K-Cube: Kecoh Kecoh Karnival
0Kecoh-Kecoh Karnival merupakan sebuah acara yang diterajui oleh mahasiswa-mahasiswi di Universiti Kebangsaan Singapura. Kali ini, ia dianjurkan bagi kanak-kanak dari rumah Pertapis (Pertapis Children’s Home), yang dalam lingkungan umur 8 hingga 14 tahun, pada 20hb dan 22hb Disember 2011.
Termasuk tahun ini, Kecoh-Kecoh Karnival sudahpun dianjurkan buat kali ketiga. Karnival terulung ini, yang dinamakan ‘K-Cube’ buat tahun 2011, mempunyai beberapa perubahan jika dibandingkan dengan karnival-karnival tahun lepas. K-Cube 2011 dibahagikan kepada dua hari dimana pada hari pertama, kanak-kanak dibawa ke kampus NUS dan hari berikutnya pula dijalankan di PCH.
Kalau Kecoh-Kecoh Karnival 2009 mempunyai segmen ‘Give-A-Gift’, K-Cube pula mempunyai segmen ‘Magic School Bus’ dimana kanak-kanak PCH diberi peluang untuk menaiki “bus sekolah magis” dan beronda-ronda sekeliling kampus. Segmen sebegini mungkin dapat mendorong kanak-kanak tersebut untuk belajar hingga ke peringkat Universiti.
Motif asal Kecoh-Kecoh Karnival masih diterapkan meskipun menjalani pelbagai perubahan pada pucuk pimpinan. Ahli jawatankuasa K-Cube 2011 giat berusaha dengan gigih untuk memberi harapan kepada kanak-kanak PCH. Selain itu, mereka juga memainkan peranan tercontoh yang boleh dijadikan bahan inspirasi bagi kanak-kanak PCH untuk mencapai impian mereka.
Mahasiswi tahun ketiga dan penyelaras projek K-Cube 2011, Siti Madhiah Bte Samat, mengongsi pandangan beliau apabila ditanya apa yang mendorongnya untuk menawarkan diri sebagai penyelaras projek. Menurutnya, “keterlibatan saya dalam K2K 2010 telah memupuk minat dalam acara ini. Justeru, saya telah mencabar diri saya untuk menjadi penyelaras projek bagi tahun ini pula. Peluang murni seperti ini jarang wujud dan apabila saya ketahui posisi ‘penyelaras projek’ belum diambil, cepat-cepat saya merebut peluang tersebut.”
Karnival murni sebegini sentiasa mengingatkan mahasiswa-mahasiswi NUS untuk sentiasa menyumbang kembali kepada masyarakat. Bahkan, ia membuat kita bersyukur dengan keselesaan hidup dan mengingatkan kita kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Moga-moga acara Kecoh-Kecoh Karnival meneruskan legasinya di masa-masa hadapan dan sentiasa memberikan inspirasi kepada generasi Melayu yang lebih muda.

