Sebuah Terbitan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura

Teratak Bahasa

Isu Warna: Dinamiknya Bahasa Melayu Kita

Wednesday, May 28th, 2008

Oleh M Saffri A Manaf

Pada pandangan saya, dalam arus globalisasi yang mengutamakan bahasa inggeris menjadi bahasa utama berkomunikasi, bahasa melayu masih terus berkembang dengan pesat sebagai satu bahasa yang dinamik dan moden. Penggunaan bahasa melayu terus utuh dan mantap mengikut rentak masa yang begitu cepat dan seringi dengan pekembangan teknologi canggih yang pesat maju, walaupun masih terdapat segelintir golongan muda mudi dan orang dewasa yang berpendidikan tinggi, yang lebih selesa bercakap dalam bahasa inggeris dengan rakan sejawat melayunya. (more…)

Isu Klasik- Peribahasa warisan penuh pedoman hidup.

Friday, May 16th, 2008

Oleh Nuramalina A Ghani, Tahun Satu FASS

Ramai di antara kita memang sudah tidak asing lagi dengan penggunaan ataupun makna peribahasa atau perumpamaan Melayu, lebih-lebih lagi para pelajar Melayu Singapura. Bermula dari bangku sekolah rendah lagi, mempelajari peribahasa merupakan satu komponen yang penting dalam kurikulum pelajaran Bahasa Melayu di sini. Namun ramai juga kurang mengenali peribahasa lain yang ternyata, di luar kurikulum pelajaran sekolah. Oleh kerana penggunaan peribahasa kita amat terhad dalam era serba moden ini, peribahasa lama juga turut tenggelam dek zaman yang berubah.

Ternyata, jumlah peribahasa melayu adalah lebih dari apa yang kita pelajari di sekolah-sekolah. Ia padat dengan bibit-bibit pedoman hidup dengan menggunakan motif alam semesta dan apa jua yang dilihat di sekeliling. Mari kita singkap beberapa peribahasa lain yang kurang dikenali ramai.

Hendak pergi berotan, jangan takut onaknya
Dengan sekali baca peribahasa ini, kita dapat mengenal pasti dua simbol yang dipakai, iaitu rotan dan juga onak. Ungkapan pertama ‘hendak pergi berotan’ membawa maksud jika hendak pergi berotan. Ungkapan kedua ‘jangan takut onaknya’ pula bermaksud usah takut dengan durinya.

Peribahasa ini langsung bererti pekerjaan yang memberi faedah (seperti berotan) tentu ada banyak halangan dan rintangan, namun harus kita tempuhi juga.

Dengan memahami erti peribahasa ini, kita mendapat satu nasihat supaya janganlah cepat berputus asa dalam mencapai satu impian atau cita-cita yang baik. Kadangkala kita akan berhadapan dengan pelbagai halangan dan juga dugaan, namun ia menjadi satu perkara yang lumrah dalam mencapai cita-cita kita. Dengan itu, setiap kejadian ada hikmahnya, begitu juga dengan kesusahan yang telah menimpa kita.

Laksana layang-layang salah teraju
Dua simbol yang tertera dalam peribahasa ini adalah ‘layang-layang’ dan juga ‘teraju’. Teraju di sini bermaksud tali atau benang yang telah diikatkan pada layang-layang tersebut. Jika teraju yang diikat pada layang-layang tersebut tiadk mantap atau diikat dengan betul, layang-layang tersebut tidak akan naik dengan tegak, malah akan lama-lama menjunam ke bawah.

Peribahasa ini bermaksud anak yang tidak dijaga dengan sempurna atau mendapat pendidikan yang baik, ia akan membesar dengan berkelakuan yang kurang menyenangkan.

Anak yang kurang mendapat pendidikan yang baik, ataupun kurang dijaga dengan sempurna sememangnya akan menjadi insan yang berkemungkinan besar mempunyai perangai yang kurang sopan dan sebagainya. Oleh itu dengan menggunakan simbol ‘teraju’, nasihat yang mungkin hendak disampaikan adalah asuhlah anak itu dengan membetulkan dasarnya dahulu, oleh kerana dengan menggunakan teraju yang betul barulah layang-layang tersebut boleh naik dengan sempurna.

Datang seperti ribut, Pergi seperti semut
Ada yang mungkin pernah dengar akan peribahasa ini, tidak kurang juga mereka yang tidak tahu akan perumpamaan sebegini. ‘Ribut’ yang dimaksudkan dalam peribahasa ini membawa makna angin yang sangat kencang manakala ‘semut’ bermakna ‘binatang yang berjalan dengan perlahan tanpa kita mengetahuinya’. Lantas ungkapan pertama bermaksud sesuatu yang datang dengan begitu pantas, manakala ungkapan kedua pula bermaksud sesuatu yang pergi dengan begitu perlahan.

Dengan ini, peribahasa ini lantas bermaksud sesuatu penyakit yang cepat datangnya, tetapi lambat pula ia sembuh.

Dalam seumur hidup kita, pasti kita pernah mengalami sesuatu pengalaman buruk dengan sesuatu penyakit yang menyerang dengan begitu pantas tetapi sembuh, aduhai, lambat sungguh. Peribahasa ini memberikan kita satu pengajaran di mana lebih baiklah jika kita mencegah diri kita daripada diserang penyakit, lebih-lebih lagi dalam era moden sekarang, di mana banyak penyakit kronik yang senang sekali menyerang tubuh jika kita tidak menjaga kesihatan.

Sumber: Peribahasa Warisan oleh Suradi Parjo
Singapura, Pustaka Nasional, 1990

ISU KLASIK- Perbezaan penggunaan bahasa melayu dalam skrip bangsawan dan drama radio.

Saturday, March 15th, 2008

Oleh M Saffri A Manaf,
Penulis Undangan,Penulis Skrip, Penggiat Seni, Pelakon

Untuk meneliti perbezaan penggunaan Bahasa Melayu dalam skrip bangsawan dengan skrip drama radio, kita perlu menyingkap dahulu ciri-ciri utama tentang kedua-dua buah skrip tersebut.

Skrip Bangsawan atau Drama:

Sebagai karya bertulis, skrip Bangsawan atau Drama mempunyai sifat-sifat yang tersendiri dan unik. Skrip menjadi bahan mentah untuk pementasan. Oleh itu, penulisan skrip drama mengutamakan binaan dialog-dialog watak dengan sedikit penerangan untuk tujuan arahan. Dalam binaan dialog, pengertian cerita dan jalan cerita diperkembangkan, iaitu secara orientasi aksi dan rentetan dialog-dialog itu. Penerangan dan arahan yang diselitkan antara dialog, berperanan untuk menerangkan aksi atau peranan watak yang sedang berdialog. Keseluruhan karya yang di isi dengan dialog dan arahan itu dibina dengan pembahagian-pembahagian tertentu seperti babak dan adegan. Pembahagian tersebut menyusunkan rentetan dalam jalan cerita Bangsawan atau drama tersebut kepada aksi-aksi yang mengembangkan cerita.

Penulis skrip Bangsawan dan Drama mesti akur pada peranan dan tanggungjawapnya ketika menulis. Selain menghidupkan penceritaanya dalam bentuk penulisan skrip, mendidik, memberitahu dan menghibur , penulis juga berperanan untuk menyuburkan keunikan bahasa Melayu. Walaupun perubahan sentiasa berlaku dalam kehidupan masyarakat, sebagai sebuah karya berbahasa Melayu,  penulis perlu mengekalkan penggunaan bahasa Melayu lama dan baru di adun dengan bunga bahasa dan adap sopan santun berbahasa, bukan sahaja pada skrip bangsawan, malah skrip drama juga. Ini berperanan untuk menyumbang kepada kesan penceritaan dalam penulisan skrip. Malah, adunan bahasa penuturan yang segar dan dinamik dalam penulisan skrip bangsawan dan drama untuk pementasan akan mengkayakan lagi khazanah bahasa Melayu.

Skrip bangsawan direka cipta untuk tuntunan. Jika bangsawan tersebut tujuanya untuk dipentaskan di atas panggung, ia seharusnya dipentaskan mengikut tradisi pementasannya. Penulis harus menulis apa sahaja yang berkaitan dengan pementasan tersebut dari awal hingga ke akhirnya. Penulis perlu menggunakan bahasa Melayu yang mudah difaham oleh para petugas, dan mereka yang mengambil bahagian. Dialog perwatakannya pula bergantung pada jenis cerita bangsawan yang dipilih.

Sekiranya bangsawan berkenaan akan disiarkan di televisyen, corak pementasannya harus di ubahsuai oleh si penulis. Pengubahsuaian terhadap skrip tersebut dilakukan terutama sekali apabila ia berkaitan dengan teknik rakaman. Kadangkala, rombakan dilakukan pada bahagian-bahagian tertentu yang ada kaitanya dengan penerangan dan pengarahan teknikal, disamping menggunakan bahasa Melayu. Selain itu, penulis perlu menulis dalam bahasa Inggeris untuk memudahkan petugas bukan Melayu melaksanakan tugas mereka berpandukan skrip. Dialog perwatakan di dalam skrip tetap menggunakan bahasa Melayu bergantung kepada jenis cerita yang dipilih.

Terdapat beberapa jenis penulisan skrip bangsawan:
Antara cerita Hikayat yang biasanya di adaptasikan dari buku termasuk kisah ‘Panji Semerang’, ‘Hikayat Malim Deman’ dan lain-lain lagi. Cerita Inggeris kebanyakanya di ambil dari cerita-cerita Shakespeare, Dewa Mahabarata, Cerita Rakyat dan sebagainya.
Oleh kerana itu, dialog yang digunakan untuk lakonan sangat berbeza sekali.
Lumrahnya, dialog cerita hikayat atau cerita-cerita yang berkisah di dalam istana dicipta lebih banyak menggunakan bahasa diraja. Penggunaan bahasa sebegini berbunga-bunga, berpuitis, mempunyai maksud yang mendalam dan diselitkan pula peribahasa serta simpulan bahasa.

Cerita-cerita rakyat, seperti cerita ‘Celorong celoreng’ dan ‘Bunga Pak Mar Kembang Berdentum’, lebih banyak menggunakan bahasa pasar, iaitu bahasa penuturan biasa mengikut daerah tempat ia di pentaskan.

Walau apa juga pilihan bahasa digunakan, penuturan dialognya ditutur secara berirama (berlagu) dengan sebutan yang sempurna dan padat berserta lenggok tonasinya yang sekarang dikenali sebagai lenggok penuturan bangsawan.

Kerana itu, bahasa Melayu berkembang dan terus segar bersama perkembangan bangsawan sejak zaman sebelum perang dunia kedua lagi. Penggunaan bahasa Melayu yang penuh dengan kiasan dan sindiran menyebabkan bahasa Melayu diminati, digunakan bukan sahaja orang tempatan malah bangsa-bangsa lain.

Penulisan skrip drama radio pula dihasilkan khusus untuk siaran radio. Skrip diilham dan ditulis khas untuk pendengaran sahaja. Dengan lain perkataan, menulis skrip drama radio ‘bagai mencelikkan mata si buta. Dialog perwatakannya harus menggunakan bahasa penuturan yang menjadi bahasa penuturan masyarakat Melayu walaupun jenis tema ceritanya berbeza. Misalanya, jika penulis memilih tema kehidupan masyarakat kampung yang masih pekat dengan loghat mereka, dialog yang dicipta harus di eja mengikut penuturannya, supaya pelakon dapat menyebutnya dengan sempurna dan tidak kedengaran kaku, pelat atau janggal.

Sesebuah skrip drama radio yang baik dan bermutu boleh dikesan daripada perutusan ceritanya, dialognya yang menarik tanpa dicampur gaulkan dengan bahasa melayu yang di Inggeriskan dan santai, yaitu kesan bunyinya dan kesegaran bahasa Melayu yang digunakannya.

Demikian perbezaan yang ketara dalam penggunaan bahasa Melayu pada skrip bangsawan dan drama radio.

Wa’allahualam.