Dwibahasa: Kejayaan atau Kegagalan?
0Bahasa digunakan oleh manusia sejak dahulu kala lagi. Dibandingkan dengan abad lalu, manusia kini lebih menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dengan warga marcapada lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan teknologi. Atas dasar inilah, etos dwibahasa diperkenalkan kepada sistem pendidikan Singapura sejak 1980-an bagi memupuk warganya untuk fasih di dalam sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu bahasa perantara dunia, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Sebagai anak watan kota Singa, saya sendiri melalui sistem ini dan tidak akan saya sangkal bahawa ada kededua pro dan kontra dengan dasar pendidikan yang dilakarkan kementerian ini.
Pada zahirnya, keupayaan seseorang untuk menguasai dua bahasa mampu memberinya kelebihan. Dalam zaman yang amat mementingkan daya komunikasi dari segi apapun, kemampuan bertutur dalam dua bahasa (ataupun lebih) membuat seseorang itu sebagai aset kepada yang lain. Di dalam konteks Singapura, kebolehan berbahasa Inggeris membolehkan warganya bertutur dengan warga dunia yang banyak menggunakan bahasa Inggeris untuk pelbagai urusan. Oleh kerana penduduk Singapura yang pelbagai kaum dan bangsa, bahasa Inggeris merupakan bahasa perantara di kalangan mereka untuk saling memahami. Pendapat ini juga diakui oleh mahasiswi NUS, Cik Siti Madhiah Bte Samat, 22 tahun. Tambahnya lagi,
“Dengan adanya dasar pemerintah seperti ini, warga Singapura mampu bertutur dalam dua bahasa dengan baik. Untuk saya sendiri, saya menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga saya yang berumur. Untuk bahasa Inggeris pula, saya sering gunakannya untuk urusan harian dan bertutur dengan teman-teman yang sememangnya lebih selesa dengan bahasa perantara ini.”
Namun di dalam komentar Cik Madhiah dan ramai lagi yang ditinjau inilah timbul beberapa persoalan yang berlegar di benak fikiran saya. Dan ia sekaligus membuat saya terfikir akan keberkesanan dasar dwibahasa yang sering dibangga-banggakan oleh pemerintah kita sendiri. Bukankah dasar dwibahasa ini prakarsa pemerintah untuk memupuk minat untuk kededua bahasa Inggeris dan bahasa Ibunda? Jika ya, mengapa pula kita mendapati ramai yang sewenang-wenangnya mengungkapkan “My Malay not good ah. I’m better speaking English”? Apa yang lebih meneyedihkan ialah kemampuan pelajar-pelajar menguasai bahasa Ibunda hanya tertakluk kepada mendapat markah untuk kertas peperiksaan. Apabila ditugaskan untuk menggunakan bahasa itu untuk urusan rasmi, seperti berbual di hadapan penonton, ramai yang terpinga-pinga untuk berani dan yakin melakukannya. Namun, berlainan pula jika bahasa Inggeris ditetapkan.
Mantan Menteri Pembimbing, Lee Kuan Yew, juga pernah menyatakan bahawa dasar dwibahasa ini merupakan satu kesilapan di pihaknya dan menyebutkan juga tiada seorang pun yang mampu menguasai dua bahasa di dalam satu-satu masa. Ada kebenaran di dalam kenyataan tersebut sepertimana yang telah diterangkan diatas. Bagi saya dasar dwibahasa ini sendirinya telah membantu saya, kerana bukan sahaja saya boleh mempelajari dua bahasa, tetapi juga boleh bangga dengan kemampuan ini.
Pada pengamatan saya, silapnya ialah penekanan pendidikan yang terlalu ditetapkan bagi bahasa Inggeris sehinggakan warga Singapura secara amnya memikirkan ia ialah satu-satunya bahasa yang terpenting untuk ‘hidup’. Sebagai contoh, jika pelajar gagal dalam matapelajaran bahasa Inggeris Ini sendirinya menimbulkan kontradiksi diantara mengecapi kefasihan dua bahasa ataupun bahasa Inggeris sahaja. Tambahan lagi, sukatan pelajaran bahasa secara amnya terlalu menjurus kepada melaksanakan peperiksaan dengan cemerlang. Dengan itu, pelajar tidak menikmati dan lantas hanya mempelajarinya hanya untuk menyelesaikan peperiksaan yang perlu dihadapi. Hanya dengan menangkis anasir inilah, saya pasti dan harapkan peningkatan kepada penguasaan bahasa Melayu (Ibunda) di kalangan pelajar sekaligus menjadi tunggak keberkesanan dasar dwibahasa ini.

