Haruskah kita dibiarkan buta?

0

Mukadimmah
Pada tanggal 26 Oktober 2011, Encik Effendy, seorang calon falsafah kedoktoran (Phd) di Universiti of Hawaii, telah membuat beberapa kritikan mengenai golongan yang tidak mahu mengambil perhatian mengenai sejarah bangsanya.  Beberapa hari kemudian, Encik Haji Diman Ahadi, telah memberi pendapatnya menerusi ruang forum yang bertajuk “bantu warga tahu sejarah sebelum Raffles” (Berita harian, 29 Oktober 2011) mengenai melestarikan tokoh-tokoh sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Di dalam rencana itu, Encik Haji Diman telah mencadangkan supaya cerdik pandai dan pakar sejarah kita harus mengkaji sejarah negara ini dan menyebarluaskan kepada warga.  Adakah sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles telah sengaja dikaburkan oleh pihak-pihak tertentu? Atau warga Singapura sendiri yang tidak mahu mengambil perhatian mengenai sejarah Singapura? Adakah masalah mengenai sejarah Singapura ini hanya dirasai oleh orang Melayu di Singapura sahaja?

Sebab-sebab kenapa sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles dikaburkan daripada penglihatan warga Singapura
Secara rasminya, S. Rajaratnam, timbalan Perdana Menteri pada tahun 1967, telah mengisytiharkan Thomas Stamford Raffles sebagai pengasas Singapura. Perbahasan mengenai siapa yang seharusnya diisytiharkan sebagai pengasas Singapura telah dirakamkan di dalam buku kompilasi ucapan-ucapan beliau yang bertajuk “S. Rajaratnam: The Propehtic and the Political”. Pemilihan Raffles sebagai pengasas Singapura dipengaruhi oleh usaha S.Rajaratnam dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Dengan perlantikan Raffles sebagai pengasas, setiap bangsa di Singapura akan mempunyai sejarah permulaan yang sama, iaitu, bertapak sebagai masyarakat pendatang. Memandangkan Singapura mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa,  pemilihan personaliti daripada sebuah masyarakat, jika tidak ditangani dengan baik, boleh mendatangkan kerumitan dalam proses pembentukan sebuah negara. Oleh itu, pelantikan seorang penjajah seperti Raffles merupakan pilihan yang selamat memandangkan perlantikan beliau sebagai pengasas tidak memperlihatkan sejarah negara sebagai tidak memihakkan kepada sesebuah bangsa di Singapura. Pemilihan Raffles sebagai pengasas Singapura dikuatkan lagi dengan sokongan daripada Raffles Professor di Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Professor K.G Tregonning, di dalam buku “150th anniversary of the founding of Singapore”, yang mengatakan Singapura moden bermula pada tahun 1819. Tiada perkara yang berlaku di atas pulau sebelum ini yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk memahami kejadian kontemporari.  Oleh itu, sejarah nasional Singapura secara rasminya bermula pada tahun 1819.

Kesan sejarah Singapura terhadap identiti bangsa Melayu
Memandangkan pembentukan negara bangsa di Singapura berdasarkan konsep berbilang kaum, setiap identiti kaum di Singapura telah ditetapkan oleh pemerintah.  Perkara ini boleh dilihat menerusi dasar-dasar bahasa ibunda. Bagi kaum Cina, bahasa Mandarin telah dipilih sebagai bahasa ibunda. Kaum Melayu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Bahasa Tamil pula dipilih untuk menjadi bahasa ibunda untuk kaum India. Memandangkan setiap kaum di Singapura diberi hak sama rata dari segi layanan dalam usaha mengekalkan identiti mereka, status istemewa bangsa Melayu sebagai peribumi negara Singapura menjadi kurang jelas. Malah, kesan sejarah Singapura ini juga menimbulkan kekeliruan mengenai status orang Melayu di Singapura. Orang Melayu di Singapura juga telah dianggap sebagai masyarakat pendatang sama seperti kaum Cina dan India. Dengan meluputkan sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles, hubungan sejarah Singapura dengan tanah Melayu telah diputuskan seolah-olah Singapura ini tidak terletak di tengah-tengah Alam Melayu.

Kajian lepas mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles
Masalah mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles pernah diketengah oleh Professor Syed Hussein Alatas. Di dalam satu seminar yang bertajuk “Malays/Muslims and the history of Singapore”, anjuran Centre for Research on Islamic and Malay Affairs (RIMA) di bawah naungan Association of Muslim Professional (AMP), beliau mengetengahkan beberapa masalah dalam penulisan sejarah Singapura. Pada pendapat beliau, terdapat banyak perkara yang berlaku di Singapura pada kurun keenambelas dan tujuhbelas yang masih terselindung. Ini adalah kerana pihak Inggeris tidak merujuk kepada akrib Belanda semasa menulis sejarah mengenai Singapura.  Isu mengenai akrib juga dibincangkan di dalam buku, The Makers and Keepers of Singapore History, Loh kah Seng, menerusi rencananya, “Encounters at the gates,” ada mengatakan bahawa ada kawalan ketat mengenai bahan-bahan sejarah yang boleh dirujuk untuk membuat kajian sejarah.

Peter Borschberg, seorang sejarawan daripada Jabatan Sejarah, NUS, telah menulis sebuah makalah di Journal of Malaya Branch of the royal Asiatic society yang bertajuk “Jacques de Coutre as a Source for the Early Seventeenth-Century History of Singapore, the Johor River and the Straits”. Dengan menggunakan dokuman sejarah daripada Sepanyol, Peter Borschberg dapat membuktikan bahawa ada seorang Shahbandar di Singapura pada kurun ketujuhbelas. Dokumen-dokumen Sepanyol juga dapat membuktikan bahawa Portugis ada ura-ura untuk membina sebuah kubu di selatan Singapura untuk melindungi kapal-kapal dagang Portugis daripada diserang kapal perang VOC (Belanda) dan Johor. Buku yang bertajuk Prince of Pirate: The Temenggong and Development of Johor and Singapore, 1784-1885, oleh Carl A. Trocki, merakamkan pergolakkan politik Singapura sebagai sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau-Lingga sehinggakan pihak Inggeris berupaya mengambil kesempatan untuk menjadikan Singapura sebagai milik Inggeris. Buku ini juga merakamkan nilai-nilai sejarah Telok Blangah yang ada hubungan rapat dengan kerajaan Johor.  Carl A. Trocki menghasilkan buku ini dengan mendapatkan sumber daripada akrib Johor.

Kini, penulisan sejarah Singapura di peringkat akademik sudah semakin matang. Terdapat percubaan untuk menulis sejarah Singapura menjangkau tahun 1819. Kwa Chong Guan, merupakan salah seorang perintis sejarawan Singapura yang telah banyak menulis mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Di dalam buku Malays/Muslims in Singapore: Selected Readings in History 1819 – 1965, beliau telah menulis sebuah bab yang bertajuk Why did Tengku Hussein Sign the 1819 Treaty with Stamford Raffles? Di dalam babab ini, beliau menceritakan perjanjian 1819 ini daripada perspektif Raja Ali Haji. Menurut Raja Ali Haji, pertabalan Tengku Long bukan sebagai Sultan Johor tetapi digelar Yang Dipertuan Selat.  Di dalam buku Singapore from Temasek to the 21st Century: Reinventing the Global City, Kwa Chong Guan juga menulis sebuah bab yang berjudul Singapura as a central place in malay history and identiti. Di dalam bab ini, beliau telah mengaitkan Singapura dengan Sejarah Melayu untuk membuktikan bahawa Singapura ada peranan penting dalam pembentukan sejarah di alam Melayu.

Sejarah Singapura sejak kurun keduabelas juga telah dihasilkan menerusi buku Singapore, A 700-year history: From Early Emporium to World City, terbitan Akrib Negara Singapura (NAS). Penulis buku ini merupakan penyarah daripada NUS. Mereka adalah Tan Tai Yong, Derek Heng dan Kwa Chong Guan. Buku ini menulis sejarah Singapura daripada perspektif yang berbeza.  Lebih separah daripada bab yang ada di dalam buku ini tertumpu kepada sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles.

Haruskah kita dibiarkan buta?
Sudah terdapat banyak kajian mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Namun begitu, kenapa masih ramai warga Singapura yang tidak tahu mengenai sejarah Singapura sebelum tahun 1819? Ini adalah kerana sejarah nasional Singpura telah mendapat campur tangan oleh ahli politik.  Oleh kerana niat pemerintah untuk menjadikan sejarah nasional Singapura sebagai alat pembentukan negara bangsa, elemen-elemen yang boleh menggugat keamanan negara telah dipadamkan di dalam buku teks sekolah. Salah satu elemen yang telah dipadamkan daripada buku teks sejarah sekolah ialah wujudnya kerajaan Melayu di Singapura pada abad yang keduabelas.

Salah satu cara untuk membudayakan ilmu sejarah ialah mengadakan banyak aktiviti-aktiviti mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Berita Harian, sebagai suratkhabar bahasa Melayu tempatan tunggal harus memainkan peranan yang lebih besar dalam mempromosi buku-buku sejarah mengenai Singapura. Pada masa yang sama, persatuan-persatuan Melayu/Islam di universiti tempatan haruslah bersikap kritikal terhadap kesan penulisan sejarah Singapura terhadap orang Melayu. Persatuan-persatuan Melayu/Islam di universiti seharusnya mengadakan satu acara tahunan yang mempunyai tujuan untuk menyingkap sejarah Singapura daripada perspektif orang Melayu. Mahasiswa harus memainkan peranan yang proaktif dalam memperjuangkan sejarah dan warisan Melayu alternatif yang mungkin tidak boleh dilakukan oleh guru-guru di sekolah nasional untuk pelajarnya.  Cara seterusnya dalam melestarikan sejarah Singapura ialah mendedahkan bahan-bahan bacaan kepada para pelajar di samping melawat tempat-tempat sejarah yang berhubung kait dengan bahan-bahan bacaan yang diberi.

Akhirul kalam
Natijahnya, sudah banyak kajian mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah usaha yang lebih gigih dan kreatif untuk menyedarkan sejarah Singapura. Jangan membiarkan generasi muda kita buta dengan sejarah Singapura.


Tentang Penulis

Farid.Akudeta Nama saya Muhammad Farid Bin Mohd. Saya berpegang kepada peribahasa Melayu “genggam bara api biar sampai jadi arang”. Saya juga berminat dalam sastera Melayu. Saya lebih cenderung kepada sastera klasik. Saya berminat dalam syair, gurindam dan pantun. Cita-cita saya adalah untuk menghasilkan sebuah novel dan berharap ia akan berjaya.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*




You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa