Nilai Pengetahuan Bahasa Asing: Suatu Imbasan

0

Acapkali saya dipersoal akan sebab-sebab keinginan saya untuk mempelajari sebuah bahasa yang amat kurang sekali digunakan di Singapura. Ramai yang mempunyai tanggapan bahawa saya mungkin terlalu mengkagumi, malah taksub terhadap budaya tersebut, dan ada pula menyoal tentang apa gunanya mendalami sesebuah bahasa yang tidak diamalkan oleh masyarakat am di Singapura. Ini merupakan sebuah pandangan umum yang seringkali saya dapati – bahawa sesebuah bahasa itu hanya patut dipelajari sekiranya terdapat keperluan atau kegunaan. Maksudnya, tiada gunanya sesuatu bahasa itu dipelajari sekiranya ia tidak mendatangkan kegunaan buat pekerjaan atau meraihkan ganjaran material. Misal contoh, mungkin tergerak kehendak dalam hati seseorang itu untuk mempelajari bahasa Mandarin kerana peluang pekerjaan di negeri Cina, atau mungkin juga Bahasa Arab atas sebab yang serupa. Ini ternyatalah cara pemikiran yang baik, malah amat dialu-alukan kerana jaringan peluang pekerjaan akan diperluaskan dengan pengetahuan bahasa-bahasa asing.

Namun, saya ingin mengutarakan sebuah perspektif yang agak berbeza berkenaan dengan isu ini. Mungkin ada sesetengah golongan yang akan bertanggapan bahawa sifat pandangan ini bersifat agak idealistik. Walau bagaimanapun, dengan mengimbas pada pengalaman peribadi, saya ingin mengutarakan pandangan bahawa tidak ada ruginya dalam pembelajaran sebuah bahasa asing, meskipun ia mungkin tidak dapat diamalkan secara harian. Selain daripada peluang untuk berlayar ke tanah asing dan kemudahan pertuturan setibanya di sana, apa yang lebih berharga adalah peluang untuk mempelajari dengan mendalam tentang sesuatu budaya. Kita malah dapat lebih memahami cara pemikiran warga masyarakat tersebut, dan dari itu mungkin membanteras stereotaip yang palsu malah mencemar imej masyarakat tersebut.

Walaupun bahasa Inggeris mungkin dapat digunakan di banyak negara merata dunia, terutama di kota-kota besar, kesannya tidak sama dengan pertuturan sesama para penduduk dalam bahasa ibunda mereka. Perkongsian buah fikiran, perasaan dan pelbagai lagi aspek perhubungan kemanusiaan dipermudahkan dan menjadi lebih selesa dengan penggunaan bahasa ibunda masyarakat tertentu. Ini tidak bermaksud bahawa seseorang itu mesti bertutur dengan fasih – itu merupakan suatu kelebihan namun bukan keperluan. Menurut pengalaman peribadi, apa yang lebih dihargai adalah kemahuan dan minat yang tulus untuk mengenali bahasa dan budaya sesebuah masyarakat itu. Kita seolah-olah mampu meruntuhkan sebuah jurang perpisahan antara dua kaum yang amat berbeza dengan menampakkan keinginan ikhlas untuk mempelajari bahasa kaum itu. Itu menjadi langkah pertama yang sekiranya terus dipupuk, akan dapat menggalakkan lebih persefahaman dan perkongsian antara dua budaya.

