Contengan Hidup – Luahan Tidak Berketepian
0Suasana Pusat budaya Universiti (UCC) di NUS dimeriahkan lagi baru-baru ini dengan sebuah acara tahunan Ilsa Tari NUS, “Contengan Hidup – Luahan Tidak Berketepian”. Di bawah arahan pengarah artistik/pereka tari tetap Osman Abdul Hamid, Ilsa Tari telah menyajikan sebuah persembahan yang unik dan berlainan dari tahun-tahun sebelumnya. Selain dari menggunakan seni instalasi dan mengetengahkan tarian yang kurang dikenali seperti randai, persembahan Ilsa Tari juga diiringi lagu yang dimainkan secara live dibawah arahan penggubah lagu Dzul Rabul Jalil. Turut menyerikan acara ini adalah tetamu-tetamu kehormat, Encik Hawazi Daipi, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan dan Tenaga Manusia berserta Dr Intan Azura Mokhtar, Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio.
Bagi Anisah Azami, persembahan Ilsa Tari merupakan satu pengalaman yang menarik. “Saya amat terhibur dengan persembahan ini dan alunan lagu live telah menghidupkan lagi persembahan Ilsa Tari,” ujar mahasiswi dari Universiti Pengurusan Singapura ini.
Menurut presiden Ilsa Tari, Dinie Dasuki Bin Osman (gambar, paling kanan), persediaan bagi persembahan ini bermula seawal Mei. “Kali ini, persembahan Ilsa Tari agak abstrak dan berlainan dari tahun-tahun sebelumnya dan kami cuba melakukan sesebuah experimental improvisation.” Dinie, yang juga merupakan mahasiswa tahun ketiga, jurusan Kimia menyifatkan pengalaman kali ini lebih bermakna kerana pelantikkanya sebagai Presiden dimana beliau memegang lebih tanggungjawab seperti menguruskan hal pentadbiran.
Terdapat beberapa mahasiswa tahun pertama juga yang telah turut menyumbang tenaga untuk menjayakan acara ini. Antaranya merupakan Adib Ridzuan, mahasiswa dalam jurusan Bioengineering. Berkongsi tentang pengalamannya, Adib mengatakan, “ini merupakan pertama kali saya terlibat dalam persembahan segah sebegini dan ia merupakan sesuatu pengalaman yang indah.”



