Lensa Kampus
Oleh Nur Amalina Kamal untuk edisi February 2011
Harapan
Berapa tinggi pucuk pinang
Tinggilah lagi pucuk meranti
Berapa tinggi si Gunung Ledang
Tinggilah lagi harapan hati
Asamlah Jawa pokok di hutan
Di bawa orang tanam di desa
Adalah nyawa ada harapan
Tidaklah mahu berputus asa
Iltizam dan wawasan itu muncul dari secebis gagasan yang bernama, ‘harapan’. Harapan itulah yang mencetuskan pengorbanan: manusia sanggup melakukan apa sahaja demi menjadikan harapan bukan hanya setakat gagasan niat dalam hati. Acara Cakap Petah 2011 yang selamat dilangsungkan pada 29 haribulan Januari 2011 yang lalu merupakan wawasan kami sebagai pihak penganjur untuk menyemai benih-benih harapan dalam jiwa anak muda kita.
Tema yang mengungkap keupayaan si cilik untuk mengimbas muka dan beraspirasi jelas memaktubkan niat kami. “Andai Aku Sudah Dewasa…” apakah adanya keberadaan dunia? Para peserta dikehendaki memikirkan akan keupayaan mereka dan cara untuk mereka berbakti kepada ibubapa, keluarga, masyarakat dan negara. Jelas sekali, aspirasi adik-adik kita semuanya meluap “setinggi gunung”. Mereka mengimpikan kerjaya seperti doktor pediatrik, pelakon, penyanyi, saintis dan juga pemain sukan pedang terhandal di dunia! Cukup teharu kami mendengar wawasan mereka yang begitu besar dibandingkan dengan tubuh badan mereka yang kecil. Alhamdulillah, matlamat Cakap Petah tercapai. Disamping menyemarakkan cinta dan ketertiban dalam penggunaan Bahasa Melayu dikalangan para peserta, adik-adik kita berjaya mengungkap tema pertandingan dengan sebaik mana yang mungkin!
Sekali lagi, bagi pihak jawatankuasa Cakap Petah 2011, saya ingin sekali merakamkan setinggi-tinggi perghargaan kepada mereka yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak langsung untuk menjayakan acara ini. Acara ini tidak mungkin dapat dijalankan tanpa sokongan panel juri tetap, guru-guru dan para pelajar semua. Ribuan terima kasih juga kepada para penaja yang sudi menyokong hasrat murni kami yang tidak seberapa ini.
Kepada para peserta yang berjaya, saya ucapkan tahniah. Saya tabik semangat sekolah-sekolah yang tampil mengambil bahagian untuk menyahut cabaran kami. Saya harap ini bukan kali terakhir anda menyahut cabaran ini. Semoga kita berjumpa di lain kesempatan.
Sekian. Wassalam.
| Nur Amalina Binte Kamal
Naib Ketua Sekretariat Persuratan &
Pengarah Cakap Petah 2011
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) |
Teruskan Membaca
Oleh Noraz Syairah Azimi untuk edisi February 2011
Bertempat di Perpustakaan Awam Bukit Merah, seramai 16 pelajar sekolah rendah telah beradu kemampuan untuk berpidato dalam pertandingan Cakap Petah 2011 pada 29 haribulan Januari lalu.
Pertandingan ini merupkan acara tahunan anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) dan pertandingan tahun ini bertemakan “Andai Aku Sudah Dewasa”. Berdasarkan tema yang diberikan, peserta-peserta pertandingan diajak mengimbas muka akan keberadaan dunia pada hari esok dan berkongsi aspirasi mereka.
Untuk melengkapkan setiap peserta dengan kemahiran berpidato, satu bengkel telah diadakan di kampus Kent Ridge, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Bengkel satu hari ini telah dikendalikan Cikgu Asnidah Daud dan Saudari Rilla Melati yang juga merupakan pengadil-pengadil tetap bagi pertandingan ini. Melalui bengkel ini, setiap peserta meraih pelbagai petua berguna untuk membantu mereka menyediakan skrip pidato dan memperbaiki cara penyampaian mereka.
Ternyata peserta-peserta cilik ini telah memanfaatkan petua-petua yang diberikan dalam bengkel ini untuk memperkasakan cara penyampaian mereka di atas pentas. Setiap daripada mereka telah memberi hujah-hujah yang bernas dan unik. Menurut Cikgu Asnidah Daud, “peserta-peserta yang mengikuti bengkel ini telah menepati jangkaan pengadil dari segi isi dan bahasa kerana mereka menggunakan teknik-teknik yang diajar seperti aliterasi.”
Juara pertandingan Cakap Petah 2011 merupakan pelajar Nadrah Shahirah Hisham dari Sekolah Rendah Yishun. Melalui penyampaiannya yang penuh keyakinan dan senyuman yang tidak lengkang dari bibirnya, pelajar darjah 4 ini berkongsi cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi. Apabila diminta mengulas perasaannya dinobatkan sebagai juara pertandingan Cakap Petah 2011, pelajar cilik ini berkata, “Saya berasa sangat gembira dan berasa seperti hendak menangis.”
Zainab Iskandar, pelajar Sekolah Rendah Perempuan Raffles pula berjaya merangkul tempat kedua manakala Muhammad Khalis Bin Samion dari Sekolah Rendah Yishun menduduki tempat ketiga.
Selain penyampaian pidato dari peserta-peserta ini, para hadirin juga telah dihiburkan dengan persembahan bertenaga oleh Kumpulan Tarian Sekolah Rendah Woodlands dan kanak-kanak Masjid An-Nur. Lebih menggembirakan lagi apabila Professor Kamsiah Abdullah turut menghadiri majlis ini sebagai tetamu terhormat.
Teruskan Membaca
Oleh Kamielah Khairoullah untuk edisi December 2010
Kecoh-Kecoh Karnival 2010 (K2K) adalah sebuah acara yang dianjurkan untuk beberapa kanak-kanak dari Pusat Wanita Pertapis (Pertapis Centre for Women and Girls). Acara yang mula dilancarkan tahun lalu akan berlansung pada 22hb Disember 2010 di kampus Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).

Dengan mengadakan sebuah karnival sehari di kampus NUS, acara K2K yang diterajui sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi NUS diharap dapat memberi inspirasi dan menyuntik semangat dalam kanak-kanak ini untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.
Walaupun terdapat perubahan pada pucuk pimpinan K2K tahun ini, tujuan asal acara tetap kekal. Ahli jawatankuasa K2K 2010 tetap bertekad untuk memberi harapan kepada anak muda, dan untuk menjadi inspirasi kepada mereka untuk bekerja keras dalam bidang pendidikan.
Sentimen ini dikongsi Hilmaniaty Murtaza, seorang pelajar tahun pertama dan naib ketua K2K. Katanya, “Saya sedar bahawa saya tidak mahu kehidupan saya di universiti hanya tertumpu kepada perihal akademik, dan saya ingin melakukan pekerjaan amal. Sebelum ini, saya telah bekerja di sebuah pusat penjagaan pelajar (student care centre) dan apabila saya memberitahu pelajar-pelajar di sana bahawa saya diterima memasuki universiti, mereka ternyata kelihatan sungguh kagum. Sememangnya, mendapat kelayakan ke universiti adalah impian hampir setiap anak Singapura!”
Kalau pada tahun lalu Kecoh-Kecoh Karnival 2009 telah dirancang untuk kanak-kanak di Darul Ma’wa, tahun ini Pertapis pula yang terpilih. Peserta K2K pada kali ini pula bukan lagi kanak-kanak di bawah 14 tahun, tetapi remaja perempuan antara 13 sehingga 17 tahun.
Pada 22hb Disember, peserta-peserta K2K akan mendapat peluang untuk menikmati suasana di dalam sebuah teater kuliah NUS sambil beramah mesra dengan beberapa pelajar NUS yang telah berjaya, dan juga selebriti-selebriti seperti Akmal N. dan Rita Zahara. Mereka juga akan mengelilingi kampus NUS sambil melakukan beberapa tugasan dan permainan.

K2K juga akan memberi peluang kepada peserta-pesertanya untuk berinteraksi dengan rapat bersama pelajar-pelajar NUS, yang akan menjadi pemuda-pemudi acara dan ketua stesen-stesen permainan. Bahkan, pelajar NUS juga akan meraih manfaat, kerana K2K bukan sahaja merupakan wadah untuk mereka beramal, tetapi juga untuk mendekati dan lebih mengenali mereka yang mungkin kurang bernasib baik daripada mereka.
Jawatankuasa K2K 2010 amat berharap bahawa acara ini akan berjaya, dan mencapai tujuan utama untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada generasi Melayu yang lebih muda.
Teruskan Membaca
Oleh Muhammad Hafiz Bin Salleh untuk edisi December 2010
Itulah yang terlintas di benak fikiran setahunya saya mengenai minuman ini. Jika dilihat pada mata kasarnya, ia serupa seperti minuman ‘bubbletea’ yang lain dari segi bentuk cawan dan cara ia dijual. Si penjual minuman akan mengambil pesanan minuman, anda membuat pembayaran dan setelah selasai menbancuhnya, anda akan dapat menikmati ‘bubbletea’ pilihan anda. Dinilai pada rasa, ia juga saling tak tumpah dengan jenama-jenama ‘bubbletea’ yang lain. Namun, jangan sesekali berkata demikian dengan peminat KOI kerana mereka ada alasan-alasan mengapa mereka ‘gila’ akan minuman yang dipercayai berasal dari negara Taiwan ini.
Bagi Nurul Hannah Mohammad Amran, mahasiswa tahun kedua dengan pengkhususan Penngajian Melayu, apabila ditanya mengapa dia amat menyukai ‘bubbletea’ KOI ini, gadis yang berumur 20 tahun ini berkata
“Saya memang suka minum ‘bubbletea’. Apa yang menarik bagi KOI ialah ia mempunyai perisa-perisa yang berlainan daripada kedai-kedai ‘bubbletea’ yang lain. Perisa-perisa yang ditawarkan seperti caramel, hazelnut, ice-cream, mocha dan sebagainya. Ia seolah-olah memberi saya lebih banyak pilihan daripada kedai-kedai yang lain yang seringkali menjual perisa yang sama sahaja.”
Sememangnya bukan Hannah sahaja yang terikut-ikut dengan fenomena KOI ini. Jika kita singkap minggu-minggu sekolah pada semester 1 yang lepas, laluan pejalan kaki di fakulti-fakulti seluruh NUS dibanjiri dengan jualan amal ‘bubbletea’ KOI. Mahasiswa-mahasiswa dilihat memasuki dewan kuliah dengan menghirup minuman itu sebagai pelepas dahaga. Hannah sendiri mengaku bahawa dia membelinya atas dasar menyukai minuman itu sekaligus memberi sokongan kepada usaha murni persatuan-persatuan tersebut yang ingin mengumpul dana.
Dilihat pada dasarnya, pengumpulan dana dengan cara sebegini sememangnya berpandukan keuntungan dan ia merupakan tujuannya untuk mengaup laba yang secukupnya. Namun, ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa penjualan ‘bubbletea’ diadakan secara keterlaluan. Hannah pula berpendapat sebaliknya. Menurutnya, perkara ini tidak perlu dilihat secara negatif. Tambahnya lagi, jika seseorang itu tidak mahu menyumbang kepada pengumpulan dana tersebut, dia mempunyai pilihan untuk tidak membelinya.
Melihat fasa ini berlaku tidak sama sekali membuat seorang lagi mahasiswa tahun kedua, Muhammad Hamzah bin Zainal Abidin hairan dan janggal. Penjualan KOI dan barang makanan yang lain pada pendapatnya merupakan trend ikutan ramai yang akan melepasi fasa popularnya. Menurut mahasiswa yang berumur 22 tahun dan mengambil pengkhususan Sains Politik lagi,
“Kita boleh lihat bahawa ini semua merupakan ‘fad’. Pada tahun lalu, barang makanan seperti KOI dan Chewy Junior tidak dijual sama sekali. Namun apabila KOI sudah mendapat sambutan yang menggalakkan, apa yang dilakukan pelajar ialah menumpang di atas populariti minuman ini untuk mendapat sokongan yang diperlukan.”
Sekalipun sambutan kepada ‘bubbletea’ ini amat menggalakkan sehingga pembukaan cawangan KOI di merata Singapura tumbuh bak cendawan setelah hujan, saya pasti ia akan melepasi tahap dan fasa popularitinya. Ada yang akan menyukainya dan ada juga sebaliknya. Sepertimana kedai-kedai yang mengikut trend yang lain, sebagai contoh kedai ‘doughnut’, ‘bubbletea’ KOI besar kemungkinan akan menjadi serupa dengan jenama-jenama ini dan ‘fad’ yang melanda akan reda jua.
Teruskan Membaca
Oleh Noraz Syairah Azimi untuk edisi October 2010
Jun 2010 lalu, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) dan Persatuan Islam Universiti Kebangsaan Singapura(NUS MS) telah bergabung tenaga untuk menjayakan satu perkhemahan orientasi OlympNUS buat mahasiswa-mahasiswa baru. Perkhemahan yang diadakan selama 4 hari dan 3 malam itu bertemakan mitos Greek dan bertujuan untuk mendedahkan mahasiswa-mahasiswa NUS baru kepada suasana dan kehidupan di kampus. Lebih kurang 70 peserta telah manfaat daripada perkhemahan ini.
Peserta-peserta perkhemahan telah dibahagikan kepada 10 kumpulan yang diberi nama berdasarkan mitos Greek, iaitu Argos, Athens, Corinth, Delphi, Knossos, Rhodes, Sikyon, Sparta, Thebes dan Troy. Ini memberi peluang bagi peserta-peserta mengenali satu sama lain dan bekerjasama melakukan aktiviti-aktiviti perkhemahan.
Aneka aktiviti yang mencabar dari segi mental dan fizikal telah mengukuhkan lagi semangat bekerjasama peserta-peserta bersama ahli kumpulan mereka dan pemuda-pemudi acara mereka.. Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan ialah telematch di kampus NUS dan permainanan ala-ala ‘Amazing Race’ di Pulau Ubin.
Apa yang lebih menarik tentang perkhemahan ini ialah penekanan yang tinggi pada aspek keislaman. Kebanyakan nilai-nilaiagama telah diselitkan dalam aktiviti-aktiviti perkhemahan dan peserta-peserta perkhemahan juga didedahkan kepada tempat-tempat musollah di serata kampus NUS.
Syed Nazri Bin Syed Shamshudin, mahasiswa tahun pertama dari fakulti Kejuruteraan Mekanikal,yang telah menyertai perkhemahan OlympNUS amat kagum dengan usaha-usaha jawatankuasa dan tenaga-tenaga kerja dalam mengendalikan perkhemahan tersebut. “Aktiviti-aktiviti perkhemahan bukan sahaja menarik dan mencabar, penganjur perkhemahan juga telah berjaya mengimbangkan nilai-nilai duniawi dan uhkrawi.”
Peserta yang telah memenangi anugerah “Peserta Perkhemahan Lelaki Terbaik” juga menambah bahawa perkhemahan ini suatu pembuka mata. “Saya menyedari terdapat ramai lagi mahasiswa-mahasiswa Islam di kampus ini dan ini satu peluang berharga untuk mengenali dan mewujudkan persahabatan bersama mereka.”
Seramai 68 mahasiswa-mahasiswa NUS telah membantu menjayakan perkhemahan ini. Buat Nur Syazana Bte Shahul Hameed, yang telah menyumbangkan tenaga sebagai ahli jawatankuasa, proses persediaan untuk perkhemahan telah mengajarnya tentang erti kegigihan.
“Saya pelajari bahawa ketabahan dan keyakinan penting dalam menjayakan sesebuah perkhemahan walaupun terdapat pelbagai cabaran dan halangan yang harus dihadapi. ” kata mahasiswi tahun kedua dari fakulti Kesusasteraan dan Sains Kemasyarakatan pengkhususan Selatan Asia.
Perkhemahan ini tidak mungkin dapat berjalan dengan lancar tanpa jawatankuasa kuat yang dipimpin Muhammad Nur Hakim Bin Jufri, mahasiswa tahun ketiga dari fakulti Kejuruteraan Mekanikal.
“Pengalaman saya sebagai Pengarah bagi projek OlympNus 2010 tidak dapat saya lupakan. Persediaan perkhemahan OlympNus bermula sejak Januari 2010 dan Alhamdulillah, kem tersebut dapat dijalankan dengan sempurna. Saya amat terhutang budi kepada kawan-kawan saya yang telah memberikan sokongan dan pertolongan sepanjang persediaan kem tersebut.” katanya.
Harapan jejaka yang murah senyuman dan rendah hati ini? “Harapan saya bagi peserta-peserta perkhemahan ini adalah agar mereka mengekalkan hubungan erat antara satu sama lain dan terus bekerja keras sehingga mencapai menara gading.”

Teruskan Membaca