Salah satu perkara penting yang saya garap daripada pengalaman menimba ilmu di luar negara adalah bahawa manusia biasanya menjadi lebih terbuka kepada perhubungan apabila mengetahui bahawa kita mempunyai sesebuah persamaan dengan mereka, lebih-lebih lagi pengetahuan dan minat terhadap budaya mereka. Saya teringat akan kerisauan yang diluahkan oleh rakan-rakan serta ahli keluarga tentang kemungkinan mengalami diskriminasi atau layanan dingin di Eropah atas dasar identiti Muslim saya yang jelas terpapar secara zahir. Mungkin saya amat bertuah, tetapi sewaktu berada di negara Perancis di mana kita sering mendapat laporan akan pandangan negatif terhadap umat Islam, saya telah dilayani dengan amat mesra oleh “keluarga angkat” saya, malah oleh ramai penduduk di Brest, kota di mana saya telah inapi buat 3 minggu untuk mendalami bahasa Perancis. Ramai yang berminat untuk mengetahui tentang agama Islam serta budaya-budaya di Singapura kerana kami dapat bertutur secara selesa dengan mereka. Ada juga yang kagum serta juga terharu kerana jarak geografi tidak menjadi penghalang untuk sekumpulan pelajar dari Asia untuk mempelajari bahasa ibunda mereka. Saya tidak bermaksud bahawa semua orang bersikap positif dan terbuka, namun secara umum, kami dijemput dan dilayan dengan amat baik. Apa yang amat mengharukan saya adalah kesedaran bahawa meskipun terdapat perbezaan bahasa dan budaya, nilai-nilai kemanusiaan akan tetap menjadi pegangan, dan mungkin kita juga tidaklah begitu berbeza daripada mereka.

Kebolehan untuk beralih bahasa juga mempermudahkan seseorang itu untuk bertukar-tukar sudut pandangan dan pemikiran. Apa yang penting selain daripada kebolehan bertutur adalah juga kebolehan untuk menyelami buah fikiran seseorang itu dan cuba memahami sudut pandangannya. Saya mendapati bahawa sekiranya kita dapat memperjelaskan sesuatu perkara menurut cara pemikiran seseorang itu, isu-isu rumit dan sensitif dapat diterima dengan lebih ringkas. Contohnya, saya sering diajukan soalan tentang hijab sewaktu di Eropah, dan sebab-sebab atas pemakaiannya. Saya mendapati bahawa mereka lebih mudah menerima penjelasan seperti “Ini pilihan saya sendiri” atau “Saya tidak dipaksa untuk memakainya.” Ini bukanlah untuk mendatangkan kompromi terhadap kepercayaan agama sendiri, tetapi untuk cuba mengelakkan penyebaran stereotaip yang semakin meluas.

Walaupun mungkin ini bukan penjelasan penuh yang saya akan berikan kepada seorang Muslim, ini merupakan suatu cara yang berkesan untuk berkongsi tentang fahaman kebudayaan dan keagamaan kerana ia mampu membanteras stereotaip popular yang buruk tentang agama Islam. Ini adalah bukan hanya untuk “menyedapkan” hati mereka yang kurang memahami, namun untuk mempertingkat keinginan untuk memahami dan menjalin persahabatan. Tujuannya bukanlah untuk membuktikan sesuatu, tetapi pada masa yang sama, kita tidak seharusnya berpeluk tubuh dan mengharapkan untuk diterima masyarakat asing tanpa berusaha untuk bergaul dengan mereka.

Ada yang kemungkinan berpandangan sinis terhadap ungkapan sedemikian kerana memang tidak dinafikan bahawa tidak semua orang yang benar-benar berminat untuk mendalami sebuah bahasa asing. Saya juga ingin menekankan bahawa hubungan kemanusiaan masih dapat terjalin meskipun adanya kekurangan bahasa. Tentu sekali kita sendiri pernah menerima layanan mesra oleh seseorang daripada kaum asing walaupun tiada persamaan bahasa. Namun, perkongsian bahasa dapat lebih memperkayakan perhubungan itu dari segi kebudayaan dan intelektual, malah pada sudut peribadi juga. Natijahnya, apa yang menjadi keutamaan adalah juga sikap yang terbuka dan ikhlas untuk mengetahui dan menghargai secara mendalam budaya-budaya lain, sama ada dari sudut bahasa atau ciri-ciri kebudayaan yang lain.


Tentang Penulis

NurulFadiah.Akudeta

Disimpan dalam: Bicara Minda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*




You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa