Ramadan yang Berbeza
0“Puasa di Indonesia? Sana ada bazaar Ramadhan tak?” Itulah pertanyaan yang paling sering saya dengar apabila teman-teman saya mendapat tahu bahawa saya akan menyambut bulan Ramadhan di Indonesia.
Pada mulanya, pertanyaan ini seperti sesuatu yang normal, kerana sememangnya Ramadhan di Singapura itu sering dikaitkan dengan bazaar-bazaar Ramadhan. Memang tidak pelik lagi bagi kaum Muslimin di Singapur
a untuk mengunjungi bazaar-bazaar ini untuk mendapatkan juadah untuk berbuka puasa, dan juga untuk membeli keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Walau bagaimanapun, setibanya saya di Indonesia, saya menyedari bahawa pertanyaan ini hanya menunjukkan sifat konsumerisme yang sangat lazim dalam masyarakat Singapura. Di Indonesia, bazaar Ramadhan yang besar-besaran sukar ditemui. Apa yang ada hanyalah toko-toko yang menawarkan jualan murah untuk menyambut Ramadhan.
Ini tidak bermaksud bahawa Ramadhan di Indonesia kurang meriah. Pada beberapa malam sebelum Ramadhan, dan sehingga sekarang, dada langit sering dihiasi dengan bunga api dan mercun. Bacaan ayat-ayat dari Al Quran juga sentiasa bergema, bukan sahaja selepas solat terawih, tetapi selepas setiap waktu solat. Menurut teman-teman yang berasal dari Indonesia, pementasan dan perarakan juga akan diadakan sepanjang bulan Ramadhan.
Jikalau di Geylang Serai banyak sekali lampu yang akan dinyalakan setiap Ramadhan menjelang Hari Raya Aidilfitri, di Indonesia pun tidak kurang lamp-lampunya. Yang membezakan suasana di kedua negara ini adalah apa yang dipancarkan lampu-lampu itu. Di Indonesia, lampu-lampu ini akan mengucapkan masyarakat Islam “Selamat Berpuasa”, dan bukan “Selamat Hari Raya” seperti di Singapura.
Semenjak hari Ramadan yang pertama, teriakan “Sahur! Sahur!” dan bunyi gendang telah berperanan sebagai jam loceng bagi saya, diikuti dengan alunan ayat-ayat dari Al Quran yang bergema dari masjid-masjid yang berdekatan tempat tinggal saya. Sahur diiringi dengan rancangan di televisyen, “Sahur Semua Sahur!”.
Sememangnya, kebanyakan stesen televisyen di Indonesia mempunyai banyak rancangan khas Ramadhan. Waktu bagi beberapa rancangan biasa juga telah ditukar, agar tidak akan mengganggu waktu solat terawih. Keprihatinan sebegini sememangnya sukar untuk didapati di Singapura.
Sememangnya, jika ingin dibandingkan, ada banyak lagi perbezaan dalam sambutan bulan Ramadhan di Singapura dan di Indonesia.
Mungkin memang lebih senang untuk Indonesia, sebagai negara yang majoritinya Islam, mengadakan suasana Ramadhan yang lebih spiritual, dan tidak berasaskan sifat konsumerisme. Ini memang benar, dan tidak akan saya nafikan. Walau bagaimanapun, saya tetap berpendapat bahawa banyak yang boleh dipelajari umat Islam di Singapura dari cara Ramadhan disambut di Indonesia.
Sebagai seorang anak muda Singapura yang selama ini sering mengaitkan Ramadhan dengan sifat konsumerisme, Ramadhan kali ini, di Indonesia, merupakan suatu pengalaman yang sangat berbeza, dan sangat berharga.
Dengan kata-kata ini, saya ingin mengucapkan, Ramadhan Mubarak! (:


