Pertandingan Cakap Petah 2011: Andai Aku Sudah Dewasa

0

Bertempat di Perpustakaan Awam Bukit Merah, seramai 16 pelajar sekolah rendah telah beradu kemampuan untuk berpidato dalam pertandingan Cakap Petah 2011 pada 29 haribulan Januari lalu.

Pertandingan ini merupkan acara tahunan anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) dan pertandingan tahun ini bertemakan “Andai Aku Sudah Dewasa”. Berdasarkan tema yang diberikan, peserta-peserta pertandingan diajak mengimbas muka akan keberadaan dunia pada hari esok dan berkongsi aspirasi mereka.

Untuk melengkapkan setiap peserta dengan kemahiran berpidato, satu bengkel telah diadakan di kampus Kent Ridge, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).  Bengkel satu hari ini telah dikendalikan Cikgu Asnidah Daud dan Saudari Rilla Melati yang juga merupakan pengadil-pengadil tetap bagi pertandingan ini. Melalui bengkel ini, setiap peserta meraih pelbagai petua berguna untuk membantu mereka menyediakan skrip pidato dan memperbaiki cara penyampaian mereka.

Ternyata peserta-peserta cilik ini telah memanfaatkan petua-petua yang diberikan dalam bengkel ini untuk memperkasakan cara penyampaian mereka di atas pentas. Setiap daripada mereka telah memberi hujah-hujah yang bernas dan unik. Menurut Cikgu Asnidah Daud, “peserta-peserta yang mengikuti bengkel ini telah menepati jangkaan pengadil dari segi isi dan bahasa kerana mereka menggunakan teknik-teknik yang diajar seperti aliterasi.”

Juara pertandingan Cakap Petah 2011 merupakan pelajar Nadrah Shahirah Hisham dari Sekolah Rendah Yishun. Melalui penyampaiannya yang penuh keyakinan dan senyuman yang tidak lengkang dari bibirnya, pelajar darjah 4 ini berkongsi cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi. Apabila diminta mengulas perasaannya dinobatkan sebagai juara pertandingan Cakap Petah 2011, pelajar cilik ini berkata, “Saya berasa sangat gembira dan berasa seperti hendak menangis.”

Zainab Iskandar, pelajar Sekolah Rendah Perempuan Raffles pula berjaya merangkul tempat kedua manakala Muhammad Khalis Bin Samion dari Sekolah Rendah Yishun menduduki tempat ketiga.

Selain penyampaian pidato dari peserta-peserta ini, para hadirin juga telah dihiburkan dengan persembahan bertenaga oleh Kumpulan Tarian Sekolah Rendah Woodlands dan kanak-kanak Masjid An-Nur. Lebih menggembirakan lagi apabila Professor Kamsiah Abdullah turut menghadiri majlis ini sebagai tetamu terhormat.


Tentang Penulis

Syairah.Akudeta Penulis berpendapat berkarya itu satu anugerah kerana penulis mampu menerawang ke alam bebas, berbakti, dan menghiburkan pembaca melalui karyanya. Harapan penulis ialah agar karya-karyanya dapat mengerak minda dan hati pembaca.

Disimpan dalam: Lensa Kampus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*




You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa