Lensa Kampus

K-Cube: Kecoh Kecoh Karnival

0

Kecoh-Kecoh Karnival merupakan sebuah acara yang diterajui oleh  mahasiswa-mahasiswi di Universiti Kebangsaan Singapura. Kali ini, ia dianjurkan bagi kanak-kanak dari rumah Pertapis (Pertapis Children’s Home), yang dalam lingkungan umur 8 hingga 14 tahun, pada 20hb dan 22hb Disember 2011.

Termasuk tahun ini, Kecoh-Kecoh Karnival sudahpun dianjurkan buat kali ketiga. Karnival terulung ini, yang dinamakan ‘K-Cube’ buat tahun 2011, mempunyai beberapa perubahan jika dibandingkan dengan karnival-karnival tahun lepas. K-Cube 2011 dibahagikan kepada dua hari dimana pada hari pertama, kanak-kanak dibawa ke kampus NUS dan hari berikutnya pula dijalankan di PCH.

Kalau Kecoh-Kecoh Karnival 2009 mempunyai segmen ‘Give-A-Gift’, K-Cube pula mempunyai segmen ‘Magic School Bus’ dimana kanak-kanak PCH diberi peluang untuk menaiki “bus sekolah magis” dan beronda-ronda sekeliling kampus. Segmen sebegini mungkin dapat mendorong kanak-kanak tersebut untuk belajar hingga ke peringkat Universiti.

Motif asal Kecoh-Kecoh Karnival masih diterapkan meskipun menjalani pelbagai perubahan pada pucuk pimpinan. Ahli jawatankuasa K-Cube 2011 giat berusaha dengan gigih untuk memberi harapan kepada kanak-kanak PCH. Selain itu, mereka juga memainkan peranan tercontoh yang boleh dijadikan bahan inspirasi bagi kanak-kanak PCH untuk mencapai impian mereka.

Mahasiswi tahun ketiga dan penyelaras projek K-Cube 2011, Siti Madhiah Bte Samat, mengongsi pandangan beliau apabila ditanya apa yang mendorongnya untuk menawarkan diri sebagai penyelaras projek. Menurutnya, “keterlibatan saya dalam K2K 2010 telah memupuk minat dalam acara ini. Justeru, saya telah mencabar diri saya untuk menjadi penyelaras projek bagi tahun ini pula. Peluang murni seperti ini jarang wujud dan apabila saya ketahui posisi ‘penyelaras projek’ belum diambil, cepat-cepat saya merebut peluang tersebut.”

Karnival murni sebegini sentiasa mengingatkan mahasiswa-mahasiswi NUS untuk sentiasa menyumbang kembali kepada masyarakat. Bahkan, ia membuat kita bersyukur dengan keselesaan hidup dan mengingatkan kita kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Moga-moga acara Kecoh-Kecoh Karnival meneruskan legasinya di masa-masa hadapan dan sentiasa memberikan inspirasi kepada generasi Melayu yang lebih muda.

Disimpan dalam: Lensa Kampus

Teruskan Membaca

Contengan Hidup – Luahan Tidak Berketepian

0

Suasana Pusat budaya Universiti (UCC) di NUS dimeriahkan lagi baru-baru ini dengan sebuah acara tahunan Ilsa Tari NUS, “Contengan Hidup – Luahan Tidak Berketepian”. Di bawah arahan pengarah artistik/pereka tari tetap Osman Abdul Hamid, Ilsa Tari telah menyajikan sebuah persembahan yang unik dan berlainan dari tahun-tahun sebelumnya. Selain dari menggunakan seni instalasi dan mengetengahkan tarian yang kurang dikenali seperti randai, persembahan Ilsa Tari juga diiringi lagu  yang dimainkan secara live dibawah arahan penggubah lagu Dzul Rabul Jalil. Turut menyerikan acara ini adalah tetamu-tetamu kehormat, Encik Hawazi Daipi, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan dan Tenaga Manusia berserta Dr Intan Azura Mokhtar, Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio.

Bagi Anisah Azami, persembahan Ilsa Tari merupakan satu pengalaman yang menarik. “Saya amat terhibur dengan persembahan ini dan alunan lagu live telah menghidupkan lagi persembahan Ilsa Tari,” ujar mahasiswi dari Universiti Pengurusan Singapura ini.

Menurut presiden Ilsa Tari, Dinie Dasuki Bin Osman (gambar, paling kanan), persediaan bagi persembahan ini bermula seawal Mei. “Kali ini, persembahan Ilsa Tari agak abstrak dan berlainan dari tahun-tahun sebelumnya dan kami cuba melakukan sesebuah experimental improvisation.” Dinie, yang juga merupakan mahasiswa tahun ketiga, jurusan Kimia menyifatkan pengalaman kali ini lebih bermakna kerana pelantikkanya sebagai Presiden dimana beliau memegang lebih tanggungjawab seperti menguruskan hal pentadbiran.

Terdapat beberapa mahasiswa tahun pertama juga yang telah turut menyumbang tenaga untuk menjayakan acara ini. Antaranya merupakan Adib Ridzuan, mahasiswa dalam jurusan Bioengineering. Berkongsi tentang pengalamannya, Adib mengatakan, “ini merupakan pertama kali saya terlibat dalam persembahan segah sebegini dan ia merupakan sesuatu pengalaman yang indah.”

Disimpan dalam: Lensa Kampus

Teruskan Membaca

Perkampungan Bahasa 2011

0

Jun lalu, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) telah menganjurkan perkhemahan Perkampungan Bahasa 2011 buat tahun yang ketujuh. Disasarkan kepada para pelajar peringkat menengah, para peserta dapat meraih kemaslahatan, khususnya dalam memperbaiki mutu penggunaan dan penulisan Bahasa Melayu. Tahun ini, muzik dan media baharu digunakan sebagai wadah untuk para peserta menggunakan Bahasa Melayu secara kreatif dan menarik. Ikuti ulasan peserta perkhemahan Md Faizal Azizi, pelajar dari Sekolah Menengah St. Andrews.

Perkhemahan luar biasa ini telah mengajar kami menulis pantun dan syair. Kami berasa kekok dan hanya dapat mula selesa dengan satu sama lain setelah permainan ‘Lari Lari Aku Lari’. Aktiviti yang sangat mencabar ini telah memaksa kami untuk bekerjasama lantas telah mengeratkan silaturrahim kumpulan Rebana . Selepas permainan itu, barulah kami mula bebual dan bergurau senda sesama sendiri. Aktiviti itu telah memperkenalkan dan menyelitkan unsur-unsur sastera.  Kami dapat meraih ilmu sambil berseronok. Apa yang membuat pengalaman ini lebih menarik ialah peluang untuk kami membuat kenalan yang baharu.

Untuk menyemarakkan lagi suasana perkhemahan itu, bekas peserta-peserta tahun lepas yang menamakan diri mereka ‘Star Karat’ juga turun padang. Keceriaan yang mereka bawa telah menggalakkan peserta-peserta tahun ini untuk melakukan yang terbaik bagi pertandingan di Pesta Rapsodi.

Saya dapat melihat bahawa para peserta Perkampungan Bahasa 2011 rasa begitu puas dan riang. Saya juga teruja mendengar pendapat yang matang oleh Amirah, peserta dari Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, tentang perlunya orang Melayu saling membantu memajukan bangsa. Melalui perkhemahan ini, para peserta dapat bertutur dengan lebih baik dan menjadi lebih puitis. Keunikan  bahasa dan budaya yang diterapkan merupakan satu lambang yang hanya ada pada kita dan tiada pada bangsa lain.

Faizal merupakan pemenang anugerah “Peserta Paling Bersemangat” sewaktu perkhemahan dan menganggotai kumpulan “Rebana” yang juga merupakan “Kumpulan Perkampungan Bahasa 2011 Terbaik.”  Faizal dan beberapa peserta perkhemahan juga telah turut diundang untuk membuat persembahan sewaktu Majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2011. Persembahan ini diilhamkan mereka sewaktu perkhemahan Perkampungan Bahasa 2011.

Disimpan dalam: Lensa Kampus

Teruskan Membaca

Mantra Seorang Mahasiswi

0

Hati berdebar-debar, lemah terasa di kaki, tetapi tetap harus senyum, berdiri dan menahan segala emosi. Saat di pinggir pentas menunggu giliran untuk disampaikan ijazah, hati terasa begitu sesak; dari rasa bersyukur, gembira, lega tidak terhingga, bangga, hingga ke kegelisahan takut kalau-kalau topi empat persegi akan jatuh kalau saya melangkah, kalau saya akan jatuh bila melangkah, dan serentak itu terasa secebis kecewa, segan, kerdil; Kau, Melayu, begitu senang dengan segulung ijazah yang bakal kau raih. Pada kau sudah mencukupi sedangkan anak bangsa lain, anak-anak bangsa kau yang lain, masih mengejar puncak yang lebih tinggi, masih mendaki. Ijazah Sarjana Muda, dan dengan itu kau sudah berpuas hati. Beberapa minit menunggu di antara belakang pentas dan ruang pentas itu terasa seperti waktu yang lama. Teringat ulasan Dr Johnson Irving, pensyarah dari Jabatan Pengajian Asia Tenggara, “Ruang waktu di mana seorang mahasiswa itu sedang beratur untuk naik ke pentas dengan memakai gaun akademiknya, adalah detik yang sangat liminal”. Dan tanpa disedari, tangan ini tangkas menepis air mata di pipi.

21 tahun berjuang di arena akedemik; kau, mama, abah, dari bangku sekolah rendah; Cikgu Faridah, Miss Chitra, Cikgu Zubaidah; gagal pelajaran Bahasa Inggeris; PSLE; hari pertama di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang; gagal Matematik; saat abah berkeras tidak mahu menandatangani buku rekod hanya kerana kedudukan kelas kau mengambil tempat terakhir; terpaksa berhenti bergiat dalam dikir barat; Bantu mama menjual epok-epok di sekolah; gagal Bahasa Inggeris, lagi; Cikgu Khalidah meyakinkan mama bahawa gred jumlah 35 tidak begitu teruk; peperiksaan peringkat ‘O’; Maktab Rendah Tampines; saudara-mara kecewa kerana tidak ke maktab lebih berprestij, kerana tidak memilih aliran Sains; Cikgu Malek, Cikgu Faten, Cikgu Mas, Cikgu Rabiah; gagal matapelajaran Sastera Inggeris dan Ekonomi; dimarahi abah kerana wujud abjad ‘E’ di kertas keputusan peperiksaan hujung tahun (tetapi aku telah mencuba sedaya upaya, sungguh!); Peperiksaan peringkat ‘A’; kertas keputusan pepriksaan, Bahasa Melayu A, Sastera Inggeris A, Ilmu Alam A, Kertas Am A2, syukur; wajah mama, abah; menandatangani kontrak biasiswa, memilih untuk jadi seorang pendidik, untuk mendidik; Universiti Kebangsaan Singapura; cukup puas dengan gred C pada penggal pertama kerana sudah terbiasa gagal, kesal; Persatuan Bahasa Melayu Kebangsaan Singapura; bertungkus-lumus belajar untuk peperiksaan kerana takut tidak dapat mematuhi syarat-syarat biasiswa (takut biasiswa ditarik balik kerana sungguh, aku tak mampu), untuk bekalan masa hadapan.

 

Dan kini diri ini berada di penghujungnya: sebuah jabat tangan, segulung ijazah. Ini dia, menara gading dan ini langkah kau yang terakhir dalam perjalanan ini, terdengar bisik hati dan lantas diri ini menjawab kembali, Alhamdulillah. Nama dipanggil, giliran sudah tiba, cuba mula dengan Bismillah, dan kaki ini terus melangkah.

Mungkin ada yang tertanya, mengapa berkongsi saat yang begitu peribadi di mana hidup bermain kembali di depan mata? Kerana ini:

Bohong kalau saya katakan selama pengajian saya di NUS saya tidak rasa kecil, seperti saya tidak berdaya. Melihat rakan-rakan seperjuangan yang lain bercita-cita tinggi, sentiasa selesai menelaah bacaan sebelum setiap kuliah, mendengar pendapat yang mereka kongsi di dalam seminar; cukup bernas. Dan tiba-tiba terasa pendapat anda kecil, tidak sebernas, dan lantas anda memilih untuk berdiam. Percayalah, anda selayak mereka; diri sama tinggi, duduk sama rendah. Ada sebabnya anda di perjalanan ini. Anda juga telah sama melayakkan diri untuk memasuki institusi ini. Anda, ibu bapa anda, atau pihak yang menaja anda, telah membayar yuran yang sama tinggi dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain agar anda boleh mencari dan memanfaatkan ilmu di universiti. Usah takut menyuarakan pendapat atau bertanya, anda masih pelajar dan kesalahan di dalam kelas adalah sesuatu yang baik kerana dari situ anda dapat belajar. Thomas Edison, dalam usahanya menjana kuasa elektrik, pernah mengatakan: “I have not failed. I’ve just found 10,000 ways that won’t work”. Bangkit dari kegagalan atau kelemahan itu lebih memuaskan dari pencapaian baik yang mendatar.  Anda mendapat tempat di universiti adalah bukti kelayakan anda, usah merasa tidak upaya. Yakin.

Jangan pula anda membandingkan diri anda dengan rakan seperjuangan yang lain, kerana percayalah, saya sudah meneliti kertas ijazah itu berkali-kali, dan tiada tertera di mana-mana pun mengenai kedudukan anda berbanding rakan-rakan lain. Kalau anda suka, harus atau ingin bertanding, cabarlah hanya dengan diri anda sendiri. Setiap kali tiba waktu peperiksaan, halakan tujuan anda untuk melakukan yang lebih baik dari percubaan anda yang sebelumnya. Jangan takut akan kecewa jika anda gagal setelah bertungkus-lumus, siang malam belajar, membaca. Dari pengalaman saya kegagalan itu biasanya bermanfaat; sama ada ia untuk menyedarkan diri anda bahawa anda sudah terlalu selesa dan tidak mencuba sedaya upaya, atau mungkin anda telah melakukan sebuah kesilapan (dan anda harus mengenalpasti kesilapan itu agar boleh dielakkan di waktu mendatang). Setiap pensyarah tidak bermisi untuk menggagalkan anak didik sendiri (kerana ini juga tidak akan mencerminkan dengan baik kewibawaan mereka sebagai pendidik); markah itu ada, peluang itu ada. Anda hanya perlu melakukan yang terbaik. Usaha.

Setiap perjalanan itu, bukannya terpisah dari perjalanan yang sebelumnya. Menjelang tahun pertama di univeristi, mungkin ada yang masih ghairah, masih mencari mana untuk menapak. Tahun kedua di universiti, tentu ramai yang mula lelah, yang terasa seakan-akan telah lama berlari, berlari dan berlari. Budaya kerja di universiti berbeza; walaupun banyak kegiatan sampingan, tetapi matlamat semua adalah satu; untuk mendapatkan ijazah di akhir pengajian. Dan mungkin akan terasa penat bukan hanya kerana bertimbun tugasan harus diselesaikan dalam sesingkat waktu, tetapi kerana rasanya sudah lebih dua dekad berlari dalam perlumbaan ini, dan mungkin anda di pinggir putus asa. Belajar dan bangkit dari kegagalan kerana Tuhan tidak akan menguji anda di luar batasan keupayaan anda. Jika anda yakin pada diri sendiri, dan anda telah berusaha sejauh mana mampu, bawa bertenang, tarik nafas, usah kaget dan mencacah. Sudah selesai dihantar esei kajian anda, atau sudah selesai 2 jam menjalani peperiksaan, tamatkan rasa gelisah anda di situ, jangan bawa pulang dan jangan membiarkan ia membelenggu anda sehingga hari mendapat keputusan tiba. Anda telah yakin dengan diri sendiri dan anda telah berusaha. Anda telah melakukan segala apa yang boleh anda lakukan. Bawa bertenang. Tawakkal.

*****

Terus terang apabila mula menulis rencana ini, saya buntu bagaimana ingin bermula. Teringat waktu ingin menulis esei pertama untuk penggal terakhir saya di NUS. Sampai menangis duduk menghadap komputer riba melihat dokumen kosong terpancar di skrin selama lebih dari seminggu. Saya telah mengadu pada seoarang rakan, bila terdengar gagang telefon di angkat terus saya mula terpekik-pekik marah-marah dan akhirnya mengaku, saya tidak tahu bagaimana harus mula menulis esei ini! Dengan tenang dia menjawab, cuba mula dengan Bismillah.

 

******

Tidak pernah saya kesali waktu-waktu di NUS. Selain tuntutan akademik dan kerja, saya pasti ramai yang seronok dengan kehidupan sosial dan aktiviti-aktiviti sampingan di dalam dan di luar kampus. Hanya apabila perjalanan mula rumit, di situ setiap orang memerlukan sokongan, motivasi dan peringatan.

Yakin. Usaha. Tawakkal.

 

Disimpan dalam: Lensa Kampus

Teruskan Membaca

‘Indonesian Panggang’ Gerai Kegemaran Ramai

0

Pemilik Indonesian Panggang berasa terharu apabila para pelajar di Universiti Kebangsaan Singapura memanggilnya pak cik.

Encik Alson Ng juga merasakan ianya lebih mudah untuk melayani para pelajar berbanding dengan orang awam.

Encik Ng, 46, membuka tiga cawangan menjual masakan Indonesia di NUS. Cawangan pertamanya dibuka di Techno Edge. Ia dibuka pada tahun 2005, atas nama Indonesian Panggang Food.

Encik Ng berhasrat untuk menghidangkan makanan bermutu tinggi. Beliau berkata Indonesian Panggang hanya menggunakan ayam yang segar. Ini membuatkan makanan mereka bertambah lazat, kata beliau lagi.

Encik Ng menambah, perkhidmatan yang cekap adalah penting kerana pelajar tidak mempunyai banyak masa untuk makan. Ayam-ayam di gerai beliau dimasak terlebih dahulu sebelum dipanggang untuk mengurangkan masa bagi menyediakannya.

Berbekalkan pengalaman berniaga di Politeknik Singapura dan Universiti Teknologi Nanyang, Encik Ng berjaya meyakinkan Jawatankuasa Induk Makanan Universiti dan wakil-wakil fakulti untuk memberi kebenaran kepada beliau membuka gerai keduanya di NUS.

Pada tahun 2009, Encik Ng membuka Indonesian Ayam Penyet di Frontier. Dalam masa setahun, beliau berjaya membuka gerai ketiganya di The Deck atas nama Indonesian Express Cafe.

Indonesian Panggang kini mempunyai 25 orang pekerja. Dua dari cawangannya telah terpilih sebagai gerai terbaik di fakulti masing-masing semasa berlangsungnya Karnival Makanan yang dianjurkan oleh Kesatuan Kebajikan Mahasiswa NUS.

Encik Ng berkata Indonesian Panggang adalah istimewa kerana ia berkonsepkan makanan segera namun menghidangkan makanan asli Indonesia. Beliau merasakan inilah pencapaian terbesar perniagaannya.

Disebabkan makanannya yang pedas, Indonesian Express Cafe menawarkan isi ulang air secara percuma. Walaupun harga makanan di situ agak mahal berbanding dengan gerainya yang lain, tawaran isi ulang percuma itu membuatkan harganya agak berpatutan.

Makanan kegemaran ramai adalah ayam panggang. Selain ayam panggang, gerai Encik Ng juga menjual udang, ikan dan sotong bagi mengadakan kepelbagaian di dalam menu.

Encik Ng sanggup menyokong acara-acara NUS selagi beliau berdaya berbuat demikian. Beliau lebih prihatin tentang orang menyukai makanannya daripada membuat keuntungan yang banyak. Encik Ng menambah bahawa cara sebegini dapat menguntungkan kudua-dua pihak.

Encik Ng mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau berkata peluang mengambil alih gerai-gerainya tidak terhad kepada anak-anaknya.

Sebagai seorang bapa yang penyayang, beliau mengetepikan hari Sabtu dan Ahad supaya dapat bersama keluarganya.

Disimpan dalam: Lensa Kampus

Teruskan Membaca

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa