Mantra Seorang Mahasiswi
0Hati berdebar-debar, lemah terasa di kaki, tetapi tetap harus senyum, berdiri dan menahan segala emosi. Saat di pinggir pentas menunggu giliran untuk disampaikan ijazah, hati terasa begitu sesak; dari rasa bersyukur,
gembira, lega tidak terhingga, bangga, hingga ke kegelisahan takut kalau-kalau topi empat persegi akan jatuh kalau saya melangkah, kalau saya akan jatuh bila melangkah, dan serentak itu terasa secebis kecewa, segan, kerdil; Kau, Melayu, begitu senang dengan segulung ijazah yang bakal kau raih. Pada kau sudah mencukupi sedangkan anak bangsa lain, anak-anak bangsa kau yang lain, masih mengejar puncak yang lebih tinggi, masih mendaki. Ijazah Sarjana Muda, dan dengan itu kau sudah berpuas hati. Beberapa minit menunggu di antara belakang pentas dan ruang pentas itu terasa seperti waktu yang lama. Teringat ulasan Dr Johnson Irving, pensyarah dari Jabatan Pengajian Asia Tenggara, “Ruang waktu di mana seorang mahasiswa itu sedang beratur untuk naik ke pentas dengan memakai gaun akademiknya, adalah detik yang sangat liminal”. Dan tanpa disedari, tangan ini tangkas menepis air mata di pipi.
21 tahun berjuang di arena akedemik; kau, mama, abah, dari bangku sekolah rendah; Cikgu Faridah, Miss Chitra, Cikgu Zubaidah; gagal pelajaran Bahasa Inggeris; PSLE; hari pertama di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang; gagal Matematik; saat abah berkeras tidak mahu menandatangani buku rekod hanya kerana kedudukan kelas kau mengambil tempat terakhir; terpaksa berhenti bergiat dalam dikir barat; Bantu mama menjual epok-epok di sekolah; gagal Bahasa Inggeris, lagi; Cikgu Khalidah meyakinkan mama bahawa gred jumlah 35 tidak begitu teruk; peperiksaan peringkat ‘O’; Maktab Rendah Tampines; saudara-mara kecewa kerana tidak ke maktab lebih berprestij, kerana tidak memilih aliran Sains; Cikgu Malek, Cikgu Faten, Cikgu Mas, Cikgu Rabiah; gagal matapelajaran Sastera Inggeris dan Ekonomi; dimarahi abah kerana wujud abjad ‘E’ di kertas keputusan peperiksaan hujung tahun (tetapi aku telah mencuba sedaya upaya, sungguh!); Peperiksaan peringkat ‘A’; kertas keputusan pepriksaan, Bahasa Melayu A, Sastera Inggeris A, Ilmu Alam A, Kertas Am A2, syukur; wajah mama, abah; menandatangani kontrak biasiswa, memilih untuk jadi seorang pendidik, untuk mendidik; Universiti Kebangsaan Singapura; cukup puas dengan gred C pada penggal pertama kerana sudah terbiasa gagal, kesal; Persatuan Bahasa Melayu Kebangsaan Singapura; bertungkus-lumus belajar untuk peperiksaan kerana takut tidak dapat mematuhi syarat-syarat biasiswa (takut biasiswa ditarik balik kerana sungguh, aku tak mampu), untuk bekalan masa hadapan.
Dan kini diri ini berada di penghujungnya: sebuah jabat tangan, segulung ijazah. Ini dia, menara gading dan ini langkah kau yang terakhir dalam perjalanan ini, terdengar bisik hati dan lantas diri ini menjawab kembali, Alhamdulillah. Nama dipanggil, giliran sudah tiba, cuba mula dengan Bismillah, dan kaki ini terus melangkah.
Mungkin ada yang tertanya, mengapa berkongsi saat yang begitu peribadi di mana hidup bermain kembali di depan mata? Kerana ini:
Bohong kalau saya katakan selama pengajian saya di NUS saya tidak rasa kecil, seperti saya tidak berdaya. Melihat rakan-rakan seperjuangan yang lain bercita-cita tinggi, sentiasa selesai menelaah bacaan sebelum setiap kuliah, mendengar pendapat yang mereka kongsi di dalam seminar; cukup bernas. Dan tiba-tiba terasa pendapat anda kecil, tidak sebernas, dan lantas anda memilih untuk berdiam. Percayalah, anda selayak mereka; diri sama tinggi, duduk sama rendah. Ada sebabnya anda di perjalanan ini. Anda juga telah sama melayakkan diri untuk memasuki institusi ini. Anda, ibu bapa anda, atau pihak yang menaja anda, telah membayar yuran yang sama tinggi dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain agar anda boleh mencari dan memanfaatkan ilmu di universiti. Usah takut menyuarakan pendapat atau bertanya, anda masih pelajar dan kesalahan di dalam kelas adalah sesuatu yang baik kerana dari situ anda dapat belajar. Thomas Edison, dalam usahanya menjana kuasa elektrik, pernah mengatakan: “I have not failed. I’ve just found 10,000 ways that won’t work”. Bangkit dari kegagalan atau kelemahan itu lebih memuaskan dari pencapaian baik yang mendatar. Anda mendapat tempat di universiti adalah bukti kelayakan anda, usah merasa tidak upaya. Yakin.
Jangan pula anda membandingkan diri anda dengan rakan seperjuangan yang lain, kerana percayalah, saya sudah meneliti kertas ijazah itu berkali-kali, dan tiada tertera di mana-mana pun mengenai kedudukan anda berbanding rakan-rakan lain. Kalau anda suka, harus atau ingin bertanding, cabarlah hanya dengan diri anda sendiri. Setiap kali tiba waktu peperiksaan, halakan tujuan anda untuk melakukan yang lebih baik dari percubaan anda yang sebelumnya. Jangan takut akan kecewa jika anda gagal setelah bertungkus-lumus, siang malam belajar, membaca. Dari pengalaman saya kegagalan itu biasanya bermanfaat; sama ada ia untuk menyedarkan diri anda bahawa anda sudah terlalu selesa dan tidak mencuba sedaya upaya, atau mungkin anda telah melakukan sebuah kesilapan (dan anda harus mengenalpasti kesilapan itu agar boleh dielakkan di waktu mendatang). Setiap pensyarah tidak bermisi untuk menggagalkan anak didik sendiri (kerana ini juga tidak akan mencerminkan dengan baik kewibawaan mereka sebagai pendidik); markah itu ada, peluang itu ada. Anda hanya perlu melakukan yang terbaik. Usaha.
Setiap perjalanan itu, bukannya terpisah dari perjalanan yang sebelumnya. Menjelang tahun pertama di univeristi, mungkin ada yang masih ghairah, masih mencari mana untuk menapak. Tahun kedua di universiti, tentu ramai yang mula lelah, yang terasa seakan-akan telah lama berlari, berlari dan berlari. Budaya kerja di universiti berbeza; walaupun banyak kegiatan sampingan, tetapi matlamat semua adalah satu; untuk mendapatkan ijazah di akhir pengajian. Dan mungkin akan terasa penat bukan hanya kerana bertimbun tugasan harus diselesaikan dalam sesingkat waktu, tetapi kerana rasanya sudah lebih dua dekad berlari dalam perlumbaan ini, dan mungkin anda di pinggir putus asa. Belajar dan bangkit dari kegagalan kerana Tuhan tidak akan menguji anda di luar batasan keupayaan anda. Jika anda yakin pada diri sendiri, dan anda telah berusaha sejauh mana mampu, bawa bertenang, tarik nafas, usah kaget dan mencacah. Sudah selesai dihantar esei kajian anda, atau sudah selesai 2 jam menjalani peperiksaan, tamatkan rasa gelisah anda di situ, jangan bawa pulang dan jangan membiarkan ia membelenggu anda sehingga hari mendapat keputusan tiba. Anda telah yakin dengan diri sendiri dan anda telah berusaha. Anda telah melakukan segala apa yang boleh anda lakukan. Bawa bertenang. Tawakkal.
*****
Terus terang apabila mula menulis rencana ini, saya buntu bagaimana ingin bermula. Teringat waktu ingin menulis esei pertama untuk penggal terakhir saya di NUS. Sampai menangis duduk menghadap komputer riba melihat dokumen kosong terpancar di skrin selama lebih dari seminggu. Saya telah mengadu pada seoarang rakan, bila terdengar gagang telefon di angkat terus saya mula terpekik-pekik marah-marah dan akhirnya mengaku, saya tidak tahu bagaimana harus mula menulis esei ini! Dengan tenang dia menjawab, cuba mula dengan Bismillah.
******
Tidak pernah saya kesali waktu-waktu di NUS. Selain tuntutan akademik dan kerja, saya pasti ramai yang seronok dengan kehidupan sosial dan aktiviti-aktiviti sampingan di dalam dan di luar kampus. Hanya apabila perjalanan mula rumit, di situ setiap orang memerlukan sokongan, motivasi dan peringatan.
Yakin. Usaha. Tawakkal.

