‘Kelas Bahasaku di Luar Kelas!’- Permulaan Melalui Persahabatan

0

Kebolehan bertutur lebih dari satu bahasa sudah menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat kita di Singapura. Ini disebabkan dasar dwibahasa (bilingual policy) yang ditekankan di sekolah-sekolah kebangsaan di Singapura. Malahan, ada juga pelajar yang mengambil bahasa ketiga sebagai mata pelajaran tambahan. Maka, tidak hairanlah jika penguasaan bahasa itu sering dikaitkan dengan pelajaran. Mauduk dwibahasa ini sering dilihat dan diamati dari segi pendidikan lantas, sesuatu bahasa itu dianggap tidak lebih dari satu matapelajaran yang dipelajari di sekolah.

Penguasaan sesuatu bahasa itu juga sering dikaitkan dengan insentif-insentif tertentu. Misalnya, bahasa Mandarin sering diketengahkan sebagai satu bahasa yang baik untuk dikuasai sebagai bahasa kedua atau ketiga kerana ia memberikan peluang pekerjaan yang lebih luas. Beberapa tahun lalu, kerana kebangkitan ekonomi-ekonomi di negara-negara Timur Tengah juga, bahasa Arab diketengahkan sebagai satu bahasa yang membenarkan peluang pekerjaan di bandar-bandar yang kian pesat membangun seperti Dubai dan sebagainya. Dalam hal ini, insentif-insentif ekonomi yang dikaitkan dengan sesuatu bahasa itu menjadi penentu samada untuk menguasainya ataupun tidak.

Memang tidak menjadi masalah bagi kita untuk mentelaah mauduk penguasaan dwibahasa atau pelbagai bahasa dari segi ekonomi dan pendidikan. Tetapi, kita harus sedar bahawa penguasaan dwibahasa atau berbilang bahasa ini bukanlah hanya boleh wujud dan dimulakan di dalam kelas sahaja. Tambahan lagi, penguasaan bahasa kedua dan ketiga bukanlah hanya untuk insentif ekonomi dan pekerjaan sahaja. Kita sering mendengar rungutan para pelajar yang mengambil bahasa ketiga dan mereka merasakan bahawa subjek itu ibarat satu beban yang menggugat pencapaian gred mereka. Ternyata, penguasaan bahasa tambahan itu menjadi sesuatu yang membebankan para pelajar kerana pendekatan pembelajaran bahasa yang terlalu tegar melalui peperiksaan-peperiksaan yang sangat membebankan para pelajar.

Sewaktu menjalani perkhidmatan negara, saya berpeluang untuk bekerjasama dengan pelbagai orang. Ternyata, kebanyakan mereka mempunyai kebolehan untuk bertutur dalam tiga bahasa atau lebih. Yang membuat saya terpegun ialah mereka tidak mempunyai pendidikan hingga ke peringkat sarjana. Namun, kebolehan mereka untuk menguasai dan bertutur dalam pelbagai bahasa itu sangat memberangsangkan. Kebanyakan mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu yang fasih. Ada pula yang boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, Melayu dan Tamil. Ramai juga diantara mereka yang boleh bertutur dalam bahasa dialek Hokkien. Malah ada juga yang boleh bertutur dalam keempat-empat bahasa rasmi di Singapura dengan baik.

Ramai yang akan menyangka bahawa mereka mengambil kelas-kelas bahasa untuk menguasai bahasa-bahasa tersebut. Namun, jika ditanya tentang bagaimana mereka menguasai bahasa-bahasa tersebut, sangkaan kita akan meleset. Ternyata, kebanyakan mereka menguasai bahasa itu bukan melalui kelas atau di sekolah, tetapi, ia disebabkan pergaulan mereka yang merangkumi rakan-rakan yang berbilang bangsa. Tambahan lagi, selain menguasai sesuatu bahasa itu, mereka juga mendalami adat dan budaya hidup rakan-rakan mereka yang berlainan bangsa dan agama. Ternyata, semangat untuk mempelajari bahasa tambahan itu tidaklah semestinya bermula dari dalam kelas. Kehidupan kita di Singapura ini yang bersifat berbilang kaum memberikan kita satu peluang yang baik untuk mempelajari bahasa yang baru dengan cara yang lebih menyeronokkan yakni dengan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa. Permulaan bagi penguasaan bahasa itu tidaklah semestinya harus bermula dari pembelajaran di dalam kelas semata-mata. Tentu tidak asing bagi kita untuk melihat orang-orang dari generasi dahulu yang boleh bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan Cina walaupun mereka bukan berbangsa Melayu atau Cina. Ternyata, mereka menguasai bahasa itu melalui rakan-rakan yang berlainan bangsa.

Mungkin disebabkan sistem pendidikan yang berasaskan dasar dwibahasa, kita sering menghubungkaitkan pembelajaran bahasa itu dengan pelajaran di dalam kelas. Namun, kita lupa bahawa pembelajaran bahasa itu boleh dimulakan dengan mengeratkan silaturrahim dengan rakan-rakan kita yang berlainan bangsa dan agama. Tambahan lagi, penguasaan sesuatu bahasa itu tidaklah seharusnya disebabkan insentif ekonomi dan pekerjaan sahaja. Melalui rakan-rakan yang berlainan bangsa, kita boleh mendalami budaya hidup mereka lantas memupuk suatu masyarakat yang majmuk dan saling hormat-menghormati. Marilah kita meluaskan minda kita dan mengambil kesempatan untuk mengeratkan persahabatan dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa sekaligus bermula untuk menguasai bahasa yang baru di dalam masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum di Singapura. Moga-moga, dengan pendekatan sebegini, kita dapat mendalami budaya hidup mereka selain menguasai bahasa yang baru dengan cara yang lebih menyeronokkan lantas memperkayakan diri dan cendekia.


Tentang Penulis

Zulqarnain.Akudeta Percaya akan pentingnya berminda terbuka dan berlapang dada, Zulqarnain Mohamad berpandangan bahawa perbezaan pendapat, selagi mana ia berasas, adalah satu proses pengayaan diri dan cendekia. Selain dari membaca dan berbincang tentang isu-isu semasa bersama rakan-rakan, Zulqarnain meluangkan masanya untuk berbasikal, menonton atau mendengar muzik dan menulis puisi dalam Bahasa Inggeris. Penulis berharap agar karya penulisannya dapat meninggalkan kesan dan dapat direnungkan bersama-sama oleh para pembaca.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*




You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa