberapa ini.
Kepada para peserta yang berjaya, saya ucapkan tahniah. Saya tabik semangat sekolah-sekolah yang tampil mengambil bahagian untuk menyahut cabaran kami. Saya harap ini bukan kali terakhir anda menyahut cabaran ini. Semoga kita berjumpa di lain kesempatan.
Sekian. Wassalam.
| Nur Amalina Binte Kamal
Naib Ketua Sekretariat Persuratan & Pengarah Cakap Petah 2011 Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) |

