‘Kemeriahan Ramadhan’ – Satu Frasa, Erti Berbeza

0

Beberapa hari yang lalu, sempat saya bersembang dengan beberapa orang rakan tentang kedatangan bulan puasa yang selang beberapa hari lagi. Ternyata, kemeriahan untuk menyambut Ramadhan kian terasa. Namun, sedang mereka berbual-bual, fikiran saya berlegar-legar, seakan mencari sesuatu kepastian. Perkataan ‘kemeriahan’ tertancap di minda. Jauh di lubuk fikiran, terbayang juga kemeriahan Ramadhan. Apakah kemeriahan Ramadhan yang digembar-gemburkan?

Benar sekali, Ramadhan meriah. Malah, giat sekali dirayakan. Manakan tidak? Persembahan dan konsert diadakan hampir setiap hujung minggu di mana alunan irama bergema di pelusuk kota. Menari-nari dan bersorak-sorailah para pengunjung yang dihiburkan dengan persembahan artis-artis kegemaran mereka. Tertawalah para penonton menyaksikan gelagat-gelagat lucu personaliti-personaliti yang beraksi di atas pentas. Suara-suara mereka begitu semarak dan bersemangat mengisi ruang udara. Benar, Ramadhan meriah.

Kemeriahan itu pula ditambah lagi dengan adanya bazar jualan mega yang berlangsung hingga ke larut malam dan dibanjiri dengan para pengunjung yang mencari barangan untuk menyambut Hari Raya. Hingar-bingar suasana dengan panggilan dan cogan kata jualan murah melewati pembesar suara. Di televisyen pula terdapat iklan perabot dan barangan kemas menjanjikan kemudahan ‘pakai dahulu, bayar kemudian’.  Pengunjung pun berjalan-jalan membeli-belah sampai ke lewat malam, menikmati bazar Ramadhan dan kehangatan suasana tawar menawar. Benar sekali, begitu meriahnya bulan Ramadhan ini.

Begitulah istimewanya bulan Ramadhan, sehinggakan kegiatan-kegiatan yang tidak dilakukan pada bulan-bulan yang lain dihidupkan pada siang dan malam harinya. Namun, saya tersentak kembali apabila mendengar khutbah Ramadhan disampaikan melalui mimbar Jumaat kelmarin. Menurutnya, Ramadhan memang meriah, sehinggakan bersoraklah masyarakat Islam terdahulu kerana gembira dengan rahmat yang datang di samping bulan Ramadhan.

Di dada-dada akhbar pula, terdapat banyak iklan-iklan yang mempromosikan kegiatan-kegiatan Ramadhan di masjid-masjid serata Singapura. Disertakan juga di dalam iklan-iklan tersebut, titik permulaan bagi kewajiban berpuasa bagi umat ini. Sebab mengapa diturunkan bulan Ramadhan ini amatlah jelas, iaitu agar manusia lebih bertaqwa dan dekat pada penciptanya. Nilai-nilai seperti ihsan, rahmat dan sabar turut ditekankan. Ramadhan dimeriahkan juga dengan kerja-kerja amal dan kebajikan di siang harinya. Ditambah lagi dengan majlis-majlis ilmu, halaqah dan pembelajaran mengaji Al-Quran yang dianjurkan. Pada malam harinya pula, masjid-masjid dimeriahkan dengan alunan ayat-ayat suci sewaktu solat tarawih, tilawah Al-Quran, tazkirah dan qiyamullail. Ternyata, kadar aktiviti di masjid-masjid ditingkatkan, ilmu dibudayakan, kerja amal digiatkan dan institusi masjid sama-sama dimakmurkan. Benar sekali, Ramadhan memang meriah.

Namun kemeriahan yang ini, ternyata berbeza semangatnya dengan kemeriahan yang sebelumnya. Itulah halnya tentang ‘kemeriahan Ramadhan’, walaupun sama frasanya, pengertian dan penghayatannya agak berbeza. Wacana ini saya tulis bukanlah untuk mengecam masyarakat saya sendiri. Pada hemat saya, tidaklah salah kita berbelanja. Malah memang harus untuk kita mempelbagaikan hidangan juadah berbuka. Tidak salah juga untuk bergembira dan memeriahkan suasana.

Namun apa yang harus kita sedar ialah peri pentingnya kesederhanaan dan kesesuaian dalam kehidupan. Setiap langkah yang kita ambil haruslah bersesuaian dan kena pada tempatnya. Terdetik juga hati kecil ini, mengapakah kita melebih-lebihkan hiburan walhal bulan Ramadhan itu diturunkan agar manusia lebih bertaqwa? Sebab utama adanya bulan Ramadhan ini ialah demi mendidik jiwa dan rohani insan. Tetapi kita meraikan perkara-perkara yang bercanggah dengan dasar utama bulan tersebut.

Wacana ini bukanlah untuk berkhutbah. Hanya untuk mengetengahkan dilema dan paradoks bulan Ramadhan dalam masyarakat kita. Mungkin wacana ini akan menyinggung sesetengah pihak. Tetapi inilah realiti masa kini. Pucuk pangkalnya, terpulanglah pada individu untuk memilih kemeriahan yang mahu dirasakan pada bulan yang istimewa ini. Moga-moga, dapatlah kita renungkan bersama dan memilih kemeriahan yang wajar untuk menyambut bulan Ramadhan ini. Kepada semua pembaca, selamat menjalankan ibadah puasa.


Tentang Penulis

Zulqarnain.Akudeta Percaya akan pentingnya berminda terbuka dan berlapang dada, Zulqarnain Mohamad berpandangan bahawa perbezaan pendapat, selagi mana ia berasas, adalah satu proses pengayaan diri dan cendekia. Selain dari membaca dan berbincang tentang isu-isu semasa bersama rakan-rakan, Zulqarnain meluangkan masanya untuk berbasikal, menonton atau mendengar muzik dan menulis puisi dalam Bahasa Inggeris. Penulis berharap agar karya penulisannya dapat meninggalkan kesan dan dapat direnungkan bersama-sama oleh para pembaca.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*




You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa