Bersantai di tepi pantai
0Saat tibanya cuti umum atau cuti sekolah, ramai dikalangan masyarakat Melayu kita gemar berkelah di tepi pantai bersama keluarga masing-masing atau sahabat-handai. Kegiatan sebegini amat digalakkan kerana peluang ini boleh diambil bagi mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain. Tambahan pula, kegiatan sebegini tidak memerlukan modal yang banyak lantas dapat menjimatkan wang serta mengelakkan diri kita dari berkelakuan boros. Inilah salah satu sebab mengapa sebilangan masyarakat kita lebih gemar pergi ke pantai dari menghabiskan wang di pusat membeli-belah.
Terdapat pelbagai kegiatan yang dapat dilakukan di tepi pantai. Salah satunya adalah berlari-lari anak. Suasana tepi pantai yang aman dan udaranya yang segar dapat meningkatkan lagi semangat seseorang itu untuk bersenam. Selain berlari-lari anak, seseorang itu boleh memilih untuk berbasikal atau bersepatu roda di jalan yang telah dikhaskan bagi kegiatan sedemikian.
Bagi mereka yang gemar bermain dengan air, mereka boleh langsung ke dalam laut untuk bermandi-manda. Malangnya, pemandangan dalam air di persekitaran kawasan tanah besar Singapura tidaklah begitu indah kerana batu karang dan ikan-ikan kecil tidak mudah dijumpai di kawasan ini. Sebut tentang ikan, mereka yang gemar memancing boleh juga menebar joran untuk mencuba nasib mereka.
Sukan lasak seperti futsal juga dapat dilihat di tepi pantai. Sebagai contoh, pantai East Coast ada menyediakan arena khas bagi mereka yang gemar bermain sukan futsal ini. Arena khas bagi mereka yang gemar kepada sukan papan luncur turut disediakan di pantai East Coast. Bagi mereka yang ingin berjimat, mereka boleh memilih untuk duduk di tempat yang disediakan untuk menyaksikan gelagat orang yang sedang bermain papan luncur.
Akhir sekali, jika seseorang itu berasa lapar, kawasan tepi pantai di Singapura secara amnya ada menjual pelbagai jenis makanan bagi pengunjung. Disebabkan kepelbagaian kegiatan yang boleh seseorang itu lakukan, tidak hairanlah jika tepi pantai menjadi pilihan masyarakat Melayu kita.


