Sastera Siswa

Tesis Untuk Efa

0

 

                Pada malam itu, aku seorang diri di rumah. Ibu bapa dan adik-beradikku tiada di rumah. Mereka ke Seremban untuk menghadiri majilis perkahwinan sepupuku. Aku memberitahu mereka bahawa aku tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan itu. Aku harus menyiapkan tesis yang mesti disiapkan pada hujung bulan ini.  Aku sedang menulis tesis mengenai hak wanita dalam Islam.  Kajian aku mengenai hak wanita ini telah membuat aku menghayati  surah An-Nisa dengan lebih mendalam. Tanpa aku sedari, hari demi hari aku mula terkesan dengan Surah An-Nisa.  Aku mula sedar bahawa menjadi seorang lelaki bukanlah mudah seperti mana yang aku fikirkan.  Tiba-tiba, lagu “11 Januari” dari kumpulan Gigi, berkumandang dari corong radio:

“Akulah Penjagamu
Akulah Pelindungmu
Akulah Pendampingmu
Di setiap langkah-langkahmu”

                Aku mendengar dengan teliti lirik lagu ini dan cuba menghayati apakah maksud yang tersirat dalam lagu ini. Aku tergerak untuk menulis surat kepada seorang gadis yang telah menjadi idaman hidupku. Walaupun aku tahu ini bukanlah masa yang terbaik untukku menulis surat cinta ditengah-tengah kesibukanku untuk menulis tesis, aku tetap akan mencari masa untuk menuis surat ini agar aku dapat meluahkan apa yang sudah lama terpendam:            

Adinda Efa

 

                Pertama kali aku bertemu denganmu di majlis iftar di kampus, tidak pernah aku merasai perasaan hatiku muncul sebagai seorang abang. Dan perasaan di hati ini hanya timbul apabila berdepan dengan mu dan tidak kepada perempuan lain.  Aku tidak tahu kenapa perasaan ini ada pada diriku sejak aku bertemu denganmu. Tetapi apa yang aku tahu pada ketika itu,  aku mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan tarian di sekolah dan kamu merupakan pemimpin kumpulan tarian itu. Dan kerana itulah aku bertemu dengan mu (Rusydy 2010: 14). Pada mulanya, aku menganggap perasaan ini hanya satu permainan hati. Kerana aku tahu, memang secara semulajadi seseorang lelaki itu akan mencapai puncaknya ketika pertama kali melihat seorang gadis yang anggun yang memakai baju kurung warna hijau (Rusydy 2010: 15). Lama-kelamaan aku mula percaya perasaan ini bukan sekadar permainan hati.

Efa, namamu akan tetap tersemat di dalam hati. Kerana kau terlalu istemewa untukku. Engkau adalah inspirasiku untuk menjadi seorang lelaki yang sejati. Sejak aku bertemu dengan mu, aku mula kenal apa erti lembut dan manja. Dan hari demi hari aku membiarkan diriku yang keras ini melawan arus manja mu. Sehingga ke hari ini aku terkesan dengan lembut manja mu.  Akhirnya, keras baran ku rebah oleh buaian manjamu yang semanis madu (Rusydi 2010: 12).  Aku menjadi seorang yang lembut.

Efa, aku manyahut cabaran arwah ibuku. Arwah ibuku pernah berpesan kepada aku. Untuk menambat hati wanita bukan dengan cara membeli coklat kit kat kegemaranmu, bukan dengan cara menumpang motosikal untuk pulang dari sekolah. Tetapi menambat hati wanita dari hati seorang lelaki yang tulus memberi semangat dan dorongan agar wanita yang dia sayangi itu dapat mencapai impian yang dia mahukan (Hariani 2010: 23).  Aku tahu engkau mahu menjadi seorang peguam.  Dan pada suatu ketika itu, kau mahu memiliki sebuah majalah KITA edisi khas mengenai karyawan wanita dalam kerjaya guaman. Kau pernah berkata kepada ku yang kau tidak dapat memilikinya (Efa 2010: 15). Aku tahu edisi khas itu sungguh bermakna untuk mu kerana ia akan memberi inspirasi kepada mu untuk terus berusaha gigih untuk mencapai impian mu.. Kerana itulah, aku sanggup ikat perut dan menyimpan wang saku hasil daripada tuisyen sedikit demi sedikit. Dengan wang simpanan itu, aku membeli majalah itu hanya untukmu (Rusydy 2010: 24). Dan aku dapat melihat perasaan keriangan memancar dari wajahmu apabila aku memberikan majalah itu kepadamu.

Namun, harapanku berkecai apabila aku dapat tahu bahawa ada lelaki lain yang mendampingmu selama ini. Aku masih ingat lagi apabila aku mendapat berita bahawa bapamu telah kembali ke Rahmatullah pada tahun lalu (Efa 2010: 27). Pada ketika itu, aku tahu yang kau benar-benar memerlukan sokongan daripada seorang lelaki terutama sekali apabila kejadian ini berlaku pada minggu peperiksaan. Namun, lelaki itu bukan aku. Pada saat itu, aku melihat ada seorang lelaki lain yang mendampingimu. Dan lelaki itu adalah rakan sekolah lama yang sudah lama terputus hubungan denganmu yang kau sudah kenali sejak di sekolah rendah lagi (Hazwan 2008: 64) . Sejak hari itu, hubungan kau dan lelaki itu semakin rapat. Hampir setiap hari aku melihat lelaki itu mengambilmu pulang dengan kereta Jaguar model XK (Efa 2009: 48). Aku mula sedar harapanku untuk menambat hatimu  mula pudar.

Efa, walaupun aku sedar bahawa aku hanya mempunyai satu peratus harapan untuk memenangi hatimu, aku tetap percaya bahawa menawani hati wanita bukanlah satu perlumbaan. Ia adalah keyakinan daripada hati seorang wanita terhadap seorang lelaki. Selagi jantung masih berdenyut lagi, aku akan terus manfaatkan satu peratus yang ada pada diriku ini untuk meyakinkan hatimu bahawa apa yang aku lakukan selama ini adalah ikhlas daripada hati seorang lelaki (Rusydy 2010: 44). Jika aku ditakdirkan tewas dalam pertandingan ini, aku redha dan aku tetap akan berusaha untuk memperbaiki diriku sehingga aku diketemukan teman hidup yang telah ditakdirkan bersama. Aku akan tetap berpegang teguh kepada maksud Surah An-Nisa, ayat keempat, lelaki adalah pelindung kepada kaum wanita.  Mungkin pendirian mengenai lelaki sebagai pelindung kepada wanita memperkuatkan lagi sistem patriakal. Namun begitu, elok jika lelaki dikenali sebagai pelindung dan bukan dikenali sebagai penjajah. Ini adalah kerana lelaki sebagai pelindung akan mempunyai sifat belas kasihan terhadap orang jagaanya dan dia akan melakukan apa yang terbaik agar kesejahteraan hidup dapat dicapai untuk orang yang dia sayangi (Rusydy 2011: 16).

 Efa, terlalu awal untukku melamarmu pada saat pertama kali aku bertemu denganmu. Sungguh tidak matang untuk aku melamar seorang perawan yang tidak pernah kukenali pada ketika itu. Aku cuba mengenalimu dengan lebih dekat lagi dengan menghadiri kuliah-kuliah yang kau hadiri di kampus Bukit Timah. Aku tetap aktif dalam tarian walaupun aku tahu tahap komitmen dalam tarian Melayu amat tinggi untuk mahasiswa tahun keempat.  Aku buat perkara ini semata-mata kerana aku mahu menjadi contoh baik kepadamu bahawa untuk menjadi seorang mahasiswa teladan, dia harus dapat mengimbangi masa dalam pelajaran, ibadah, keluarga dan kegiatan kokurikulum. (Rusydy 2010: 67). Aku melihat susah payahmu dan ceria riangmu ketika sedang berada dalam latihan. Dan apa yang aku lihat selama ini,  kau memang ikhlas dalam setiap perbuatan dan tindakanmu. Kau seorang gadis yang berhati mulia dan mula terpegun dengan kepemimpinanmu dalam kumpulan tarian ini. Walaupun hanya setahun aku mengenalimu, aku pasti dan akan yakin bahawa kaulah gadis yang aku cari selama ini. Kau telah meredupkan suhu hatiku yang panas dengan buai manjamu. Dan aku berharap aku belum terlambat untuk mengatakan kepadamu bahawa aku benar-benar cintakan padamu.

 

Yang pasrah

Rusydy

Bibilografi:

  1. Efa Farisha Nasiruddin,  Andai aku dewasa: Cita-cita menjadi seorang peguam, (Jakarta: Gramedia, 2009)
  2. Hariyani Affandi, Nasihat Orang Tua, (Kuala Lumpur: Pelanduk, 2004)
  3. Hazwan Hanafie, Motivasi untuk berjaya: Tip rahsia daripada seorang Jurutera, (Singapura: Pustaka Nasional, 2007)
  4. Rusydy Ahmad,  Rintihan hati ini: Hikayat seorang Mahasiswa NUS, (Singapura: Times News, 2010)
  5. Rusydy Ahmad, Kesan Surah An-Nisa, ayat 4, terhadap kaum lelaki, 2011. Rampaian Academik. Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Seni dan Sains Kemasyarakatan. Universiti Nasional Singapura (Tesis dalam proses untuk diluluskan)

 

Setelah aku selesaikan surat ini, aku melihat jam di dinding. Jam di dinding menunjukkan sudah pukul satu pagi. Aku mula rasa mengantuk.  Aku lelapkan mataku seketika untuk menantikan subuh.

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Pulanglah Perantau

0

Pulanglah perantau

Engkau menghilang sekian lama

Setelah fitnah kudengar, aku membuta

Engkau kutitah dicabut nyawa.

Tapi kini maklumat diberi

Engkau hidup seorang diri, di hujung negeri

Menanti hari untuk kembali

Pulanglah perantau

Pulanglah untuk hapuskan bencana,

Bencana berdendam kerana kau tiada

Bencana yang engkau menggelar adinda.

Padanya kuberi si TamingSari,

Padanya kuberi yang engkau miliki

Dan kini, aku dikhianati.

Pulanglah, pulanglah perantau

Pulanglah engkau ke tanah Melayu,

Pulanglah engkau ke tanah lahirmu,

Pulanglah engkau menjunjung titahku.

Pulang melawan pendekar derhaka,

Demi bahasa, agama dan Beta.

Pulanglah Laksamana,

Pulanglah Hang Tuah

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Sandaran dalam Kekalutan

0

Seandainya…..
Ku petik semangat dari yang Esa,
Hanya kerana Dia sahaja yang berkuasa,
Tika ku renung halangan yang menimpa,
Perasaan pilu terkandas hampa,
Ada juga mereka yang menanya,
Apakah ini dugaan daripadaNya?

Seandainya….
Engkau tiba mendampingi diriku,
Menemani perjalananku yang onak berliku,
Tatkala fajar menyingsing suara bergema,
Masa itulah kita kan bersama,
Menjejaki setiap langkah  dan gerak-geriku,
Semestikan ku mencium dunia tersipu malu

Seandainya…..
Ini bukan seperti yang biasa,
Dan ku harus bertarung jiwa dan masa,
WasilahNya dijadikan petunjuk dan pegangan,
Adakah ini satu-satunya harapan?
Dan jika curhat ini tidak didengari,
Apa dia sandaranku di dalam kekalutan ini?

Seandainya…..
Aku punyai jawapan kepada luahan itu,
Seyogianya ku lafazkannya dengan jitu,
Akan tetapi apakan daya ku ini,
Aku hanya sebatang kara seorang diri,
Dan bukankah itu satu petanda besar,
Bahawa duniaNya ini hanya untuk bersandar

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Ambilah

0

Ambilah

Lahirmu ke dunia bukan satu kesilapan

Ini adalah tetapan dari Illahi

Supaya kamu dapat melihat dunia

Yang penuh dengan keindahan

Ambilah

Kamu dilahirkan sama seperti yang lain

Duduk berbulan-bulan lamanya

Di dalam rahim seorang wanita

Hinggalah ke saat kamu dilahirkan

Ambilah

Disaat kamu sudah mula berfikir

Kamu akan mengenal erti cercaan

Janganlah kamu menyalahkan sesiapa

Kerana mereka tidak mengerti

Ambilah

Anggaplah ini semua sebagai dugaan

Bagi hamba yang bertakwa

Tidak ada istilah haram atau halal

Bagi bayi yang dilahirkan ke dunia

Ambilah

Percayalah bahawa kamu amat disayangi

Lahirmu adalah bukti yang nyata

Pada satu hari nanti

Dia akan kembali ke sisimu

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Mimpi Ibu

0

Di kala lahirnya ku kucup rambutnya

Yang halus, sehalus naluri murninya

Di kala tangisnya ku dakap tubuhnya

Yang elok, seelok insan yang asalnya

Pabila siang ku hiburkan hatinya

Tersenyum, tertawa penuh girangnya

Pabila malam ku temani dirinya

Menanti sehingga terlena matanya

Ku ingat tatkala langkah pertamanya

Betapa gembira dan bangga rasanya

Lantas Ku panjatkan doa kepada-Nya

Moga terus dirahmati hidupnya…

Tetapi kini…Sayang!

Pabila siang kau pinggirkan sahaja

Seorang diri aku merana

Pabila malam kuharapkan damba

Oleh dirimu, tak sampai jua

Mengapa hatiku sering terluka

Sejak dewasamu aku berduka

Pabila bersamamu kenangan yang lara

Sering terhimpun kukuh di minda

Mengapa tindakanmu sering menghampa

Diriku ini, yang selalu meminta

Agar kau menjadi insan berjasa

Namun pengorbananku hanya sesia…

Wahai anakku, yang amat ku kasihi

Ibumu selalu di sini menanti

Hadirnya dirimu setia di sisi

Walau sesaat, juga mencukupi

Bilakah tiba anak yang dinanti

Kecewa ibumu kecewa hakiki

Ibumu ini sudah lama bermimpi

Bermula yang indah, yang pahit berganti…

Disimpan dalam: Sastera Siswa

Teruskan Membaca

Bicara Minda

Lensa Kampus

Nota Editor

Santai

Sastera Siswa