Pengorbanan Demi Minat: _____ Atau Bodoh?

0

Bagi kebanyakan warga Singapura yang mengunjungi Hong Kong, aktiviti riadah dan membeli-belah disamping menikmati cuaca sejuk merupakan tumpuan utama. Namun bagi penulis, kunjungannya ke pusat kewangan dunia pada Julai tahun lalu merupakan satu misi tersendiri yang harus disempurnakan sebelum terlewat. Urusannya begitu penting sehinggakan beliau sanggup menghentikan kerja sambilannya lebih awal dari yang dijadualkan semata-mata untuk memberi masa kepada hal serba mustahak ini.

Sejurus selepas menjejakkan kaki di tanah Hong Kong, penulis bergegas menaiki keretapi ke daerah bandar Mong Kok di mana letaknya pusat membeli-belah Pacific. Tanpa berlengah, beliau menuju ke arah sebuah kedai khas yang menjual model replika pelbagai jenis kenderaan. Beliau berasa lega apabila melihat barang yang hendak dibelinya masih dipamerkan di dalam kedai tersebut. Barangan itu merupakan tidak lain dan tidak bukan sebuah model replika bas yang diminatinya.

Gila? Hilang akal? Bodoh? Penulis sudah masak berhadapan dengan soalan-soalan berbentuk sedemikian yang dilontarkan rakan-rakan dan anggota keluarganya setelah mereka mendapat tahu tujuan utamanya ke Hong Kong itu. Tetapi tidak pernah seminit pun beliau ragu atau kesal mengorbankan begitu banyak masa dan wang hanya untuk membeli model replika bas tersebut untuk ditambahkan ke dalam koleksinya di rumah.

Minat penulis dalam mengumpul model replika bas bermula apabila pakciknya menghadiahkannya sebuah bas mainan setelah mendapat tahu beliau mempunyai minat pada bas, sebagai mana sesetengah orang yang lain mempunyai kecenderungan pada kenderaan lain seperti kereta dan motosikal. Dari situ, penulis mula membeli mainan-mainan bas yang lain sehinggalah beliau mendapat tahu bahawa beberapa syarikat tertentu mengeluarkan model replika bas yang menghiasi jalan raya seluruh dunia. Dari situ, fokusnya bertukar kepada mengumpul model replika bas-bas yang diminatinya. Berkat usahanya sepanjang beberapa tahun yang lalu, koleksi model replika basnya kini telah mencecah lebih 25 unit bas yang dipamerkan di almari kaca biliknya di rumah.

Tidak seperti bas mainan, setiap model replika bas bukanlah senang didapati di pasaran. Sebagai purata, hanya seribu unit model terperinci dihasilkan bagi setiap bas yang telah dipilih untuk dijadikan model replika. Dalam seribu unit ini, kurang dari separuh akan dijual di pasaran Asia. Oleh kerana permintaan bagi model-model bas tersebut seringkali melebihi bekalan, harga jualan setiap model replika agak mahal, dalam lingkungan S$70 sebiji. Bagi sesetengah model yang begitu popular, penjual akan sengaja menaikkan harga, manakala ada yang tidak akan dihantarkan melalui pos luar negeri dan hanya boleh dibeli secara langsung dengan pemilik kedai, seperti apa yang dialami penulis.

Termasuk kos perbelanjaan bagi pengiriman melalui pos, penulis menganggarkan beliau telah membelanjakan lebih dari S$3000 sepanjang empat tahun beliau mendapatkan pelbagai jenis model replika bas dari berbagai negara untuk menghiasi pamerannya. Sejak kebelakangan ini, beliau juga telah mula mengumpul model replika pesawat komersial Airbus dan Boeing yang dipadankan corak AirAsia, Singapore Airlines dan sebagainya ekoran minatnya bagi pesawat-pesawat tersebut. Oleh kerana almari kacanya agak kecil, tidak semua model replikanya dapat dipamerkan. Penulis juga menghabiskan masa setiap minggu membersihkan habuk dari model-model replikanya. Bagi sesetengah orang, pengorbanan wang dan masa ini sungguhlah tidak berbaloi kerana tiada sesiapa yang dapat menikmati koleksinya.

Jawapan penulis kepada para pengkritik: “Walaupun mahal, setiap model replika bas yang saya beli mempunyai makna yang tersendiri bagi diri saya. Sebagai contoh, ada merupakan bas-bas yang saya menaiki di United Kingdom yang tidak terdapat di Asia. Ada pula yang dibeli semata-mata corak pada badan bas tersebut begitu unik dan lawa. Memang dari segi pelaburan kewangan, mendirikan koleksi replika ini tidak berbaloi tetapi saya dapat merasakan kepuasan apabila rakan-rakan dan anggota keluarga datang mengunjung dan terpukau dengan koleksi model replika saya. Itulah yang merangsang saya minggu demi minggu menghabiskan masa membersihkan dan mengaturkan model-model tersebut. Bagi saya, ini merupakan pengorbanan yang agak kecil demi minat dalam bidang ini. Dan sekiranya saya sudah bosan mengumpul model-model replika tersebut, saya boleh menjualkan kesemuanya pada nilai yang lebih tinggi dan meraih untung yang setimpal. Siapa tidak mahu kan?”

Model replika yang paling unik dalam koleksi penulis adalah model gerabak keretapi SBS Transit laluan Timur Laut dalam ukuran 1:76, satu-satunya model replika keretapi Singapura yang dijual di pasaran pada harga sekurang-kurangnya S$150.


Tentang Penulis

Hafizam.Akudeta Penulis lebih dikenali oleh rakan-rakannya sebagai buku panduan khidmat pengangkutan awam bergerak gara-gara minat dan pengetahuannya yang luas dalam bidang pengangkutan awam Singapura. Selain bas dan keretapi, penulis juga mempunyai kecenderungan dalam ilmu seni penerbangan. Tidak hairanlah jika penulis sering mengambil kesempatan untuk melawat negara-negara asing setiap cuti sekolah. Masa lapang penulis dihabiskan di balai pemandangan Terminal 1 lapangan terbang Changi menikmati kecantikan setiap jenis pesawat, diselang-selikan dengan menaiki pelbagai jenis bas awam serata Singapura.

Disimpan dalam: Santai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*




You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa