Bicara Minda

‘Kemeriahan Ramadhan’ – Satu Frasa, Erti Berbeza

0

Beberapa hari yang lalu, sempat saya bersembang dengan beberapa orang rakan tentang kedatangan bulan puasa yang selang beberapa hari lagi. Ternyata, kemeriahan untuk menyambut Ramadhan kian terasa. Namun, sedang mereka berbual-bual, fikiran saya berlegar-legar, seakan mencari sesuatu kepastian. Perkataan ‘kemeriahan’ tertancap di minda. Jauh di lubuk fikiran, terbayang juga kemeriahan Ramadhan. Apakah kemeriahan Ramadhan yang digembar-gemburkan?

Benar sekali, Ramadhan meriah. Malah, giat sekali dirayakan. Manakan tidak? Persembahan dan konsert diadakan hampir setiap hujung minggu di mana alunan irama bergema di pelusuk kota. Menari-nari dan bersorak-sorailah para pengunjung yang dihiburkan dengan persembahan artis-artis kegemaran mereka. Tertawalah para penonton menyaksikan gelagat-gelagat lucu personaliti-personaliti yang beraksi di atas pentas. Suara-suara mereka begitu semarak dan bersemangat mengisi ruang udara. Benar, Ramadhan meriah.

Kemeriahan itu pula ditambah lagi dengan adanya bazar jualan mega yang berlangsung hingga ke larut malam dan dibanjiri dengan para pengunjung yang mencari barangan untuk menyambut Hari Raya. Hingar-bingar suasana dengan panggilan dan cogan kata jualan murah melewati pembesar suara. Di televisyen pula terdapat iklan perabot dan barangan kemas menjanjikan kemudahan ‘pakai dahulu, bayar kemudian’.  Pengunjung pun berjalan-jalan membeli-belah sampai ke lewat malam, menikmati bazar Ramadhan dan kehangatan suasana tawar menawar. Benar sekali, begitu meriahnya bulan Ramadhan ini.

Begitulah istimewanya bulan Ramadhan, sehinggakan kegiatan-kegiatan yang tidak dilakukan pada bulan-bulan yang lain dihidupkan pada siang dan malam harinya. Namun, saya tersentak kembali apabila mendengar khutbah Ramadhan disampaikan melalui mimbar Jumaat kelmarin. Menurutnya, Ramadhan memang meriah, sehinggakan bersoraklah masyarakat Islam terdahulu kerana gembira dengan rahmat yang datang di samping bulan Ramadhan.

Di dada-dada akhbar pula, terdapat banyak iklan-iklan yang mempromosikan kegiatan-kegiatan Ramadhan di masjid-masjid serata Singapura. Disertakan juga di dalam iklan-iklan tersebut, titik permulaan bagi kewajiban berpuasa bagi umat ini. Sebab mengapa diturunkan bulan Ramadhan ini amatlah jelas, iaitu agar manusia lebih bertaqwa dan dekat pada penciptanya. Nilai-nilai seperti ihsan, rahmat dan sabar turut ditekankan. Ramadhan dimeriahkan juga dengan kerja-kerja amal dan kebajikan di siang harinya. Ditambah lagi dengan majlis-majlis ilmu, halaqah dan pembelajaran mengaji Al-Quran yang dianjurkan. Pada malam harinya pula, masjid-masjid dimeriahkan dengan alunan ayat-ayat suci sewaktu solat tarawih, tilawah Al-Quran, tazkirah dan qiyamullail. Ternyata, kadar aktiviti di masjid-masjid ditingkatkan, ilmu dibudayakan, kerja amal digiatkan dan institusi masjid sama-sama dimakmurkan. Benar sekali, Ramadhan memang meriah.

Namun kemeriahan yang ini, ternyata berbeza semangatnya dengan kemeriahan yang sebelumnya. Itulah halnya tentang ‘kemeriahan Ramadhan’, walaupun sama frasanya, pengertian dan penghayatannya agak berbeza. Wacana ini saya tulis bukanlah untuk mengecam masyarakat saya sendiri. Pada hemat saya, tidaklah salah kita berbelanja. Malah memang harus untuk kita mempelbagaikan hidangan juadah berbuka. Tidak salah juga untuk bergembira dan memeriahkan suasana.

Namun apa yang harus kita sedar ialah peri pentingnya kesederhanaan dan kesesuaian dalam kehidupan. Setiap langkah yang kita ambil haruslah bersesuaian dan kena pada tempatnya. Terdetik juga hati kecil ini, mengapakah kita melebih-lebihkan hiburan walhal bulan Ramadhan itu diturunkan agar manusia lebih bertaqwa? Sebab utama adanya bulan Ramadhan ini ialah demi mendidik jiwa dan rohani insan. Tetapi kita meraikan perkara-perkara yang bercanggah dengan dasar utama bulan tersebut.

Wacana ini bukanlah untuk berkhutbah. Hanya untuk mengetengahkan dilema dan paradoks bulan Ramadhan dalam masyarakat kita. Mungkin wacana ini akan menyinggung sesetengah pihak. Tetapi inilah realiti masa kini. Pucuk pangkalnya, terpulanglah pada individu untuk memilih kemeriahan yang mahu dirasakan pada bulan yang istimewa ini. Moga-moga, dapatlah kita renungkan bersama dan memilih kemeriahan yang wajar untuk menyambut bulan Ramadhan ini. Kepada semua pembaca, selamat menjalankan ibadah puasa.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Ramadan yang Berbeza

0

            “Puasa di Indonesia? Sana ada bazaar Ramadhan tak?” Itulah pertanyaan yang paling sering saya dengar apabila teman-teman saya mendapat tahu bahawa saya akan menyambut bulan Ramadhan di Indonesia.

            Pada mulanya, pertanyaan ini seperti sesuatu yang normal, kerana sememangnya Ramadhan di Singapura itu sering dikaitkan dengan bazaar-bazaar Ramadhan. Memang tidak pelik lagi bagi kaum Muslimin di Singapura untuk mengunjungi bazaar-bazaar ini untuk mendapatkan juadah untuk berbuka puasa, dan juga untuk membeli keperluan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

            Walau bagaimanapun, setibanya saya di Indonesia, saya menyedari bahawa pertanyaan ini hanya menunjukkan sifat konsumerisme yang sangat lazim dalam masyarakat Singapura. Di Indonesia, bazaar Ramadhan yang besar-besaran sukar ditemui. Apa yang ada hanyalah toko-toko yang menawarkan jualan murah untuk menyambut Ramadhan.

             Ini tidak bermaksud bahawa Ramadhan di Indonesia kurang meriah. Pada beberapa malam sebelum Ramadhan, dan sehingga sekarang, dada langit sering dihiasi dengan bunga api dan mercun. Bacaan ayat-ayat dari Al Quran juga sentiasa bergema, bukan sahaja selepas solat terawih, tetapi selepas setiap waktu solat. Menurut teman-teman yang berasal dari Indonesia, pementasan dan perarakan juga akan diadakan sepanjang bulan Ramadhan.

             Jikalau di Geylang Serai banyak sekali lampu yang akan dinyalakan setiap Ramadhan menjelang Hari Raya Aidilfitri, di Indonesia pun tidak kurang lamp-lampunya. Yang membezakan suasana di kedua negara ini adalah apa yang dipancarkan lampu-lampu itu. Di Indonesia, lampu-lampu ini akan mengucapkan masyarakat Islam “Selamat Berpuasa”, dan bukan “Selamat Hari Raya” seperti di Singapura.

            Semenjak hari Ramadan yang pertama, teriakan “Sahur! Sahur!” dan bunyi gendang telah berperanan sebagai  jam loceng bagi saya, diikuti dengan alunan ayat-ayat dari Al Quran yang bergema dari masjid-masjid yang berdekatan tempat tinggal saya. Sahur diiringi dengan rancangan di televisyen, “Sahur Semua Sahur!”.

            Sememangnya, kebanyakan stesen televisyen di Indonesia mempunyai banyak rancangan khas Ramadhan. Waktu bagi beberapa rancangan biasa juga telah ditukar, agar tidak akan mengganggu waktu solat terawih. Keprihatinan sebegini sememangnya sukar untuk didapati di Singapura.

            Sememangnya, jika ingin dibandingkan, ada banyak lagi perbezaan dalam sambutan bulan Ramadhan di Singapura dan di Indonesia.

            Mungkin memang lebih senang untuk Indonesia, sebagai negara yang majoritinya Islam, mengadakan suasana Ramadhan yang lebih spiritual, dan tidak berasaskan sifat konsumerisme. Ini memang benar, dan tidak akan saya nafikan. Walau bagaimanapun, saya tetap berpendapat bahawa banyak yang boleh dipelajari umat Islam di Singapura dari cara Ramadhan disambut di Indonesia.  

            Sebagai seorang anak muda Singapura yang selama ini sering mengaitkan Ramadhan dengan sifat konsumerisme, Ramadhan kali ini, di Indonesia, merupakan suatu pengalaman yang sangat berbeza, dan sangat berharga.

            Dengan kata-kata ini, saya ingin mengucapkan, Ramadhan Mubarak! (:

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Globalisasi Mempengaruhi Pemilihan Pekerja

0

Merujuk kepada sebuah tinjauan oleh Pusat Kerjaya Universiti Kebangsaan Singapura (NUS Career Centre) terhadap para majikan, ciri-ciri yang dicari ketika pemilihan pekerja tidak lagi bergantung hanya kepada kelulusan cemerlang tetapi faktor-faktor lain seperti perspektif atau pemikiran global.

Globalisasi telah berjaya menakluki dunia dan Singapura telah berjaya  mengatur kedudukannya dalam grid arus pensejagatan. Dasar-dasar ekonomi Singapura telah menjadikan Singapura sebagai pusat serantau dalam sektor perkhidmatan seperti sektor perbankan dan pasaran muka.

Dengan ekonomi yang berorientasi global, ini sekaligus menimbulkan keperluan memilih pekerja yang mempunyai perspektif global. Universiti-universiti dan institusi-institusi pendidikan serata dunia telah mewujudkan lebih peluang untuk para mahasiswa dan para pelajar mengikuti program belajar atau bekerja di luar negara.

Sentimen ini dikongsi Nur’Ashikin Binte Ahmad yang baru meraih ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan) (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Sebagai seorang mahasiswi NUS, Shikin telah bermagang di syarikat insurans Chubb-Federal di Australia selama 12 minggu antara May 2009 hingga July 2009. Antara peranan dan tanggungjawabnya adalah menganalisa dan memantau tahap risiko institusi-institusi kewangan di Australia seperti bank dan syarikat kewangan.

Selain menikmati tarikan-tarikan pelancong di Australia seperti Opera House, pengalaman bermagang di luar negara telah mendedahkan Shikin kepada persekitaran kerja yang amat berbeza berbanding Singapura dari segi budaya, bahasa, dan corak kehidupan. Membandingkan perbezaan bekerja di Australia dan Singapura, katanya, “Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di kedua-dua Australia dan Singapura, namun bahasa Inggeris di Australia mempunyai slanga-slanganya yang tersendiri dan saya harus mempelajarinya untuk menyesuaikan diri.”

Peluang bermagang di luar negara juga telah meluaskan pemandangan dan membuka perspektif baharu. Sebagai contoh, “pengalaman berkerja di Australia telah memberi pemahaman baharu terhadap kegagalan gabungan antara pengendali bursa Singapura (SGX) dan pengendali bursa Australia (AGX)”.

Motivasi Shikin bermagang di Australia pada awalnya bersebabkan keinginan melihat negara lain. Namun ianya berubah setelah mengikuti beberapa tahap proses pendaftaran.  “Kesempatan bekerja di suasana yang berbeza dan menjadi sebahagian daripada industri kewangan dan ekonomi Australia menjadi pendorong kuat untuk bermagang di sana.”

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Dari Hati Jatuh Ke Hati: Keikhlasan Konsert Amal

0

Konsert amal boleh diibaratkan sebagai sebahagian daripada budaya Singapura. Ia amat dialu-alukan masyarakat dan diberi perhatian yang meluas. Dari dada-dada akhbar, komentar di radio hinggalah ke kaca televisyen, iklan dan nombor-nombor talian amal tidak akan lengkang dari media massa apabila sesebuah konsert amal bakal berlangsung.  Dengan penggunaan teknologi, acara-acara ini dapat disebarkan dengan lebih efektif. Selebriti-selebriti turut turun gelanggang untuk menghulurkan bantuan dan menggunakan pengaruh dan populariti mereka untuk menarik perhatian para penonton untuk menderma. 

Pada pendapat saya, konsert amal seperti ini adalah satu cara yang baik untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang nasib malang sebahagian anggotannya. Konsert amal mempunyai kesan yang mendalam kerana penonton diajak untuk melihat hidup seharian seseorang yang tidak bernasib baik atau kurang upaya.  Nilai pengorbanan dipertengahkan melalui rakaman video-video tersebut. Sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran, hati kita akan terbuka untuk menghulurkan bantuan dengan tidak secara langsung apabila kita melihat dan mendengar pengalaman perit insan-insan tersebut. 

Penglibatan selebriti sebagai “duta-duta” konsert amal ini tidak sekali pun meremehkan nilai pengorbanan dan tolong-menolong. Kehadiran mereka bukanlah semata-matanya sebagai hiburan bagi penonton malah mereka memainkan peranan yang lebih penting iaitu untuk mendidik penonton tentang masalah yang dialami sebahagian masyarat kini.

Konsert-konsert amal seperti konsert amal Tabung Amal Aidilfitri (TAA) Untukmu Sinaran Hati diadakan bukan kerana masyarakat kita tidak peka akan masalah-masalah sosial di Singapura. Konsert amal bagaikan sesuatu lambang kesatuan masyarakat untuk menolong yang kurang upaya dan menonjolkan nilai-nilai kemanusiaan seperti gotong-royong yang memanifestasikan kemuliaan masyarakat. Ia juga bagaikan peringatan bagi kita untuk bermuhasabah dan bersyukur akan segala nikmat yang   diperolehi.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Hari Kekasih: Berkorban Apa Saja?

1

Demi memikat hati Puteri Gunung Ledang, Sultan Mahmud sanggup memenuhi syarat-syarat yang diberikan walaupun ia tidak munasabah. Mungkin ramai yang menganggap ini sebagai satu cerita dongeng dan mitos. Namun, ternyata pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh Sultan Mahmud itu masih boleh dilihat pada zaman sekarang. Sebut sahaja 14 Februari dan sudah tentu ramai anak-anak muda akan mengaitkan hari itu dengan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai ‘Valentine’s Day’.

Budaya menyambut Hari Kekasih semakin popular dalam masyarakat Melayu. Selain mengucapkan ‘ayat-ayat cinta’ antara pasangan, membelikan hadiah yang sangat mahal juga menjadi kebiasaan. Mentelah lagi, kedai-kedai di pusat membeli-belah mengambil kesempatan ini untuk mengaup keuntungan dengan menawarkan tawaran khas sempena hari kekasih. Bahkan, hadiah yang diberikan pada Hari Kekasih kadangkala menjadi kayu pengukur bagi nilai percintaan antara dua kekasih.

Terdapat pelbagai pandangan tentang sambutan Hari Kekasih. Ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa Hari Kekasih ini adalah sebuah hari istimewa yang dikhaskan untuk meraikan perhubungan cinta antara dua kekasih. Namun, terdapat beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Mereka percaya bahawa setiap detik di dalam perhubungan itu berharga dan sepatutnya diraikan dan bukan tertakluk pada satu hari sahaja. Malahan lagi, nilai sebuah percintaan itu adalah sesuatu yang suci dan tidak boleh dinilai dari segi hadiah dan wang ringgit.

Adat ini mungkin kelihatan menarik. Tetapi, ia membawa kesan negatif terhadap golongan anak-anak muda kita. Bayangkan, wang hasil pemberian ibu bapa kepada anak-anak mereka habis dikorbankan semata-mata untuk memberikan hadiah yang khas pada hari tersebut. Mereka yang tidak berkemampuan pula tentunya akan berasa hampa kerana ketiadaan sambutan dan hadiah yang khas pada hari tersebut. Mungkin kita akan merasa bahawa perasaan sedih dan hampa itu tidak bertempat. Namun, dalam keasyikan dunia percintaan dan ditambah pula dengan derasnya arus tarikan Hari Kekasih, tidak hairanlah jika terdapat ramai pasangan yang terdorong untuk menyambut Hari Kekasih dengan sambutan yang istimewa.

Dari kacamata agama Islam pula, ramai berpendapat bahawa sambutan  Hari Kekasih tidak seharusnya digalakkan. Ini kerana permulaannya berkait rapat dengan sambutan perayaan agama Nasrani. Islam juga tidak mengalakkan aktiviti yang tidak bermanfaat dan sebaliknya membebankan seseorang. Bukankah lebih baik jika wang itu disalurkan kepada aktiviti yang bersifat mendidik dan berfaedah?

Bukan niat saya untuk mengatakan bahawa pemberian hadiah kepada orang yang kita sayangi itu tidak berguna. Sudah menjadi naluri manusia untuk merasa gembira dan disayangi apabila menerima sesuatu yang istimewa. Namun, kita harus senantiasa ingat bahawa kasih dan sayang itu sepatutnya diluahkan setiap hari. Apalah ertinya sambutan yang gah berserta hadiah-hadiah yang mahal pada Hari Kekasih walhal kita mensia-siakan perhubungan tersebut pada masa-masa lainnya? Pengorbanan dalam percintaan seharusnya tidak mengira masa. Betapa indahnya pengorbanan para ibubapa demi perasaan cinta terhadap anaknya sehinggakan mereka mengorbankan wang, masa dan tenaga setiap hari. Demikianlah suatu cinta yang suci yang ditunjukkan oleh ibubapa kita sebagai tanda kasih dan sayang.

Oleh itu, marilah kita menanamkan sifat kasih dan sayang pada setiap masa. Hapuskanlah paradigma kapitalisme dalam pemikiran kita dan pupuklah perasaan sayang yang tidak dinilai semata-mata dengan hadiah, wang dan hari-hari istimewa. Apabila kita menilai perasaan kasih sayang merentasi dimensi material sahaja, nescaya kita akan mengecap nikmat kehidupan yang lebih bermakna.

Disimpan dalam: Bicara Minda

Teruskan Membaca

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa