Sastera Siswa

Dwibahasa dan Pengajian Melayu

0

Pada tanggal 28 November 2011, mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew telah melancarkan buku terkininya yang berjudul My Lifelong Challenge: Singapore’s Bilingual Journey (Cabaran Sepanjang hayat Saya: Perjalanan Dwibahasa Singapura).  Menurut beliau dasar-dasar dwibahasa ini merupakan salah satu tunggak asas kemajuan Singapura. Mengapa Encik Lee menekankan rakyatnya untuk menguasai dwibahasa? Adakah penekanan ini merupakan satu inisiatif baru?

Orientalisme dalam pengajian Melayu

Sebenarnya, penekanan untuk menguasai dua bahasa ini telah lama diketengahkan oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi seawal abad kesembilanbelas. Kesedarannya mengenai pentingnya orang Melayu menguasai dua bahasa tercetus apabila dia mula terkesan dengan kegigihan dan ketaksuban orang Inggeris mahu mempelajari bahasa Melayu.  Pegawai daripada Syarikat Hindia Timur (EIC) yang merantau di kepulauan Melayu ini mempunyai muslihat tersendiri. Mereka datang ke kepulauan Melayu ini bukan sekadar untuk berniaga. Mereka datang ke sini dengan corak pemikiran bahawa budaya dan tamadun barat lebih mulia daripada tamadun yang sudah dikecapi oleh bangsa timur. Penjajahan minda ini telah dilakukan dengan cara mengawal ilmu. Penjajahan minda ini dilakukan oleh orang Inggeris dengan satu cara yang mudah. Mereka mempelajari bahasa Melayu. Dengan mempelajari bahasa Melayu, mereka dapat mengkaji mengenai budaya dan sastera Melayu.  Oleh kerana masyarakat Melayu pada masa itu tidak tahu membaca dan menulis,  banyak ilmu yang terkandung dalam hikayat-hikayat Melayu lama telah diperolehi oleh penjajah Inggeris terlebih dahulu. Kemudian, ilmu yang diperolehi oleh penjajah Inggeris ini telah dikembalikan kepada orang Melayu dengan mengikut citarasa orang Inggeris.

Salah satu contoh bagaimana penjajah Inggeris mengembalikan ilmu kepada orang Melayu ialah penglibatan mereka dalam mengalih bahasakan hikayat Sulalatus Salatin.  Sulalatus Salatin membawa maksud salasilah sultan-sultan atau peraturan segara raja-raja. Leyden dan Raffles adalah merupakan segelintir pengkaji Timur yang berawal untuk mengalih bahasa Sulalatus Salatin kepada bahasa Inggeris. Mereka menamakan Sulalatus Salatin sebagai Sejarah Melayu (Malay Annals).  Kemudian Hikayat Sejarah Melayu ini telah dijadikan sebuah buku garis pandu kepada setiap pegawai Inggeris yang dihantar ke tanah Melayu yang berkhidmat untuk memahami budaya dan nilai hidup orang Melayu. Sebenarnya Raffles bukanlah sebijak yang disangkakan oleh rakyat Singapura yang kononnya dialah satu-satunya manusia yang sedar mengenai lokasi strategik Singapura. Raffles pada awal lagi sudah mengetahui lokasi strategik Singapura setelah membaca Sulalatus Salatin.  Beliau tahu Singapura pada satu ketika dahulu pernah menjadi sebuah perlabuhan termahsyur. Tidak mustahil Singapura akan menjadi sebuah perlabuhan yang termahsyur sekali lagi pada kurun kesembilanbelas.

Salah satu daripada cenderiakawan terkenal dalam pengajian Melayu ialah R. O. Windstedt. Beliau telah banyak menulis buku sejarah mengenai dunia Melau. Di antara buku-buku yang pernah dihasilkan oleh beliau ialah A History of Johore: 1365-1941, A History of Perak, Hikayat Bayan Budiman dan Hikayat Malim Dewa. Walaupun R. O. Windstedt telah banyak menghasilkan buku-buku sejarah dan merumikan hikayat-hikayat lama, beliau mempunyai tanggap yang negatif terhadap sastera Melayu. Pada pendapat beliau, kesusasteraan Melayu tidak asli dan bercampur aduk dengan pengaruh Hindu dan Islam. Malah, kesusasteraan Melayu telah dianggapnya sebagai tidak objektif dan penuh dengan khayalan mitos dan cerita dongeng.

Pendapat R.O. Windsted ini bukanlah perkara asing. Pendapat beliau selari dengan pengkaji timur yang lain seperti Raffles, Crawfurd, Wilkinson, Swettenham dan Maxwell yang mempunyai pemikiran bercorak Orientalism. Orientalism merupakan satu konsep sosiologi yang dicipta oleh cenderikiawan Kristian Palestin, Edward Said. Berdasarkan konsep yang dicipta oleh beliau, Orientalism ini merupakan sebuah corak pemikiran sesebuah pengkaji yang mencipta dikotomi Barat-Timur.  Pada masa yang sama hasil kajian mereka seringkali memperlekekkan budaya Timur dengan berpendapat bahawa budaya barat itu lebih mulia.

Perkembangan Dasar-dasar bahasa di negeri-negeri Melayu pada kurun kesembilanbelas

Abdullah Munsyi mempunyai cita-cita tinggi untuk masyarakatnya. Seawal kurun kesembilanbelas, beliau sudah lihat betapa pentingnya menguasai dwibahasa. Di dalam autobiografi Abdullah Munsyi, beliau pernah bekerjasama dengan Tuan Milne dalam menghasilkan beberapa buku kira-kira yang dialih bahasakan dalam bahasa Melayu.  Namun begitu, cita-cita tinggi beliau itu sukar dicapai kerana pada masa itu ramai di antara masyarakat Melayu buta huruf. Orang Melayu yang celik huruf hanya tersekat kepada golongan bangsawan. Berdasarkan maklumat-maklumat yang terkandung di dalam Hikayat Abdullah Munsyi, orang Melayu tidak berminat untuk belajar membaca dan menulis bahasa Melayu. Mereka hanya berminat untuk mengaji muqaddam walaupun mereka tidak faham bahasa yang mereka baca.  Usaha untuk menggalakkan orang Melayu belajar tulis dan baca bermula dengan baiknya apabila Maharaja Abu Bakar mula membuka negeri di Tanjung Puteri. Ibrahim Munsyi, anak kepada Abdullah Munsyi telah dilantik menjadi Menteri Bentara Dalam. Beliau ditugaskan untuk membina sistem persekolahan di Johor. Walaupun Johor mempunyai banyak sekolahMelayu daripada sekolah Inggeris, perkembangan ini sejajar dengan keadaan di Johor. Pada ketika itu, bahasa penghantaran di Johor merupakan bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, Ibrahim Munsyi serta pembesar-pembesar yang lain juga turut terlibat dalam pengalihan bahasa buku Inggeris ke Melayu.

Dalam usaha kerajaan Negeri Johor untuk mendidik anak bangsanya bahasa Melayu, sistem pendidikan di negeri-negeri melayu yang lain juga sudah bermula. Namun negitu, visi pendidikan di Persekutuan Negeri-negeri Melayu (Federated Malay States) amat berbeza dengan kerajaan negeri Johor. Frank Swettenham, Governor-General Persekutan Negeri-negeri Melayu, mengaku bahawa memang tujuan penjajahan Inggeris untuk menafikan orang Melayu untuk belajar bahasa Inggeris. Pada pendapatnya, jika orang Melayu sudah tahu berbahasa Inggeris, mereka akan menjadi cerdik pandai dan berani menentang penjajah Inggeris. Oleh itu, orang Melayu hanya dibenarkan untuk belajar bahasa Melayu dan penguasaan dwibahasa ketika di bawah penjajahan Inggeris amat tidak digalakkan. Penguasaan dwibahasa hanya diberikan kepada segelintir anak Melayu yang berketurunan raja dengan tujuan untuk dijadikan pegawai muda di dalam Malayan Civil Service.

Pengajian Melayu dan dwibahasa

Pengajian Melayu pada hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran.  Salah satu cabaran yang dihadapi oleh Pengajian Melayu ialah bahasa. Banyak sumber-sumber sejarah mengenai perkembangan politik dan sosial orang Melayu berada dalam bahasa bekas bahasa penjajah seperti bahasa Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris. Banyak faedahnya jika penuntut pengajian Melayu tidak kira di universiti Malaysia, Singapura atau Indonesia tahu lebih daripada dua bahasa selain daripada bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Kepincangan yang ada dalam sistem pendidikan Singapura ialah para penuntut sukar diberi peluang untuk mempelajari bahasa ketiga.  Dengan berbekalkan bahasa Inggeris di pengajian Melayu, pengkaji tersekat untuk membaca sumber-sumber Inggeris apabila membuat kajian. Jika mahu meneliti sumber daripada Belanda, mungkin dia terpaksa bergantung besar kepada pengalih bahasa yang profesional.  Walaupun ada sumber-sumber sejarah yang direkod dalam bahasa Melayu, ia masih berbentuk dalam tulisan jawi. Salah satu contoh kajian yang melibatkan bahasa Belanda dan jawi ialah kajian mengenai Surat-surat Raja Ali haji kepada Von de Wall. Penyalinan surat-surat ini yang berada dalam tulisan jawi dan bahasa Belanda kepada bahasa Melayu rumi telah dihasilkan oleh Profesor Madya Jan van der Putten dan Dr Azhar dari pengajian melayu di NUS.  Contoh kajian seterusnya yang melibatkan bahasa belanda dan Melayu jawi ialah kajian mengenai Sultanah Aceh.  Dalam membuatkan kajian mengenai perbahasan dalam perlantikan seorang wanita untuk mewarisi takhta kerajaan Aceh, Dr Sher Banu, juga daripada Pengajian Melayu NUS, telah mempelajari bahasa Belanda agar beliau dapat membaca sumber-sumber  prima (primary source) kolonial belanda.

Kesimpulannya

Penguasaan dwibahasa sememangnya boleh mendatang faedah kepada kita.  Dengan mengetahui banyak bahasa, seseorang itu boleh menimbah ilmu daripada budaya dan kepercayaan masyarakat lain.

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Nasib Aku

1

Bumi…
Kau saksikanlah nasibku ini
Suatu penderitaan yang tidak terperi lagi
Ingin sahaja aku sirna tidak terlihat lagi
Bukan kerana bendera putih yang dipanji,
Tapi asyik tiada benarnya aku ini
Ada sahaja keburukkan yang menjadi pelengkap peribadi

Bukan aku malu menghadapi puak yang mendabik diri
Megah, kononnya bertaraf lebih tinggi
Ya, memang lebih hebat dari aku ini
Lebih hebat meragut hak peribadi setiap insani yang dipandang iri

Aku dulu dijajah, dirampas nilai diri
Penjajahan yang berdasarkan alasan rekaan mereka sendiri
Aku diperlakukan sesuka hati
Dihina, dicaci, dikeji, barangkali juga dimusuhi
Setelah mereka puas merampas apa sahaja yang memberahikan diri
Mereka pergi, kononnya aku merdeka kini

Tiada apa yang mereka bekalkan aku setelah disuruh berdikari
Hari ini, apabila aku tidak sehebat mereka yang berdiri di atas satu bumi
Aku dihina lagi, kononnya malas, cepat puas diri!
Aku mangsa yang dipersalahkan tanpa henti
Sedangkan bumi kalau asyik dipijak juga perlukan masa untuk subur kembali
Apa lagi aku manusia yang hanya berbekalkan kecekalan hati

Mereka memang hebat, bukan sahaja  sebagai pencuri
Malah juga sebagai ahli sihir yang bisa membuat orang lupa akan kebuasan mereka yang pernah dijadikan amali
Bahkan aku yang menjadi mangsa mereka yang menerima caci dan maki

