Santai

Bersantai di tepi pantai

0

Saat tibanya cuti umum atau cuti sekolah, ramai dikalangan masyarakat Melayu kita gemar berkelah di tepi pantai bersama keluarga masing-masing atau sahabat-handai. Kegiatan sebegini amat digalakkan kerana peluang ini boleh diambil bagi mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain. Tambahan pula, kegiatan sebegini tidak memerlukan modal yang banyak lantas dapat menjimatkan wang serta mengelakkan diri kita dari berkelakuan boros. Inilah salah satu sebab mengapa sebilangan masyarakat kita lebih gemar pergi ke pantai dari menghabiskan wang di pusat membeli-belah.

Terdapat pelbagai kegiatan yang dapat dilakukan di tepi pantai. Salah satunya adalah berlari-lari anak. Suasana tepi pantai yang aman dan udaranya yang segar dapat meningkatkan lagi semangat seseorang itu untuk bersenam. Selain berlari-lari anak, seseorang itu boleh memilih untuk berbasikal atau bersepatu roda di jalan yang telah dikhaskan bagi kegiatan sedemikian.

Bagi mereka yang gemar bermain dengan air, mereka boleh langsung ke dalam laut untuk bermandi-manda. Malangnya, pemandangan dalam air di persekitaran kawasan tanah besar Singapura tidaklah begitu indah kerana batu karang dan ikan-ikan kecil tidak mudah dijumpai di kawasan ini. Sebut tentang ikan, mereka yang gemar memancing boleh juga menebar joran untuk mencuba nasib mereka.

Sukan lasak seperti futsal juga dapat dilihat di tepi pantai. Sebagai contoh, pantai East Coast ada menyediakan arena khas bagi mereka yang gemar bermain sukan futsal ini. Arena khas bagi mereka yang gemar kepada sukan papan luncur turut disediakan di pantai East Coast. Bagi mereka yang ingin berjimat, mereka boleh memilih untuk duduk di tempat yang disediakan untuk menyaksikan gelagat orang yang sedang bermain papan luncur.

Akhir sekali, jika seseorang itu berasa lapar, kawasan tepi pantai di Singapura secara amnya ada menjual pelbagai jenis makanan bagi pengunjung. Disebabkan kepelbagaian kegiatan yang boleh seseorang itu lakukan, tidak hairanlah jika tepi pantai menjadi pilihan masyarakat Melayu kita.

Disimpan dalam: Santai

Teruskan Membaca

Reviu Wayang Harry Potter and the Deathly Hollows Part 2

0

Anda pasti pernah mendengar ungkapan bahawa, “Penantian itu suatu penyeksaan.” Ternyata, bagi mereka yang mengikuti buku bersiri Harry Potter sememangnya menunggu akan filem yang telahpun diadaptasikan daripada buku terakhirnya, Harry Potter and the Deathly Hollows. Oleh kerana bukunya yang begitu tebal, buku ketujuh yang ditulis oleh JK. Rowling ini dipisahkan kepada dua buah filem dengan Harry Potter and the Deathly Hollows Part 2 mula ditayangkan di pawagam seluruh Singapura mulai 14 Julai 2011.

Harry Potter and the Deathly Hollows Part 2 (HP7) bersambung tepat daripada bahagian pertamanya berakhir. Lantas, bagi mereka yang baru sahaja berjinak-jinak untuk menonton filem bersiri ini perlulah menonton filem-filem sebelumnya agar dapat memahami intipati sebenar filem ini. HP7 menceritakan penerusan misi Harry Potter (lakonan Daniel Radcliffe) bersama rakan-rakan karibnya Ron Weasley (Rupert Grint) dan Hermione Granger (Emma Watson) untuk memburu Horcrux atau sumber kuasa sihir yang dipercayai memberi Lord Voldermort (Ralph Fiennes) kuasa yang diperlukannya untuk membunuh Harry Potter. Justeru, sebelum dirinya dibunuh, Harry perlu memusnahkan keempat-empat Horcruxes agar Voldermort dapat dilemahkan sekaligus menumpaskannya.

Namun, seperti filem-filem Harry Potter yang sebelumnya, beliau perlu meredah perbagai ranjau yang sukar untuk menghabiskan misi yang tersedia untuknya. HP7 tidak lari daripada plot yang serupa. Akan tetapi, liku-liku yang perlu dilalui Harry di dalam filem terakhir ini lebih mencabar kerana perlu berdepan dengan Voldermort sendiri dan pengikut-pengikutnya iaitu Death Eaters. Ini secara tidak langsung melibatkan seluruh kakitangan Hogwarts termasuk guru-gurunya dan kawan Harry selainnya seperti Cho Chang, Neville Longbottom dan Draco Malfoy.

Plot filem ini seperti yang telah dikatakan berdasarkan watak Harry untuk memusnahkan Horcruxes dan Voldermort sebelum dirinya dibunuh oleh Voldermort sendiri. Meskipun plotnya senang difahami, mesej-mesej yang tersirat di dalam filem ini banyak menyentuh perkara seperti kepentingan kekeluargaan, kesetiaan dan nilai persahabatan. Tiga watak utama iaitu Harry, Ron dan Hermione menonjolkan betapa pentingnya nilai persahabatan itu dengan begitu baik sekali melalui lakonan mereka. Ternyata, pelakon-pelakon muda yang membesar dengan filem bersiri Harry Potter ini tidak mengecewakan. Saya berpendapat bahawa mereka sudah bersedia untuk memegang watak-watak matang memandangkan ada babak-babak ‘dewasa’ di dalam filem HP7 ini.

Walau bagaimananpun, saya sedikit terkilan dengan penyelesaian kepada filem ini. Ia berakhir dengan terlalu mengejut dan saya sendiri tidak dapat menjangkakannya. Bagi mereka yang telah membaca bukunya, sudah tentu cerita Harry Potter ini berakhir sepertimana yang ditayangkan pada filem HP7. Setelah babak pertarungan Harry dan Voldermort berakhir, ia terus menjangkau kepada 19 tahun seterusnya dan ia menyingkap kehidupan Harry, Ron dan Hermione yang sudahpun berkahwin, mempunyai anak dan sedang menghantar anak-anak mereka menaiki keretapi ke Hogwarts.

Saya berpendapat bahawa filem ini sungguhpun berlangsung selama 180 minit, peminat-peminat tidak akan merasakan ia terlalu panjang jika pengarah David Yates meneliti babak terakhir HP7 dengan memanjangkannya sedikit lagi. Sekalipun ia berakhir sedemikian, nilai menonton HP7 ini sememangnya amat memuaskan. Mungkin saya sedikit berpihak kepada filem bersiri Harry Potter kerana saya sendiri seorang peminat. Tetapi tanya sahaja sesiapa yang sudah menonton filem ini, saya pasti mereka berpuas hati dengan hidangan terakhir JK. Rowling ini.

Disimpan dalam: Santai

Teruskan Membaca

Dari Andalusia ke Catalonia

0

 Pada cuti penggal yang lepas, saya berkesempatan melawat sebuah negara bersejarah yakni Sepanyol. Dalam rencana ini, saya berhasrat agar dapat mengongsi pengalaman saya di sana supaya dapat dijadikan panduan bagi mereka yang ingin melawat negara Eropah itu.

Saya berlepas ke Barcelona dengan menaiki pesawat SQ68. Pesawat kendalian Singapore Airlines ini hanya belepas dari Kota Singa sebanyak 3 kali seminggu. Setibanya di sana, saya tukar ke penerbangan VY2012 kendalian Vueling untuk meneruskan perjalanan ke Granada, Andalusia. Sementara menantikan pesawat Vueling ini berlepas, saya menunaikan solat di bilik sembahyang yang tersedia di luar kawasan imigresen. Bilik yang dinamakan Oratori ini boleh digunakan oleh pelbagai bangsa dan agama. Mereka yang ingin mengambil wuduk harus ke tandas yang berdekatan. Perjalanan ke Granada dari Kota Singa memakan masa selama 14 jam, tidak termasuk waktu menunggu bagi penukaran penerbangan.

Tujuan utama saya ke Granada adalah untuk melihat sendiri kawasan yang pernah menjadi pusat keilmuan dan kesenian agama Islam. Hotel Milanos yang saya diami berdekatan dengan Alhambra, kawasan Istana dan kubu yang dibina sewaktu dinasti Nasrid. Tempat ini menjadi bukti kepada zaman kegemilangan Islam di Sepanyol pada suatu ketika dahulu. Harga tiket untuk memasuki kawasan ini kurang dari S$25. Jika anda ingin melihat keindahan Alhambra dari sudut pandangan jauh, satu tempat yang harus anda kunjungi adalah Mirador de San Nicolas. Di kawasan ini jugalah anda boleh melihat Masjid Granada. Masjid ini penuh bersejarah kerana ia merupakan masjid yang pertama dibina di Granada setelah berakhirnya zaman kegemilangan Islam di sana lebih kurang 500 tahun yang dahulu.

Setelah menikmati keindahan suasana di Granada selama empat hari, saya berpatah balik ke Barcelona. Bandar ini terletak di kawasan Catalonia. Di sinilah saya sempat membeli belah di butik berjenama Sepanyol. Mereka yang ingin membeli pakaian berjenama Sepanyol boleh mengunjungi Avinguda del Portal del l’Angel. Nama-nama seperti Zara, Desigual, Massimo Dutti dan Mango boleh didapati di kawasan itu. Memandangkan jenama-jenama ini adalah keluaran tempatan, harga barangannya amat berpatutan. Selain dari membeli-belah, pelancong dapat menikmati keindahan suasana dengan menaiki kereta kabel dari Telefèric de Montjuïc. Bagi peminat bola sepak pula, jangan lepaskan peluang mengunjungi stadium Camp Nou milik kumpulan Barcelona. Dengan menaiki keretapi, pelancong boleh sampai ke stadium tersebut dalam masa setengah jam dari pusat bandar.

 

Secara keseluruhan, Sepanyol adalah sebuah negara yang sesuai bagi mereka yang gemar melancong demi menikmati pemandangan yang indah dan juga membeli-belah.

Disimpan dalam: Santai

Teruskan Membaca

Taman Warisan Muslim India Nagore Dargah

0

 Nagore Dargah merupakan sebuah keramat yang dibina pada tahun 1827 oleh masyarakat India Muslim dengan tujuan untuk memperingati seorang wali yang bernama Shahul Hamid dari Nagore, India. Reka bentuk keramat ini juga sama seperti Keramat Nagore Dargah di India. 

Keramat Nagore Dargah ini telah diiktirafkan sebagai sebuah monumen nasional pada tahun 1974. Bangunan ini telah dibaik pulih dan kini dijadikan Taman Warisan Muslim India Nagore Dargah pada tahun 2011. Tujuan taman warisan ini adalah untuk memperkenalkan dan mendidik orang awam mengenai sejarah masyarakat India Muslim di Singapura. Pada masa yang sama, tujuan taman warisan ini juga mengiktirafkan masyarakat India Muslim sebagai sebahagian daripada warisan Negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk sejarah Singapura. Tapak tanah keramat ini merupakan tanah waqaf dan perbelanjaan ubah elok keramat telah dibiayai oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). 

 

Taman warisan ini yang terletak di Telok Ayer Street amat kecil dan mempunyai satu tingkat sahaja. Pameran-pameran yang disediakan menceritakan sejarah sosial serta adat dan budaya masyarakat India Muslim yang berhijrah dari India Selatan. Pameran-pameran ini ditulis dalam bahasa Tamil dan Inggeris. Bahasa Tamil digunakan kerana ia merupakan bahasa rasmi untuk masyarakat India di Singapura. Selain daripada pameran, pengunjung boleh menjamu selera di restoran BANQUET yang khususnya menyajikan makanan  tradisional kaum India. Keunikan kedai makan ini ialah meja-meja makanan yang dihiasi dengan butir-butiran mengenai sejarah makanan tradisional kaum India di Singapura. 

Antara khazanah-khazanah yang dipamerkan adalah peti baju untuk menyimpan barang keperluan ketika berlayar

Keramat Nagore Dargah ini merupakan simbol kemegahan masyarakat India Muslim. Ini adalah kerana bangunan ini telah dibina oleh masyarakat India Muslim pada zaman awal penjajahan British di Singapura. Ia merupakan bangunan yang bersejarah yang merakamkan pahit manis masyarakat India Muslim diaspora di Singapura. Jika dibiarkan bangunan ini kosong dan usang, elok juga bangunan ini diberikan nafas baru dengan membina sebuah pusat atau taman warisan untuk orang India Muslim. Ada bagusnya taman warisan ini dikhaskan untuk mempamerkan sejarah dan budaya orang India Muslim walaupun pemerintah telah setuju untuk membina taman warisan India pada tahun 2013. Sekurang-kurangnya, masyarakat India Muslim di Singapura boleh mempamerkan lebih banyak mengenai sejarah masyarakat India Muslim di Singapura. 

Pameran-pameran di dalam keramat Nagore Dargah ini relevan bagi sesiapa yang mengikuti kursus Pengajian Asia Selatan, Pengajian Asia Tenggara dan mungkin juga sesiapa yang mengikuti kursus pengajian Melayu.  Ini kerana Taman Warisan Muslim India Nagore Dargah ini menunjukkan bagaimana sebuah kaum minoriti ini terus hidup dan mempertahankan warisan mereka dan pada masa yang sama dapat berintegrasi dengan kaum lain. Selain itu, taman warisan ini juga cuba memperbetulkan stereotaip pandangan umum mengenai masyarakat India Muslim di Singapura.  Contohnya, tidak semua orang India boleh bertutur dalam bahasa Tamil dan tidak semua orang India telah mengikut adat dan budaya Melayu. Walau bagaimanapun, apa yang tidak ditonjolkan di dalam pameran-pameran ini ialah hubungan orang Melayu, Arab dan India dalam menghidupkan perkembangan Islam di Singapura. Salah satu isu atau informasi yang tidak ditonjolkan dalam pameran ini ialah pemimpin-pemimpin politik semasa perang dunia kedua dan kesan perpisahan Pakistan daripada India terhadap masyarakat India Muslim di Singapura. Namun begitu, pameran-pamerannya cukup menarik untuk kunjungan orang ramai dan cukup sesuai untuk penggemar sejarah warisan Singapura. 

Yuran untuk memasuki Taman Warisan Muslim India Nagore Dargah ini adalah percuma.  Stesen MRT terdekat adalah stesen Tanjong Pagar dan Raffles. Stesen bas terdekat adalah di Robinson Road. Bas yangmenuju ke Robinson Road adalah bas nombor 10,197 dan 196. 

  

 

Disimpan dalam: Santai

Teruskan Membaca

Pengorbanan Demi Minat: _____ Atau Bodoh?

0

Bagi kebanyakan warga Singapura yang mengunjungi Hong Kong, aktiviti riadah dan membeli-belah disamping menikmati cuaca sejuk merupakan tumpuan utama. Namun bagi penulis, kunjungannya ke pusat kewangan dunia pada Julai tahun lalu merupakan satu misi tersendiri yang harus disempurnakan sebelum terlewat. Urusannya begitu penting sehinggakan beliau sanggup menghentikan kerja sambilannya lebih awal dari yang dijadualkan semata-mata untuk memberi masa kepada hal serba mustahak ini.

Sejurus selepas menjejakkan kaki di tanah Hong Kong, penulis bergegas menaiki keretapi ke daerah bandar Mong Kok di mana letaknya pusat membeli-belah Pacific. Tanpa berlengah, beliau menuju ke arah sebuah kedai khas yang menjual model replika pelbagai jenis kenderaan. Beliau berasa lega apabila melihat barang yang hendak dibelinya masih dipamerkan di dalam kedai tersebut. Barangan itu merupakan tidak lain dan tidak bukan sebuah model replika bas yang diminatinya.

Gila? Hilang akal? Bodoh? Penulis sudah masak berhadapan dengan soalan-soalan berbentuk sedemikian yang dilontarkan rakan-rakan dan anggota keluarganya setelah mereka mendapat tahu tujuan utamanya ke Hong Kong itu. Tetapi tidak pernah seminit pun beliau ragu atau kesal mengorbankan begitu banyak masa dan wang hanya untuk membeli model replika bas tersebut untuk ditambahkan ke dalam koleksinya di rumah.

Minat penulis dalam mengumpul model replika bas bermula apabila pakciknya menghadiahkannya sebuah bas mainan setelah mendapat tahu beliau mempunyai minat pada bas, sebagai mana sesetengah orang yang lain mempunyai kecenderungan pada kenderaan lain seperti kereta dan motosikal. Dari situ, penulis mula membeli mainan-mainan bas yang lain sehinggalah beliau mendapat tahu bahawa beberapa syarikat tertentu mengeluarkan model replika bas yang menghiasi jalan raya seluruh dunia. Dari situ, fokusnya bertukar kepada mengumpul model replika bas-bas yang diminatinya. Berkat usahanya sepanjang beberapa tahun yang lalu, koleksi model replika basnya kini telah mencecah lebih 25 unit bas yang dipamerkan di almari kaca biliknya di rumah.

Tidak seperti bas mainan, setiap model replika bas bukanlah senang didapati di pasaran. Sebagai purata, hanya seribu unit model terperinci dihasilkan bagi setiap bas yang telah dipilih untuk dijadikan model replika. Dalam seribu unit ini, kurang dari separuh akan dijual di pasaran Asia. Oleh kerana permintaan bagi model-model bas tersebut seringkali melebihi bekalan, harga jualan setiap model replika agak mahal, dalam lingkungan S$70 sebiji. Bagi sesetengah model yang begitu popular, penjual akan sengaja menaikkan harga, manakala ada yang tidak akan dihantarkan melalui pos luar negeri dan hanya boleh dibeli secara langsung dengan pemilik kedai, seperti apa yang dialami penulis.

Termasuk kos perbelanjaan bagi pengiriman melalui pos, penulis menganggarkan beliau telah membelanjakan lebih dari S$3000 sepanjang empat tahun beliau mendapatkan pelbagai jenis model replika bas dari berbagai negara untuk menghiasi pamerannya. Sejak kebelakangan ini, beliau juga telah mula mengumpul model replika pesawat komersial Airbus dan Boeing yang dipadankan corak AirAsia, Singapore Airlines dan sebagainya ekoran minatnya bagi pesawat-pesawat tersebut. Oleh kerana almari kacanya agak kecil, tidak semua model replikanya dapat dipamerkan. Penulis juga menghabiskan masa setiap minggu membersihkan habuk dari model-model replikanya. Bagi sesetengah orang, pengorbanan wang dan masa ini sungguhlah tidak berbaloi kerana tiada sesiapa yang dapat menikmati koleksinya.

Jawapan penulis kepada para pengkritik: “Walaupun mahal, setiap model replika bas yang saya beli mempunyai makna yang tersendiri bagi diri saya. Sebagai contoh, ada merupakan bas-bas yang saya menaiki di United Kingdom yang tidak terdapat di Asia. Ada pula yang dibeli semata-mata corak pada badan bas tersebut begitu unik dan lawa. Memang dari segi pelaburan kewangan, mendirikan koleksi replika ini tidak berbaloi tetapi saya dapat merasakan kepuasan apabila rakan-rakan dan anggota keluarga datang mengunjung dan terpukau dengan koleksi model replika saya. Itulah yang merangsang saya minggu demi minggu menghabiskan masa membersihkan dan mengaturkan model-model tersebut. Bagi saya, ini merupakan pengorbanan yang agak kecil demi minat dalam bidang ini. Dan sekiranya saya sudah bosan mengumpul model-model replika tersebut, saya boleh menjualkan kesemuanya pada nilai yang lebih tinggi dan meraih untung yang setimpal. Siapa tidak mahu kan?”

Model replika yang paling unik dalam koleksi penulis adalah model gerabak keretapi SBS Transit laluan Timur Laut dalam ukuran 1:76, satu-satunya model replika keretapi Singapura yang dijual di pasaran pada harga sekurang-kurangnya S$150.

Disimpan dalam: Santai

Teruskan Membaca

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa