Peserta, Penganjur, Pembimbing dan Penaja: Pejuang Bahasa Melayu di Singapura
0Sememangnya, kempen Bulan Bahasa
ini merupakan acara dwitahunan. Memandangkan ramai di antara mahasiswa yang melibatkan diri dalam Bulan Bahasa pada tahun 2010 mahukan Bulan Bahasa ini diadakan secara bertahunan, Jawatankuasa Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) telah memutuskan bahawa Bulan Bahasa akan diadakan setiap tahun. Kenyataan ini telah dilaporkan di Berita Harian pada 2 Ogos 2010 yang bertajuk ‘Usah henti guna bahasa Melayu lepas Bulan Bahasa.’ Malah saya juga ikut menyertai forum yang berjudul , ‘Bahasa Jati Diri Bangsa – Setiap generasi obor penerus bangsa. Apakah peranan kita?’ pada 10 Julai 2010 di Perpustakaan Nasional Singapura (NLB) yang dikhaskan untuk mahasiswa di Singapura. Salah satu saranan yang dikemukakan oleh seorang mahasiswa dalam forum itu ialah mengapa Bulan Bahasa tidak diadakan tiap-tiap tahun. Ramai juga mahasiswa di dalam forum itu berpendapat bahawa Bulan Bahasa seharusnya diadakan setiap tahun. Saya percaya saranan ini pernah diketengahkan pada Bulan Bahasa yang lalu. Oleh kerana semangat dan kerjasama mahasiswa sepanjangan Bulan Bahasa 2010 dapat meyakinkan jawatankuasa MBMS, saranan untuk menjadikan Bulan Bahasa sebagai acara tahunan telah diterima.
Apa yang ingin saya ketengahkan ialah usaha memperjuangkan bahasa Melayu bukanlah setakat bergantung pada semangat di dalam diri orang Melayu. Rencana ini mempunyai tujuan untuk mengupas peranan pejuang bahasa Melayu dari sudut yang berbeza.
Penaja
Pejuang bahasa Melayu selalunya bertindak sebagai sukarela. Namun begitu, tenaga kerja dan pelan untuk menjayakan sesebuah aktiviti tidak mencukupi tanpa dana. Ini adalah kerana setiap keperluan asas untuk menganjurkan aktiviti seperti penyewaan tempat, elauan pegawai teknikal dan bil elektrik perlu dilunaskan dengan wang. Menurut Berita Harian, 9 Jun 2010, yang berjudul ‘Tambahan dana untuk lestarikan bahasa Melayu,’ pemerintah telah meningkatkan peruntukan dana kepada MBMS dari $100,000 kepada $150,000. Pada tahun itu juga, MBMS telah mendapatkan suntikan dana sebanyak $40,000 daripada dua dermawan iaitu, Ketua Pegawai Eksekutif, The MES Group, Encik Mohamed Abdul Jaleel dan Pengerusi Eksekutif Marine Pestige Pte Ltd, Datuk Zain Abdullah. Pada tahun ini, MBMS juga mendapat peruntukan $150,000 bagi Bulan Bahasa. Wang sebanyak $150,000 ini boleh diagihkan kepada 300 pelajar untuk membayar duit yuran peperiksaan peringkat ‘O’. Wang sebanyak ini juga boleh diagihkan kepada 70 orang pelajar di politeknik dan universiti untuk membeli komputer riba. Di Singapura, masyarakat Melayu mendapat hak mereka untuk melestarikan bahasa Melayu memandangkan bahasa Melayu telah dipilih sebagai salah satu bahasa rasmi. Pada dasarnya, wang yang disalurkan kepada MBMS adalah hak milik bersama rakyat Singapura yang membayar cukai. Oleh itu, setiap rakyat Singapura mempunyai hak untuk mempersoalkan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MBMS agar wang yang diagihkan itu dapat dimanfaatkan bersama.
Dana untuk melestarikan bahasa Melayu pada Bulan Bahasa 2011 ini lebih daripada mencukupi. Malah, Jawatankuasa Bulan Bahasa boleh mengadakan lebih banyak aktiviti jika ada ramai dermawan yang tampil ke hadapan untuk menyalurkan wang. Namun begitu, apa yang menjadi isu mengenai Bulan Bahasa ialah bilangan orang yang mengikut serta aktiviti-aktiviti Bulan Bahasa. Ia akan menjadi satu pembaziran besar jika aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan tidak dapat sambutan yang memberangsangkan. Sebenarnya, keberkesanan Bulan Bahasa sebenar belum kita ketahui. Belum ada kajian yang telah dilakukan untuk mengkaji sejauh manakah Bulan Bahasa ini mendapat sambutan hangat. Mungkin kajian itu telah dilakukan. Walaubagaimanapun, analisis mengenai kajian itu tidak didedahkan kepada umum.
Peserta dan pembimbing
Dalam memperjuangkan bahasa Melayu, seseorang itu harus menyertai aktiviti bahasa Melayu dan bukan setakat menjadi seorang penganjur. Ini tidak bererti bahawa peranan seorang penganjur itu tidak penting. Pada 8 Julai 2011, saya telah pergi ke acara Gerak Puisi di Esplanade untuk menyaksikan beberapa sekolah mengadakan persembahan deklamasi sajak. Saya melihat beberapa muka yang saya kenal. Ramai di antara pelajar yang terlibat dalam persembahan itu juga pernah melibatkan diri dalam aktiviti bahasa Melayu yang lain seperti Perkampungan Bahasa, Deklamasi Sajak Kreatif dan sebagainya. Sebagai pelajar yang sedang meningkat usia, mereka belum cukup matang untuk menganjurkan sebuah aktiviti bahasa Melayu. Pada usia yang muda, mereka menimba seberapa banyak ilmu dan kemahiran seperti berlakon, mendeklamasikan sajak, bersyair, bermain rebana dan sebagainya. Namun begitu, penyertaan para pelajar ini di dalam aktiviti bahasa Melayu ini juga amat bergantung kepada para guru yang memainkan peranan sebagai pembimbing. Saya kagum dengan tenaga pengajar daripada Kelompok Sekolah-sekolah Kesusasteraan (KSSK). KSSK dianggotai oleh sekolah-sekolah yang mengajar subjek sastera di peringkat ‘O’. Walaupun KSSK baru ditubuhkan pada tahun 2008, KSSK telah mengadakan banyak aktiviti. Pada tahun ini, KSSK telah mengadakan dua aktiviti dalam bulan bahasa. Pada tanggal 8 dan 9 Julai 2011, KSSK telah mengadakan acara Gerak Puisi di Esplanade dan pada tanggal 23 Julai 2011, KSSK telah mengadakan sebuah muzikal yang berjudul ‘Galuh Cendera Kiraya’ berdasarkan Hikayat Panji Semerang.
Apa yang menjadi tanda tanya ialah adakah pelajar-pelajar yang aktif dalam kegiatan bahasa Melayu ini akan terus memperjuangkan bahasa Melayu sehingga mereka menjadi dewasa kelak? Ini adalah kerana penglibatan mereka di dalam aktiviti bahasa Melayu masih dipengaruhi oleh guru mereka. Apabila mereka melanjutkan pelajaran mereka ke politeknik dan ITE, belum tentu mereka akan aktif dalam persatuan bahasa Melayu. Jika kita teliti mahasiswa-mahasiswa yang aktif dalam aktiviti bahasa Melayu, ramai di antara mereka yang datang daripada sekolah yang terlibat dalam program EMAS untuk sekolah menengah dan MLEP untuk maktab rendah. Mahasiswa-mahasiswa ini telah digilap untuk menjadi pemimpin untuk memperjuangkan bahasa Melayu sejak di maktab rendah lagi.
Penganjur
Ramai di antara mahasiswa di NUS memperjuangkan bahasa Melayu dengan menjadi seorang penganjur. Sebenarnya, tidak salah untuk menjadi penganjur. Namun begitu, mahasiswa harus peka bahawa potensi seorang mahasiswa adalah lebih daripada peranan mereka sebagai penganjur. Walaupun peranan mahasiswa lebih kepada peranan sebagai seorang penganjur, mereka juga boleh melibatkan diri sebagai peserta. Definisi peserta ini tidak semesti harus mengambil bahagian dalam satu peraduan. Seseorang itu boleh menjadi peserta yang aktif dengan berkarya seperti mengarang sajak, cerpen atau menulis esei kritikan. Hasil karya oleh mahasiswa sudah pasti mutunya lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelajar daripada sekolah menengah. Ini adalah kerana mahasiswa mempunyai pendedahan yang lebih meluas melalui pengalaman dan luas pembacaan. Hasil karya ini akan menjadi contoh yang baik bagi pelajar-pelajar daripada sekolah menengah. Kepincangan di dalam golongan pejuang bahasa Melayu di universiti ialah kurangnya golongan intelektual. Seseorang pemimpin haruslah mempunyai intelektual. Intelektual ini bukan bererti bijak di dalam peperiksaan. Menurut Antonio Gramsci, golongan intelektual adalah segolongan pemimpin yang senantiasa berfikir untuk memperbaiki keadaan masyarakat. Jika diberi konteks yang tepat, golongan intelektual dalam kelompok pejuang bahasa Melayu di universiti ialah orang yang selalu memikirkan idea-idea baharu untuk melestarikan bahasa Melayu dengan lebih berkesan dan bukan sahaja mengikuti apa yang telah dilakukan oleh penganjur-penganjur yang terdahulu.
Kesimpulan
Akhirul kalam, kejayaan Bulan Bahasa 2011 ini adalah hasil gabungan daripada empat buah golongan, yakni, penaja, peserta, pembimbing dan penganjur. Walaupun Bulan Bahasa ini memakan masa satu bulan, ini tidak bererti kegiatan bahasa Melayu akan berakhir. Terdapat juga banyak aktiviti bahasa Melayu yang diadakan bukan dalam Bulan Bahasa. Apa yang penting ialah pelajaran bahasa Melayu di sekolah. Aktiviti Bulan Bahasa ini hanya memupuk minat kepada bahasa Melayu kepada generasi muda. Dari segi kualiti dan ragam bahasa, itu adalah tugas tenaga pengajar di sekolah untuk memperbetulkannya.

