‘Indonesian Panggang’ Gerai Kegemaran Ramai
0Pemilik Indonesian Panggang berasa terharu apabila para pelajar di Universiti Kebangsaan Singapura memanggilnya pak cik.
Encik Alson Ng juga merasakan ianya lebih mudah untuk melayani para pelajar berbanding dengan orang awam.
Encik Ng, 46, membuka tiga cawangan menjual masakan Indonesia di NUS. Cawangan pertamanya dibuka di Techno Edge. Ia dibuka pada tahun 2005, atas nama Indonesian Panggang Food.
Encik Ng berhasrat untuk menghidangkan makanan bermutu tinggi. Beliau berkata Indonesian Panggang hanya menggunakan ayam yang segar. Ini membuatkan makanan mereka bertambah lazat, kata beliau lagi.
Encik Ng menambah, perkhidmatan yang cekap adalah penting kerana pelajar tidak mempunyai banyak masa untuk makan. Ayam-ayam di gerai beliau dimasak terlebih dahulu sebelum dipanggang untuk mengurangkan masa bagi menyediakannya.
Berbekalkan pengalaman berniaga di Politeknik Singapura dan Universiti Teknologi Nanyang, Encik Ng berjaya meyakinkan Jawatankuasa Induk Makanan Universiti dan wakil-wakil fakulti untuk memberi kebenaran kepada beliau membuka gerai keduanya di NUS.
Pada tahun 2009, Encik Ng membuka Indonesian Ayam Penyet di Frontier. Dalam masa setahun, beliau berjaya membuka gerai ketiganya di The Deck atas nama Indonesian Express Cafe.
Indonesian Panggang kini mempunyai 25 orang pekerja. Dua dari cawangannya telah terpilih sebagai gerai terbaik di fakulti masing-masing semasa berlangsungnya Karnival Makanan yang dianjurkan oleh Kesatuan Kebajikan Mahasiswa NUS.
Encik Ng berkata Indonesian Panggang adalah istimewa kerana ia berkonsepkan makanan segera namun menghidangkan makanan asli Indonesia. Beliau merasakan inilah pencapaian terbesar perniagaannya.
Disebabkan makanannya yang pedas, Indonesian Express Cafe menawarkan isi ulang air secara percuma. Walaupun harga makanan di situ agak mahal berbanding dengan gerainya yang lain, tawaran isi ulang percuma itu membuatkan harganya agak berpatutan.
Makanan kegemaran ramai adalah ayam panggang. Selain ayam panggang, gerai Encik Ng juga menjual udang, ikan dan sotong bagi mengadakan kepelbagaian di dalam menu.
Encik Ng sanggup menyokong acara-acara NUS selagi beliau berdaya berbuat demikian. Beliau lebih prihatin tentang orang menyukai makanannya daripada membuat keuntungan yang banyak. Encik Ng menambah bahawa cara sebegini dapat menguntungkan kudua-dua pihak.
Encik Ng mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau berkata peluang mengambil alih gerai-gerainya tidak terhad kepada anak-anaknya.
Sebagai seorang bapa yang penyayang, beliau mengetepikan hari Sabtu dan Ahad supaya dapat bersama keluarganya.