Sayu, hati yang ditusuk sembilu bagaikan sudah kelu
Aku redha, terima segala kudratku
Aku pasti akan bangkit semula, tangkas bangun pantang diseru
Akanku cantas setiap yang bergelar seteru
Inilah janjiku, seseorang yang bernama Melayu

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Sentakan Yang Perlu

0

Pabila madah berbaur kesedihan,
Ditolak ketepi dan tidak diendahkan,
Bukan untuk punahkan harapan,
Tapi hanya memaparkan kenyataan,
Dan jika ia dianggap sebagai tamparan,
Adakah ini mampu kutelan?

Lantas kususuri jalanan berliku ini,
Tanpa teman bersendiri,
Segala tomahan cemuhan ini,
Ku ambil menjadi pedoman diri,
Tatkala ku tidak dapat menahan lagi,
Mungkin juga titisan membasahi pipi

Patutkah aku menunduk malu,
Terus mengaku kalah, terbujur kaku?
Atau wajarkah ku terus menuju,
Dengan usaha serta bersemangat jitu,
Ku mohon agar ku tidak jemu,
Kerna Dia mengingatkan apa sebenarnya tujuanku

Adakah semua ini meninggalkan sebarang kesan,
Ataupun alasan untuk kita tidak melawan,
Seruanku agar kita semua bersuara dan berdiri,
Bukan hanya membisu dan terus menyepi,
Dan jika engkau enggan memperbetulkan sesuatu,
Jangan pula bosan dengan pertanyaan “Mengapa Orang Melayu

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Dalam Diri Ada Iri

0

Pantang melihat orang maju kita kalah
Hati mula iri, mata mula sakit
Api benci mula menyemarak
Perasaan mual mula menjolok tekak
Lalu mulut kita terus riuh mencaci dan mengeji
Kelemahan dan kesilapan orang seronok kita cari
Mengharap-harap bala bencana akan menimpa bertubi-tubi
Menunggu, menanti kejatuhan orang yang dibenci

Kerana diri kita hanya akan puas
Apabila melihat orang kalah kita maju

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Ramadhan

0

Ramadhan…

Hari ini kau kembali lagi

Syukur, kita masih diberi peluang untuk bersua kembali

Tapi pastinya kau sedih melihatku begini

Keadaanku yang dimamah dosaku sendiri

Tetapi Ramadhan…

Kau tak pernah membiarkan aku keseorangan

Tidak kira segunung dosaku yang mencengkam

Kau datang ingin menghampiri setiap insan

Memberi kami harapan demi harapan

Sedikit demi sedikit menurut detik dan waktu

Menyinarkan dosa-dosa lalu

Pudar palit hitam di jiwa yang rawan

Wahai Ramadhan…

Bukankah dalammu terkandung satu malam

Malam yang lebih baik daripada seribu bulan

Aku bermohon kepada Pemilikmu ya Ramadhan

Hidupkanlah aku dalam keinsafan di kala Lailatul-Qadar menjelang

Aku ingin sucikan diriku ini daripada noda yang silam

Ya Ramadhan…

Di saat ini umat Islam semakin teruja menyambut Aidilfitri

Rumah dinyalakan lampu berwarna-warni

Baju baru menjadi penghias diri

Pasti kau sedih bukan Ramadhan?

Semakin besar ganjaran yang kau janjikan, semakin ramai yang melupakan

Duhai Ramadhan…

Dalam menghitung detik tibanya Syawal

Kau telah melahirkan insan-insan kembali ke saat awal

Saat mereka dilahirkan, suci tanpa seberkas palit hitam

Aku harap aku juga tergolong dalam golongan yang bertuah

Bertuah kerana didakap erat olehmu ya Ramadhan

Oh Ramadhan…

Sayu kedengaran takbir yang sudah bergema

Selamat tinggal ya Ramadhan

Andai nyawa masih dikandung badan

Andai masih dibenarkan Tuhan

Kita akan bertemu lagi … Ya Ramadhan

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa