Bicara Minda

Nilai Pengetahuan Bahasa Asing: Suatu Imbasan

0

Acapkali saya dipersoal akan sebab-sebab keinginan saya untuk mempelajari sebuah bahasa yang amat kurang sekali digunakan di Singapura. Ramai yang mempunyai tanggapan bahawa saya mungkin terlalu mengkagumi, malah taksub terhadap budaya tersebut, dan ada pula menyoal tentang apa gunanya mendalami sesebuah bahasa yang tidak diamalkan oleh masyarakat am di Singapura. Ini merupakan sebuah pandangan umum yang seringkali saya dapati – bahawa sesebuah bahasa itu hanya patut dipelajari sekiranya terdapat keperluan atau kegunaan. Maksudnya, tiada gunanya sesuatu bahasa itu dipelajari sekiranya ia tidak mendatangkan kegunaan buat pekerjaan atau meraihkan ganjaran material. Misal contoh, mungkin tergerak kehendak dalam hati seseorang itu untuk mempelajari bahasa Mandarin kerana peluang pekerjaan di negeri Cina, atau mungkin juga Bahasa Arab atas sebab yang serupa. Ini ternyatalah cara pemikiran yang baik, malah amat dialu-alukan kerana jaringan peluang pekerjaan akan diperluaskan dengan pengetahuan bahasa-bahasa asing.

Namun, saya ingin mengutarakan sebuah perspektif yang agak berbeza berkenaan dengan isu ini. Mungkin ada sesetengah golongan yang akan bertanggapan bahawa sifat pandangan ini bersifat agak idealistik. Walau bagaimanapun, dengan mengimbas pada pengalaman peribadi, saya ingin mengutarakan pandangan bahawa tidak ada ruginya dalam pembelajaran sebuah bahasa asing, meskipun ia mungkin tidak dapat diamalkan secara harian. Selain daripada peluang untuk berlayar ke tanah asing dan kemudahan pertuturan setibanya di sana, apa yang lebih berharga adalah peluang untuk mempelajari dengan mendalam tentang sesuatu budaya. Kita malah dapat lebih memahami cara pemikiran warga masyarakat tersebut, dan dari itu mungkin membanteras stereotaip yang palsu malah mencemar imej masyarakat tersebut.

Walaupun bahasa Inggeris mungkin dapat digunakan di banyak negara merata dunia, terutama di kota-kota besar, kesannya tidak sama dengan pertuturan sesama para penduduk dalam bahasa ibunda mereka. Perkongsian buah fikiran, perasaan dan pelbagai lagi aspek perhubungan kemanusiaan dipermudahkan dan menjadi lebih selesa dengan penggunaan bahasa ibunda masyarakat tertentu. Ini tidak bermaksud bahawa seseorang itu mesti bertutur dengan fasih – itu merupakan suatu kelebihan namun bukan keperluan. Menurut pengalaman peribadi, apa yang lebih dihargai adalah kemahuan dan minat yang tulus untuk mengenali bahasa dan budaya sesebuah masyarakat itu. Kita seolah-olah mampu meruntuhkan sebuah jurang perpisahan antara dua kaum yang amat berbeza dengan menampakkan keinginan ikhlas untuk mempelajari bahasa kaum itu. Itu menjadi langkah pertama yang sekiranya terus dipupuk, akan dapat menggalakkan lebih persefahaman dan perkongsian antara dua budaya.

Salah satu perkara penting yang saya garap daripada pengalaman menimba ilmu di luar negara adalah bahawa manusia biasanya menjadi lebih terbuka kepada perhubungan apabila mengetahui bahawa kita mempunyai sesebuah persamaan dengan mereka, lebih-lebih lagi pengetahuan dan minat terhadap budaya mereka. Saya teringat akan kerisauan yang diluahkan oleh rakan-rakan serta ahli keluarga tentang kemungkinan mengalami diskriminasi atau layanan dingin di Eropah atas dasar identiti Muslim saya yang jelas terpapar secara zahir. Mungkin saya amat bertuah, tetapi sewaktu berada di negara Perancis di mana kita sering mendapat laporan akan pandangan negatif terhadap umat Islam, saya telah dilayani dengan amat mesra oleh “keluarga angkat” saya, malah oleh ramai penduduk di Brest, kota di mana saya telah inapi buat 3 minggu untuk mendalami bahasa Perancis. Ramai yang berminat untuk mengetahui tentang agama Islam serta budaya-budaya di Singapura kerana kami dapat bertutur secara selesa dengan mereka. Ada juga yang kagum serta juga terharu kerana jarak geografi tidak menjadi penghalang untuk sekumpulan pelajar dari Asia untuk mempelajari bahasa ibunda mereka. Saya tidak bermaksud bahawa semua orang bersikap positif dan terbuka, namun secara umum, kami dijemput dan dilayan dengan amat baik. Apa yang amat mengharukan saya adalah kesedaran bahawa meskipun terdapat perbezaan bahasa dan budaya, nilai-nilai kemanusiaan akan tetap menjadi pegangan, dan mungkin kita juga tidaklah begitu berbeza daripada mereka.

Kebolehan untuk beralih bahasa juga mempermudahkan seseorang itu untuk bertukar-tukar sudut pandangan dan pemikiran. Apa yang penting selain daripada kebolehan bertutur adalah juga kebolehan untuk menyelami buah fikiran seseorang itu dan cuba memahami sudut pandangannya. Saya mendapati bahawa sekiranya kita dapat memperjelaskan sesuatu perkara menurut cara pemikiran seseorang itu, isu-isu rumit dan sensitif dapat diterima dengan lebih ringkas. Contohnya, saya sering diajukan soalan tentang hijab sewaktu di Eropah, dan sebab-sebab atas pemakaiannya. Saya mendapati bahawa mereka lebih mudah menerima penjelasan seperti “Ini pilihan saya sendiri” atau “Saya tidak dipaksa untuk memakainya.” Ini bukanlah untuk mendatangkan kompromi terhadap kepercayaan agama sendiri, tetapi untuk cuba mengelakkan penyebaran stereotaip yang semakin meluas.

Walaupun mungkin ini bukan penjelasan penuh yang saya akan berikan kepada seorang Muslim, ini merupakan suatu cara yang berkesan untuk berkongsi tentang fahaman kebudayaan dan keagamaan kerana ia mampu membanteras stereotaip popular yang buruk tentang agama Islam. Ini adalah bukan hanya untuk “menyedapkan” hati mereka yang kurang memahami, namun untuk mempertingkat keinginan untuk memahami dan menjalin persahabatan. Tujuannya bukanlah untuk membuktikan sesuatu, tetapi pada masa yang sama, kita tidak seharusnya berpeluk tubuh dan mengharapkan untuk diterima masyarakat asing tanpa berusaha untuk bergaul dengan mereka.

Ada yang kemungkinan berpandangan sinis terhadap ungkapan sedemikian kerana memang tidak dinafikan bahawa tidak semua orang yang benar-benar berminat untuk mendalami sebuah bahasa asing. Saya juga ingin menekankan bahawa hubungan kemanusiaan masih dapat terjalin meskipun adanya kekurangan bahasa. Tentu sekali kita sendiri pernah menerima layanan mesra oleh seseorang daripada kaum asing walaupun tiada persamaan bahasa. Namun, perkongsian bahasa dapat lebih memperkayakan perhubungan itu dari segi kebudayaan dan intelektual, malah pada sudut peribadi juga. Natijahnya, apa yang menjadi keutamaan adalah juga sikap yang terbuka dan ikhlas untuk mengetahui dan menghargai secara mendalam budaya-budaya lain, sama ada dari sudut bahasa atau ciri-ciri kebudayaan yang lain.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Dwibahasa: Kejayaan atau Kegagalan?

0

Bahasa  digunakan oleh manusia sejak dahulu kala lagi. Dibandingkan dengan abad lalu, manusia kini lebih menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dengan warga marcapada lebih-lebih lagi dengan adanya kemudahan teknologi. Atas dasar inilah, etos dwibahasa diperkenalkan kepada sistem pendidikan Singapura sejak 1980-an bagi memupuk warganya untuk fasih di dalam sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu bahasa perantara dunia, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Sebagai anak watan kota Singa, saya sendiri melalui sistem ini dan tidak akan saya sangkal bahawa ada kededua pro dan kontra dengan dasar pendidikan yang dilakarkan kementerian ini.

Pada zahirnya, keupayaan seseorang untuk menguasai dua bahasa mampu memberinya kelebihan. Dalam zaman yang amat mementingkan daya komunikasi dari segi apapun, kemampuan bertutur dalam dua bahasa (ataupun lebih) membuat seseorang itu sebagai aset kepada yang lain. Di dalam konteks Singapura, kebolehan berbahasa Inggeris membolehkan warganya bertutur dengan warga dunia yang banyak menggunakan bahasa Inggeris untuk pelbagai urusan. Oleh kerana penduduk Singapura yang pelbagai kaum dan bangsa, bahasa Inggeris merupakan bahasa perantara di kalangan mereka untuk saling memahami. Pendapat ini juga diakui oleh mahasiswi NUS, Cik Siti Madhiah Bte Samat, 22 tahun. Tambahnya lagi,

“Dengan adanya dasar pemerintah seperti ini, warga Singapura mampu bertutur dalam dua bahasa dengan baik. Untuk saya sendiri, saya menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga saya yang berumur. Untuk bahasa Inggeris pula, saya sering gunakannya untuk urusan harian dan bertutur dengan teman-teman yang sememangnya lebih selesa dengan bahasa perantara ini.”

Namun di dalam komentar Cik Madhiah dan ramai lagi yang ditinjau inilah timbul beberapa persoalan yang berlegar di benak fikiran saya. Dan ia sekaligus membuat saya terfikir akan keberkesanan dasar dwibahasa yang sering dibangga-banggakan oleh pemerintah kita sendiri. Bukankah dasar dwibahasa ini prakarsa pemerintah untuk memupuk minat untuk kededua bahasa Inggeris dan bahasa Ibunda? Jika ya, mengapa pula kita mendapati ramai yang sewenang-wenangnya mengungkapkan “My Malay not good ah. I’m better speaking English”? Apa yang lebih meneyedihkan ialah kemampuan pelajar-pelajar menguasai bahasa Ibunda hanya tertakluk kepada mendapat markah untuk kertas peperiksaan. Apabila ditugaskan untuk menggunakan bahasa itu untuk urusan rasmi, seperti berbual di hadapan penonton, ramai yang terpinga-pinga untuk berani dan yakin melakukannya. Namun, berlainan pula jika bahasa Inggeris ditetapkan.

Mantan Menteri Pembimbing, Lee Kuan Yew, juga pernah menyatakan bahawa dasar dwibahasa ini merupakan satu kesilapan di pihaknya dan menyebutkan juga tiada seorang pun yang mampu menguasai dua bahasa di dalam satu-satu masa. Ada kebenaran di dalam kenyataan tersebut sepertimana yang telah diterangkan diatas. Bagi saya dasar dwibahasa ini sendirinya telah membantu saya, kerana bukan sahaja saya boleh mempelajari dua bahasa, tetapi juga boleh bangga dengan kemampuan ini.

Pada pengamatan saya, silapnya ialah penekanan pendidikan yang terlalu ditetapkan bagi bahasa Inggeris sehinggakan warga Singapura secara amnya memikirkan ia ialah satu-satunya bahasa yang terpenting untuk ‘hidup’. Sebagai contoh, jika pelajar gagal dalam matapelajaran bahasa Inggeris Ini sendirinya menimbulkan kontradiksi diantara mengecapi kefasihan dua bahasa ataupun bahasa Inggeris sahaja. Tambahan lagi, sukatan pelajaran bahasa secara amnya terlalu menjurus kepada melaksanakan peperiksaan dengan cemerlang. Dengan itu, pelajar tidak menikmati dan lantas hanya mempelajarinya hanya untuk menyelesaikan peperiksaan yang perlu dihadapi. Hanya dengan menangkis anasir inilah, saya pasti dan harapkan peningkatan kepada penguasaan bahasa Melayu (Ibunda) di kalangan pelajar sekaligus menjadi tunggak keberkesanan dasar dwibahasa ini.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

‘Kelas Bahasaku di Luar Kelas!’- Permulaan Melalui Persahabatan

0

Kebolehan bertutur lebih dari satu bahasa sudah menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat kita di Singapura. Ini disebabkan dasar dwibahasa (bilingual policy) yang ditekankan di sekolah-sekolah kebangsaan di Singapura. Malahan, ada juga pelajar yang mengambil bahasa ketiga sebagai mata pelajaran tambahan. Maka, tidak hairanlah jika penguasaan bahasa itu sering dikaitkan dengan pelajaran. Mauduk dwibahasa ini sering dilihat dan diamati dari segi pendidikan lantas, sesuatu bahasa itu dianggap tidak lebih dari satu matapelajaran yang dipelajari di sekolah.

Penguasaan sesuatu bahasa itu juga sering dikaitkan dengan insentif-insentif tertentu. Misalnya, bahasa Mandarin sering diketengahkan sebagai satu bahasa yang baik untuk dikuasai sebagai bahasa kedua atau ketiga kerana ia memberikan peluang pekerjaan yang lebih luas. Beberapa tahun lalu, kerana kebangkitan ekonomi-ekonomi di negara-negara Timur Tengah juga, bahasa Arab diketengahkan sebagai satu bahasa yang membenarkan peluang pekerjaan di bandar-bandar yang kian pesat membangun seperti Dubai dan sebagainya. Dalam hal ini, insentif-insentif ekonomi yang dikaitkan dengan sesuatu bahasa itu menjadi penentu samada untuk menguasainya ataupun tidak.

Memang tidak menjadi masalah bagi kita untuk mentelaah mauduk penguasaan dwibahasa atau pelbagai bahasa dari segi ekonomi dan pendidikan. Tetapi, kita harus sedar bahawa penguasaan dwibahasa atau berbilang bahasa ini bukanlah hanya boleh wujud dan dimulakan di dalam kelas sahaja. Tambahan lagi, penguasaan bahasa kedua dan ketiga bukanlah hanya untuk insentif ekonomi dan pekerjaan sahaja. Kita sering mendengar rungutan para pelajar yang mengambil bahasa ketiga dan mereka merasakan bahawa subjek itu ibarat satu beban yang menggugat pencapaian gred mereka. Ternyata, penguasaan bahasa tambahan itu menjadi sesuatu yang membebankan para pelajar kerana pendekatan pembelajaran bahasa yang terlalu tegar melalui peperiksaan-peperiksaan yang sangat membebankan para pelajar.

Sewaktu menjalani perkhidmatan negara, saya berpeluang untuk bekerjasama dengan pelbagai orang. Ternyata, kebanyakan mereka mempunyai kebolehan untuk bertutur dalam tiga bahasa atau lebih. Yang membuat saya terpegun ialah mereka tidak mempunyai pendidikan hingga ke peringkat sarjana. Namun, kebolehan mereka untuk menguasai dan bertutur dalam pelbagai bahasa itu sangat memberangsangkan. Kebanyakan mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu yang fasih. Ada pula yang boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, Melayu dan Tamil. Ramai juga diantara mereka yang boleh bertutur dalam bahasa dialek Hokkien. Malah ada juga yang boleh bertutur dalam keempat-empat bahasa rasmi di Singapura dengan baik.

Ramai yang akan menyangka bahawa mereka mengambil kelas-kelas bahasa untuk menguasai bahasa-bahasa tersebut. Namun, jika ditanya tentang bagaimana mereka menguasai bahasa-bahasa tersebut, sangkaan kita akan meleset. Ternyata, kebanyakan mereka menguasai bahasa itu bukan melalui kelas atau di sekolah, tetapi, ia disebabkan pergaulan mereka yang merangkumi rakan-rakan yang berbilang bangsa. Tambahan lagi, selain menguasai sesuatu bahasa itu, mereka juga mendalami adat dan budaya hidup rakan-rakan mereka yang berlainan bangsa dan agama. Ternyata, semangat untuk mempelajari bahasa tambahan itu tidaklah semestinya bermula dari dalam kelas. Kehidupan kita di Singapura ini yang bersifat berbilang kaum memberikan kita satu peluang yang baik untuk mempelajari bahasa yang baru dengan cara yang lebih menyeronokkan yakni dengan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa. Permulaan bagi penguasaan bahasa itu tidaklah semestinya harus bermula dari pembelajaran di dalam kelas semata-mata. Tentu tidak asing bagi kita untuk melihat orang-orang dari generasi dahulu yang boleh bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan Cina walaupun mereka bukan berbangsa Melayu atau Cina. Ternyata, mereka menguasai bahasa itu melalui rakan-rakan yang berlainan bangsa.

Mungkin disebabkan sistem pendidikan yang berasaskan dasar dwibahasa, kita sering menghubungkaitkan pembelajaran bahasa itu dengan pelajaran di dalam kelas. Namun, kita lupa bahawa pembelajaran bahasa itu boleh dimulakan dengan mengeratkan silaturrahim dengan rakan-rakan kita yang berlainan bangsa dan agama. Tambahan lagi, penguasaan sesuatu bahasa itu tidaklah seharusnya disebabkan insentif ekonomi dan pekerjaan sahaja. Melalui rakan-rakan yang berlainan bangsa, kita boleh mendalami budaya hidup mereka lantas memupuk suatu masyarakat yang majmuk dan saling hormat-menghormati. Marilah kita meluaskan minda kita dan mengambil kesempatan untuk mengeratkan persahabatan dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa sekaligus bermula untuk menguasai bahasa yang baru di dalam masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum di Singapura. Moga-moga, dengan pendekatan sebegini, kita dapat mendalami budaya hidup mereka selain menguasai bahasa yang baru dengan cara yang lebih menyeronokkan lantas memperkayakan diri dan cendekia.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Haruskah kita dibiarkan buta?

0

Mukadimmah
Pada tanggal 26 Oktober 2011, Encik Effendy, seorang calon falsafah kedoktoran (Phd) di Universiti of Hawaii, telah membuat beberapa kritikan mengenai golongan yang tidak mahu mengambil perhatian mengenai sejarah bangsanya.  Beberapa hari kemudian, Encik Haji Diman Ahadi, telah memberi pendapatnya menerusi ruang forum yang bertajuk “bantu warga tahu sejarah sebelum Raffles” (Berita harian, 29 Oktober 2011) mengenai melestarikan tokoh-tokoh sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Di dalam rencana itu, Encik Haji Diman telah mencadangkan supaya cerdik pandai dan pakar sejarah kita harus mengkaji sejarah negara ini dan menyebarluaskan kepada warga.  Adakah sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles telah sengaja dikaburkan oleh pihak-pihak tertentu? Atau warga Singapura sendiri yang tidak mahu mengambil perhatian mengenai sejarah Singapura? Adakah masalah mengenai sejarah Singapura ini hanya dirasai oleh orang Melayu di Singapura sahaja?

Sebab-sebab kenapa sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles dikaburkan daripada penglihatan warga Singapura
Secara rasminya, S. Rajaratnam, timbalan Perdana Menteri pada tahun 1967, telah mengisytiharkan Thomas Stamford Raffles sebagai pengasas Singapura. Perbahasan mengenai siapa yang seharusnya diisytiharkan sebagai pengasas Singapura telah dirakamkan di dalam buku kompilasi ucapan-ucapan beliau yang bertajuk “S. Rajaratnam: The Propehtic and the Political”. Pemilihan Raffles sebagai pengasas Singapura dipengaruhi oleh usaha S.Rajaratnam dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Dengan perlantikan Raffles sebagai pengasas, setiap bangsa di Singapura akan mempunyai sejarah permulaan yang sama, iaitu, bertapak sebagai masyarakat pendatang. Memandangkan Singapura mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa,  pemilihan personaliti daripada sebuah masyarakat, jika tidak ditangani dengan baik, boleh mendatangkan kerumitan dalam proses pembentukan sebuah negara. Oleh itu, pelantikan seorang penjajah seperti Raffles merupakan pilihan yang selamat memandangkan perlantikan beliau sebagai pengasas tidak memperlihatkan sejarah negara sebagai tidak memihakkan kepada sesebuah bangsa di Singapura. Pemilihan Raffles sebagai pengasas Singapura dikuatkan lagi dengan sokongan daripada Raffles Professor di Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Professor K.G Tregonning, di dalam buku “150th anniversary of the founding of Singapore”, yang mengatakan Singapura moden bermula pada tahun 1819. Tiada perkara yang berlaku di atas pulau sebelum ini yang boleh dijadikan bahan rujukan untuk memahami kejadian kontemporari.  Oleh itu, sejarah nasional Singapura secara rasminya bermula pada tahun 1819.

Kesan sejarah Singapura terhadap identiti bangsa Melayu
Memandangkan pembentukan negara bangsa di Singapura berdasarkan konsep berbilang kaum, setiap identiti kaum di Singapura telah ditetapkan oleh pemerintah.  Perkara ini boleh dilihat menerusi dasar-dasar bahasa ibunda. Bagi kaum Cina, bahasa Mandarin telah dipilih sebagai bahasa ibunda. Kaum Melayu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Bahasa Tamil pula dipilih untuk menjadi bahasa ibunda untuk kaum India. Memandangkan setiap kaum di Singapura diberi hak sama rata dari segi layanan dalam usaha mengekalkan identiti mereka, status istemewa bangsa Melayu sebagai peribumi negara Singapura menjadi kurang jelas. Malah, kesan sejarah Singapura ini juga menimbulkan kekeliruan mengenai status orang Melayu di Singapura. Orang Melayu di Singapura juga telah dianggap sebagai masyarakat pendatang sama seperti kaum Cina dan India. Dengan meluputkan sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles, hubungan sejarah Singapura dengan tanah Melayu telah diputuskan seolah-olah Singapura ini tidak terletak di tengah-tengah Alam Melayu.

Kajian lepas mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles
Masalah mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles pernah diketengah oleh Professor Syed Hussein Alatas. Di dalam satu seminar yang bertajuk “Malays/Muslims and the history of Singapore”, anjuran Centre for Research on Islamic and Malay Affairs (RIMA) di bawah naungan Association of Muslim Professional (AMP), beliau mengetengahkan beberapa masalah dalam penulisan sejarah Singapura. Pada pendapat beliau, terdapat banyak perkara yang berlaku di Singapura pada kurun keenambelas dan tujuhbelas yang masih terselindung. Ini adalah kerana pihak Inggeris tidak merujuk kepada akrib Belanda semasa menulis sejarah mengenai Singapura.  Isu mengenai akrib juga dibincangkan di dalam buku, The Makers and Keepers of Singapore History, Loh kah Seng, menerusi rencananya, “Encounters at the gates,” ada mengatakan bahawa ada kawalan ketat mengenai bahan-bahan sejarah yang boleh dirujuk untuk membuat kajian sejarah.

Peter Borschberg, seorang sejarawan daripada Jabatan Sejarah, NUS, telah menulis sebuah makalah di Journal of Malaya Branch of the royal Asiatic society yang bertajuk “Jacques de Coutre as a Source for the Early Seventeenth-Century History of Singapore, the Johor River and the Straits”. Dengan menggunakan dokuman sejarah daripada Sepanyol, Peter Borschberg dapat membuktikan bahawa ada seorang Shahbandar di Singapura pada kurun ketujuhbelas. Dokumen-dokumen Sepanyol juga dapat membuktikan bahawa Portugis ada ura-ura untuk membina sebuah kubu di selatan Singapura untuk melindungi kapal-kapal dagang Portugis daripada diserang kapal perang VOC (Belanda) dan Johor. Buku yang bertajuk Prince of Pirate: The Temenggong and Development of Johor and Singapore, 1784-1885, oleh Carl A. Trocki, merakamkan pergolakkan politik Singapura sebagai sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau-Lingga sehinggakan pihak Inggeris berupaya mengambil kesempatan untuk menjadikan Singapura sebagai milik Inggeris. Buku ini juga merakamkan nilai-nilai sejarah Telok Blangah yang ada hubungan rapat dengan kerajaan Johor.  Carl A. Trocki menghasilkan buku ini dengan mendapatkan sumber daripada akrib Johor.

Kini, penulisan sejarah Singapura di peringkat akademik sudah semakin matang. Terdapat percubaan untuk menulis sejarah Singapura menjangkau tahun 1819. Kwa Chong Guan, merupakan salah seorang perintis sejarawan Singapura yang telah banyak menulis mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Di dalam buku Malays/Muslims in Singapore: Selected Readings in History 1819 – 1965, beliau telah menulis sebuah bab yang bertajuk Why did Tengku Hussein Sign the 1819 Treaty with Stamford Raffles? Di dalam babab ini, beliau menceritakan perjanjian 1819 ini daripada perspektif Raja Ali Haji. Menurut Raja Ali Haji, pertabalan Tengku Long bukan sebagai Sultan Johor tetapi digelar Yang Dipertuan Selat.  Di dalam buku Singapore from Temasek to the 21st Century: Reinventing the Global City, Kwa Chong Guan juga menulis sebuah bab yang berjudul Singapura as a central place in malay history and identiti. Di dalam bab ini, beliau telah mengaitkan Singapura dengan Sejarah Melayu untuk membuktikan bahawa Singapura ada peranan penting dalam pembentukan sejarah di alam Melayu.

Sejarah Singapura sejak kurun keduabelas juga telah dihasilkan menerusi buku Singapore, A 700-year history: From Early Emporium to World City, terbitan Akrib Negara Singapura (NAS). Penulis buku ini merupakan penyarah daripada NUS. Mereka adalah Tan Tai Yong, Derek Heng dan Kwa Chong Guan. Buku ini menulis sejarah Singapura daripada perspektif yang berbeza.  Lebih separah daripada bab yang ada di dalam buku ini tertumpu kepada sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles.

Haruskah kita dibiarkan buta?
Sudah terdapat banyak kajian mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Namun begitu, kenapa masih ramai warga Singapura yang tidak tahu mengenai sejarah Singapura sebelum tahun 1819? Ini adalah kerana sejarah nasional Singpura telah mendapat campur tangan oleh ahli politik.  Oleh kerana niat pemerintah untuk menjadikan sejarah nasional Singapura sebagai alat pembentukan negara bangsa, elemen-elemen yang boleh menggugat keamanan negara telah dipadamkan di dalam buku teks sekolah. Salah satu elemen yang telah dipadamkan daripada buku teks sejarah sekolah ialah wujudnya kerajaan Melayu di Singapura pada abad yang keduabelas.

Salah satu cara untuk membudayakan ilmu sejarah ialah mengadakan banyak aktiviti-aktiviti mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Berita Harian, sebagai suratkhabar bahasa Melayu tempatan tunggal harus memainkan peranan yang lebih besar dalam mempromosi buku-buku sejarah mengenai Singapura. Pada masa yang sama, persatuan-persatuan Melayu/Islam di universiti tempatan haruslah bersikap kritikal terhadap kesan penulisan sejarah Singapura terhadap orang Melayu. Persatuan-persatuan Melayu/Islam di universiti seharusnya mengadakan satu acara tahunan yang mempunyai tujuan untuk menyingkap sejarah Singapura daripada perspektif orang Melayu. Mahasiswa harus memainkan peranan yang proaktif dalam memperjuangkan sejarah dan warisan Melayu alternatif yang mungkin tidak boleh dilakukan oleh guru-guru di sekolah nasional untuk pelajarnya.  Cara seterusnya dalam melestarikan sejarah Singapura ialah mendedahkan bahan-bahan bacaan kepada para pelajar di samping melawat tempat-tempat sejarah yang berhubung kait dengan bahan-bahan bacaan yang diberi.

Akhirul kalam
Natijahnya, sudah banyak kajian mengenai sejarah Singapura sebelum kedatangan Raffles. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah usaha yang lebih gigih dan kreatif untuk menyedarkan sejarah Singapura. Jangan membiarkan generasi muda kita buta dengan sejarah Singapura.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Peserta, Penganjur, Pembimbing dan Penaja: Pejuang Bahasa Melayu di Singapura

0

Sememangnya, kempen Bulan Bahasa ini merupakan acara dwitahunan. Memandangkan ramai di antara mahasiswa yang melibatkan diri dalam Bulan Bahasa pada tahun 2010 mahukan Bulan Bahasa ini diadakan secara bertahunan, Jawatankuasa Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) telah memutuskan bahawa Bulan Bahasa akan diadakan setiap tahun. Kenyataan ini telah dilaporkan di Berita Harian pada 2 Ogos 2010 yang bertajuk ‘Usah henti guna bahasa Melayu lepas Bulan Bahasa.’ Malah saya juga ikut menyertai forum yang berjudul , ‘Bahasa Jati Diri Bangsa – Setiap generasi obor penerus bangsa. Apakah peranan kita?’ pada 10 Julai 2010 di Perpustakaan Nasional Singapura (NLB) yang dikhaskan untuk mahasiswa di Singapura. Salah satu saranan yang dikemukakan oleh seorang mahasiswa dalam forum itu ialah mengapa Bulan Bahasa tidak diadakan tiap-tiap tahun.  Ramai juga mahasiswa di dalam forum itu berpendapat bahawa Bulan Bahasa seharusnya diadakan setiap tahun. Saya percaya saranan ini pernah diketengahkan pada Bulan Bahasa yang lalu. Oleh kerana semangat dan kerjasama mahasiswa sepanjangan Bulan Bahasa 2010 dapat meyakinkan jawatankuasa MBMS, saranan untuk menjadikan Bulan Bahasa sebagai acara tahunan telah diterima.

Apa yang ingin saya ketengahkan ialah usaha memperjuangkan bahasa Melayu bukanlah setakat bergantung pada semangat di dalam diri orang Melayu. Rencana ini mempunyai tujuan untuk mengupas peranan pejuang bahasa Melayu dari sudut yang berbeza.

Penaja

 

Pejuang bahasa Melayu selalunya bertindak sebagai sukarela. Namun begitu, tenaga kerja dan pelan untuk menjayakan sesebuah aktiviti tidak mencukupi tanpa dana. Ini adalah kerana setiap keperluan asas untuk menganjurkan aktiviti seperti penyewaan tempat, elauan pegawai teknikal dan bil elektrik perlu dilunaskan dengan wang. Menurut Berita Harian, 9 Jun 2010, yang berjudul ‘Tambahan dana untuk lestarikan bahasa Melayu,’ pemerintah telah meningkatkan peruntukan dana kepada MBMS dari $100,000 kepada $150,000. Pada tahun itu juga, MBMS telah mendapatkan suntikan dana sebanyak $40,000 daripada dua dermawan iaitu, Ketua Pegawai Eksekutif, The MES Group, Encik Mohamed Abdul Jaleel dan Pengerusi Eksekutif Marine Pestige Pte Ltd, Datuk Zain Abdullah. Pada tahun ini, MBMS juga mendapat peruntukan $150,000 bagi Bulan Bahasa.  Wang sebanyak $150,000 ini boleh diagihkan kepada 300 pelajar untuk membayar duit yuran peperiksaan peringkat ‘O’.  Wang sebanyak ini juga boleh diagihkan kepada 70 orang pelajar di politeknik dan universiti untuk membeli komputer riba.  Di Singapura, masyarakat Melayu mendapat hak mereka untuk melestarikan bahasa Melayu memandangkan bahasa Melayu telah dipilih sebagai salah satu bahasa rasmi. Pada dasarnya, wang yang disalurkan kepada MBMS adalah hak milik bersama rakyat Singapura yang membayar cukai. Oleh itu, setiap rakyat Singapura mempunyai hak untuk mempersoalkan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MBMS agar wang yang diagihkan itu dapat dimanfaatkan bersama.

Dana untuk melestarikan bahasa Melayu pada Bulan Bahasa 2011 ini lebih daripada mencukupi. Malah, Jawatankuasa Bulan Bahasa boleh mengadakan lebih banyak aktiviti jika ada ramai dermawan yang tampil ke hadapan untuk menyalurkan wang. Namun begitu, apa yang menjadi isu mengenai Bulan Bahasa ialah bilangan orang yang mengikut serta aktiviti-aktiviti Bulan Bahasa. Ia akan menjadi satu pembaziran besar jika aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan tidak dapat sambutan yang memberangsangkan. Sebenarnya, keberkesanan Bulan Bahasa sebenar belum kita ketahui. Belum ada kajian yang telah dilakukan untuk mengkaji sejauh manakah Bulan Bahasa ini mendapat sambutan hangat. Mungkin kajian itu telah dilakukan. Walaubagaimanapun, analisis mengenai kajian itu tidak didedahkan kepada umum.

Peserta dan pembimbing

Dalam memperjuangkan bahasa Melayu, seseorang itu harus menyertai aktiviti bahasa Melayu dan bukan setakat menjadi seorang penganjur. Ini tidak bererti bahawa peranan seorang penganjur itu tidak penting. Pada 8 Julai 2011, saya telah pergi ke acara Gerak Puisi di Esplanade untuk menyaksikan beberapa sekolah mengadakan persembahan deklamasi sajak. Saya melihat beberapa muka yang saya kenal. Ramai di antara pelajar yang terlibat dalam persembahan itu juga pernah melibatkan diri dalam aktiviti bahasa Melayu yang lain seperti Perkampungan Bahasa, Deklamasi Sajak Kreatif dan sebagainya. Sebagai pelajar yang sedang meningkat usia, mereka belum cukup matang untuk menganjurkan sebuah aktiviti bahasa Melayu. Pada usia yang muda, mereka menimba seberapa banyak ilmu dan kemahiran seperti berlakon, mendeklamasikan sajak, bersyair, bermain rebana dan sebagainya. Namun begitu, penyertaan para pelajar ini di dalam aktiviti bahasa Melayu ini juga amat bergantung kepada para guru yang memainkan peranan sebagai pembimbing. Saya kagum dengan tenaga pengajar daripada Kelompok Sekolah-sekolah Kesusasteraan (KSSK). KSSK dianggotai oleh sekolah-sekolah yang mengajar subjek sastera di peringkat ‘O’. Walaupun KSSK baru ditubuhkan pada tahun 2008, KSSK telah mengadakan banyak aktiviti. Pada tahun ini, KSSK telah mengadakan dua aktiviti dalam bulan bahasa. Pada tanggal 8 dan 9 Julai 2011, KSSK telah mengadakan acara Gerak Puisi di Esplanade dan pada tanggal 23 Julai 2011, KSSK telah mengadakan sebuah muzikal yang berjudul ‘Galuh Cendera Kiraya’ berdasarkan Hikayat Panji Semerang.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah adakah pelajar-pelajar yang aktif dalam kegiatan bahasa Melayu ini akan terus memperjuangkan bahasa Melayu sehingga mereka menjadi dewasa kelak? Ini adalah kerana penglibatan mereka di dalam aktiviti bahasa Melayu masih dipengaruhi oleh guru mereka. Apabila mereka melanjutkan pelajaran mereka ke politeknik dan ITE, belum tentu mereka akan aktif dalam persatuan bahasa Melayu. Jika kita teliti mahasiswa-mahasiswa yang aktif dalam aktiviti bahasa Melayu, ramai di antara mereka yang datang daripada sekolah yang terlibat dalam program EMAS untuk sekolah menengah dan MLEP untuk maktab rendah. Mahasiswa-mahasiswa ini telah digilap untuk menjadi pemimpin untuk memperjuangkan bahasa Melayu sejak di maktab rendah lagi.

Penganjur

Ramai di antara mahasiswa di NUS memperjuangkan bahasa Melayu dengan menjadi seorang penganjur. Sebenarnya, tidak salah untuk menjadi penganjur. Namun begitu, mahasiswa harus peka bahawa potensi seorang mahasiswa adalah lebih daripada peranan mereka sebagai penganjur. Walaupun peranan mahasiswa lebih kepada peranan sebagai seorang penganjur, mereka juga boleh melibatkan diri sebagai peserta. Definisi peserta ini tidak semesti harus mengambil bahagian dalam satu peraduan. Seseorang itu boleh menjadi peserta yang aktif dengan berkarya seperti mengarang sajak, cerpen atau menulis esei kritikan. Hasil karya oleh mahasiswa sudah pasti mutunya lebih tinggi jika dibandingkan dengan pelajar daripada sekolah menengah. Ini adalah kerana mahasiswa mempunyai pendedahan yang lebih meluas melalui pengalaman dan luas pembacaan. Hasil karya ini akan menjadi contoh yang baik bagi pelajar-pelajar daripada sekolah menengah. Kepincangan di dalam golongan pejuang bahasa Melayu di universiti ialah kurangnya golongan intelektual. Seseorang pemimpin haruslah mempunyai intelektual. Intelektual ini bukan bererti bijak di dalam peperiksaan. Menurut Antonio Gramsci, golongan intelektual adalah segolongan pemimpin yang senantiasa berfikir untuk memperbaiki keadaan masyarakat. Jika diberi konteks yang tepat, golongan intelektual dalam kelompok pejuang bahasa Melayu di universiti ialah orang yang selalu memikirkan idea-idea baharu untuk melestarikan bahasa Melayu dengan lebih berkesan dan bukan sahaja mengikuti apa yang telah dilakukan oleh penganjur-penganjur yang terdahulu.

Kesimpulan

Akhirul kalam, kejayaan Bulan Bahasa 2011 ini adalah hasil gabungan daripada empat buah golongan, yakni, penaja, peserta, pembimbing dan penganjur. Walaupun Bulan Bahasa ini memakan masa satu bulan, ini tidak bererti kegiatan bahasa Melayu akan berakhir. Terdapat juga banyak aktiviti bahasa Melayu yang diadakan bukan dalam Bulan Bahasa. Apa yang penting ialah pelajaran bahasa Melayu di sekolah. Aktiviti Bulan Bahasa ini hanya memupuk minat kepada bahasa Melayu kepada generasi muda. Dari segi kualiti dan ragam bahasa, itu adalah tugas tenaga pengajar di sekolah untuk memperbetulkannya.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa